Adat sesetengah majlis pernikahan, pastinya tidak lengkap majlis itu jika tiada lafaz izin yang dibacakan oleh bakal pengantin tersebut sebagai tanda restu seorang anak kepada bapa untuk menikahkannya.
Jika kebiasaannya tetamu akan berasa sebak apabila mendengarnya, namun berlainan pula dengan lafaz oleh wanita ini apabila tetamu teruja dan terhibur kerana cara penyampaiannya seperti sedang membuat liputan berita di televisyen.
Tular di media sosial, video lafaz izin nikah Hafidzatul Hanis Abdul Razak,25, ini mendapat perhatian ramai sehingga mendapat lebih 400 ribu tontonan setakat ini di Twitter.
Majlis pernikahannya bersama suami, Haiqal Tajuddin,27, tersebut sebenarnya telah berlangsung dua tahun yang lalu dan menjadi tular setelah rakannya sendiri iaitu Naim Hashim memuat naik video tersebut di laman Twitter. Mereka juga kini telah dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Esra Nafeesa,1.
Ramai yang teruja dengan intonasi yang digunakan dan merasakan seolah-olah sedang menonton berita jenayah di televisyen. Tidak menghairankan kerana Hanis sememangnya merupakan seorang wartawan dan penyampai berita untuk sebuah media tempatan.
kredit: Naim Hashim, Hanis Razak