Semakin ramai kita melihat selebriti yang tampil berhijab. Terbaru adalah pelakon Ardell yang sebelum ini terkenal dengan watak tomboy. Hidayah Allah itu hadir tanpa mengira siapa dan memang beruntung bagi yang mendapatnya. Seperti juga penyanyi Farihah Mohamed Arshad ataupun popular dengan nama Farra yang cukup terkenal dengan lagu ‘Bagaikan Puteri’. Dia bukan setakat berhijrah dari zaman kejahilannya tetapi juga turut mengambil keputusan untuk berniqab. Sudah hampir 20 tahun beliau berhijrah menjadi Muslimah yang diredai Allah dan masih terus kekal istiqomah.
Dalam artikel yang disirkan di Sinar Harian Online, Farra berkata cabaran ketika berhijrah tidaklah seserius ketika beliau mengambil keputusan untuk berniqab.
ARTIKEL BERKAITAN: Ardell Pilih Bawal Untuk Gaya Hijab
“Semasa saya berkeputusan untuk berniqab. Saya melalui cabaran getir kerana ramai yang tidak menggemarinya. Namun, bila saya baca beberapa buku dan mengikuti kelas, saya berasakan tujuan pemakaian
niqab, sama ada wajib atau harus, sebenarnya adalah untuk mengelakkan fitnah.“Kalau dalam hukum wajib, niqab ini dipakai kerana perempuan itu menjadi sumber ujian kepada lelaki dan untuk memuliakan serta menjaga perempuan itu sendiri. Kalau hukum harus pula, niqab dipakai kerana mengelakkan fitnah kepada diri dan orang sekeliling.
“Contohnya kalau dia terlalu cantik, maka dia perlu memakai purdah agar kurang sedikit perhatian orang kepadanya. Ditakuti, perhatian orang itu akan menimbulkan fitnah.” katanya.
Jelas Farra, sebab itulah beliau berasakan masyarakat perlu lebih peka dan memahami mengapa seseorang itu berniqab dan jangan terus menghukum dan melabelkan mereka memakai sekadar untuk menunjuk-nunjuk.
Menurutnya, beliau berharap agar dirinya dan juga Muslim yang lain terus diberikan petunjuk daripada ALLAH untuk terus mempelajari ilmu dan memahami al-Quran dan Sunnah Rasulullahlah.
Jika dilihat dalam laman instagram Farra, beliau juga turut berdakwah kepada followernya secara aktif. Ada sahaja perkongsian kata-kata berunsur nasihat kepada pengikutnya.
Dalam pada Itu, Farra kini giat menggali dan menuntut Ilmu serta aktif dengan kerja-kerja dakwah. Buat masa ini dia begitu aktif dengan Pertubuhan Quran Daily Malaysia (PQDM) dan pembabitannya adalah secara tanpa sengaja.
“Sekitar tahun 2014, semasa mengikuti sesi daurah tafsir al-Quran, saya dijemput oleh pengasas PQDM, Puan Rahana Ab Rahim bersama suaminya, Hj Mustapa Omar untuk bersama menjayakan misi PQDM iaitu menjadikan al-Quran untuk dibaca, faham dan amal.
“PQDM bermula dengan mewujudkan Quran Daily (QD) pada Mei 2014. Aktiviti QD diperlengkapkan lagi dengan aktiviti amal melalui Projek Infak Quran Daily (PIQD) dan aktiviti ilmu melalui Biro Ilmu Quran Daily (BIQD). Saya bermula sebagai admin grup, setelah berjaya khatam al-Quran. Saya menjadi mentor dan dalam masa yang sama turut mengendalikan BIQD, kursus jenazah dan kursus solat,” cerita ibu tiga anak ini.
Bukan itu sahaja penyanyi yang pernah bersama-sama dengan ratu Rock Ella ini juga turut terbabit dengan kumpulan Pengurusan Jenazah Muslimah (PJM) aktif mengadakan kursus jenazah yang juga dikendalikan di bawah PQDM.
Selain terbabit dengan kerja-kerja dakwah ini, Farra juga turut aktif dalam menjalankan perniagaan, Farra Apparel menerusi dalam talian. Objektif Farra Apparel adalah untuk menawarkan rangkaian busana Muslimah yang aktif, selesa dan bergaya, serta menepati syariat.
– Agihan infaq Mushaf al-Quran, Tafsir Iqra dan kitab-kitab agama pada madrasah dan sekolah tahfiz.
– Pembinaan beberapa telaga di Kemboja, Nigeria, Ghana dan di Kem Rohingya Coxs Bazar Bangladesh.
– Pembinaan masjid dan surau.
– Penambahbaikan masjid dan sekolah di Nigeria, Bangladesh, Kemboja. – Ibadah korban di Malaysia, Kemboja, Bangladesh dan Nigeria.
SUMBER: SINAR HARIAN ONLINE
KREDIT FOTO: INSTAGRAM FARRA