Sememangnya layak Nurfiyanti Afrina Roslan, yang lebih mesra dengan sapaan Fiffy Afrina dipilih sebagai Ratu Inspirasi Safi Hijabista. Mana tidaknya, gadis berusia 23 tahun ini bukan sahaja memiliki raut wajah yang manis tetapi dalam masa yang sama punya aura yang tersendiri.
Mengakui bahawa title tersebut agak berat buat dirinya, Fiffy menjelaskan bahawa apabila diangkat sebagai ikon, dirinya pasti menjadi tumpuan. Tentunya dia perlu menunjukkan contoh yang baik. Namun dalam masa yang sama juga jelas Fiffy dia rasa gembira kerana dipilih sebagai Ratu Inspirasi Safi Hijabista.
Bercerita tentang perancangan selepas Ratu Hijabista melabuhkan tirainya, kongsi Fiffy, dia akan meneruskan ‘perjalanannya’ lebih kurang setahun sahaja lagi untuk bergelar seorang doktor.
“Selepas itu jika ada sebarang tawaran, saya akan pertimbangkan untuk menerimanya. Hal ini kerana bidang seni ini punya skop yang luas. Kalau ada peluang untuk beraksi sebagai pengacara rancangan kesihatan dan perubatan, apa salahnya. Memang itu yang Fiffy idamkan.
“Ramai sahaja doktor perubatan terlibat sebagai pengacara yang mengacara rancangan berbentuk perubatan. Maka sebab itulah kita perlu ‘penuhkan’ ilmu perubatan di dada agar dapat disebar baikkan kepada masyarakat,”jelas Fiffy.
Fiffy yang merupakan anak sulung daripada 4 orang adik beradik, nyata punya auranya yang tersendiri. Merupakan seorang pelajar di dalam bidang perubatan di UniKL Royal College of Medicine Perak (RCMP) anak kelahiran Pulau Mutiara ini memasang niat untuk mengemudi majlis konvokesyen universitinya sebagai pengacara suatu hari nanti.
Mengenal lebih rapat, anak dara pasangan Roslan Kamarudin, 49 dan Jammy Suzana Abdullah Adnan, 49 ini, rupa-rupanya Fiffy mewarisi kerjaya ibunya yang juga seorang doktor.
“Mungkin sewaktu kecil, Fiffy selalu ikut mama pergi klinik. Fiffy sudah terbiasa dengan persekitaran kerja sebagai doktor. Mungkin sebab itulah minat saya lebih cenderung dalam bidang perubatan,” ujar Fiffy.
Tatkala ditanya tentang tugasan yang meninggalkan ‘bekas’ dalam dirinya, jelas Fiffy salah satunya ialah tugasan di pentas catwalk di Litar, Sepang.
“Nak salahkan fizikal (tubuh rendah) juga tidak boleh juga. Namun apa yang boleh Fiffy katakan ialah Fiffy memang tiada bakat untuk ‘berjalan dengan baik’ di pentas catwalk. Ia membuatkan Fiffy terkesan dengan tugasan itu malah disebabkan tugasan itu juga Fiffy berada di tahap ‘bottom 3.” Sepanjang hidup Fiffy, inilah kali pertama Fiffy catwalk,” jelas Fiffy.