Fahami Erti Tentang Haji Akbar, Ini Penjelasan Padat & Tepat Daripada Mufti Wilayah

Share

Apakah yang dimaksudkan dengan Haji Akbar? Di dalam al-Qur’an, Allah SWT telah menamakan satu hari dengan nama hari Haji Akbar (hari Haji yang paling agung). Hari yang agung ini disebut di dalam firman-Nya:

Firman Allah SWT:

وَأَذَانٌ مِّنَ اللَّـهِ وَرَسُولِهِ إِلَى النَّاسِ يَوْمَ الْحَجِّ الْأَكْبَرِ

Maksudnya: “Dan inilah perisytiharan dari Allah dan Rasul-Nya kepada umat manusia, (diisytiharkan) pada Hari Haji yang terbesar”. [al-Taubah:3]

وَأَذَان) إعْلَام (مِنْ اللَّه وَرَسُوله إلَى النَّاس يَوْم الْحَجّ الْأَكْبَر) يَوْم النَّحْر (أَنَّ) أَيْ بِأَنَّ (اللَّه بَرِيء مِنْ الْمُشْرِكِينَ) وَعُهُودهمْ (وَرَسُوله) بَرِيء أَيْضًا وَقَدْ بَعَثَ النَّبِيّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلِيًّا مِن السَّنَة وَهِيَ سَنَة تِسْع فَأَذَّنَ يَوْمَ النَّحْرِ بِمِنَى بِهَذِهِ الْآيَات أَنْ لاَ يَحُجَّ بَعْدَ العَامِ مُشْرِكٌ وَلاَ يَطُوفَ بِالْبَيْتِ عُرْيَانٌ رَوَاهُ الْبُخَارِيّ

Maksudnya: “Inilah adalah satu pengumuman daripada Allah dan Rasul-Nya kepada umat manusia pada hari Haji Akbar iaitu hari Raya Korban bahawa sesungguhnya Allah berlepas diri daripada orang-orang musyrik dan perjanjian-perjanjian mereka. Begitu juga dengan Rasul-Nya. Sehubungan dengan ayat ini, Imam al-Bukhari telah meriwayatkan sebuah hadith bahawa pada tahun itu juga iaitu tahun kesembilan Hijrah, Nabi SAW telah mengutus Ali RA untuk mengumumkan berkenaan ayat-ayat ini pada hari Raya Korban di Mina. Kandungannya adalah selepas daripada tahun ini, orang musyrik tidak boleh lagi melakukan haji dan tawaf di Baitullah. Dalam masa yang sama, tidak boleh juga melakukan tawaf di Baitullah dalam keadaan telanjang”. [Lihat: Tafsir al-Jalalayn, 240]

Photo by yasir-gürbüz from Pexels.

MAKNA HAJI AKBAR

Di dalam tafsir al-Thabari, imam al-Thabari telah mendatangkan beberapa pendapat bersama dengan riwayat-riwayat atau athar-athar samada daripada Nabi SAW, sahabat RA dan juga para tabi’in yang menyokong pendapat tersebut dalam menentukan makna Haji Akbar ini. Di sini kami ringkaskan dengan memilih beberapa pendapat seperti yang berikut:

Pertama: Haji Akbar adalah hari Arafah

Daripada Ikrimah berkata:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: يَوْمُ الحَجِّ الأَكْبَرِ، يَوْمُ عَرَفَة

Maksudnya: Ibn Abbas RA mengatakan: “Haji Akbar adalah hari Arafah”. [Lihat: Tafsir al-Thabari, 116/14]

Photo by shahbaz-hussain-shah from Pexels.

Kedua: Haji Akbar adalah hari al-Nahr (10 Zulhijjah).

Daripada Ibn Umar RA, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَقَفَ يَوْمَ النَّحْرِ بَيْنَ الْجَمَرَاتِ فِي الْحَجَّةِ الَّتِي حَجَّ، فَقَالَ: أَيُّ يَوْمٍ هَذَا؟ قَالُوا: يَوْمُ النَّحْرِ، قَالَ: هَذَا يَوْمُ الْحَجِّ الْأَكْبَرِ

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW berdiri pada hari al-Nahr (10 Zulhijjah) di antara jamrah-jamrah pada waktu Baginda SAW menunaikan Haji, lalu Baginda SAW bertanya: “Hari apakah ini?”. Mereka menjawab: “Hari al-Nahr (hari 10 Zulhijjah)”. Nabi SAW bersabda: “Ini adalah hari Haji Akbar”. [Riwayat Abu Daud, (1945)][Sanadnya adalah sahih menurut Syeikh Syuaib al-Arnaouth]

Ketiga: Haji Akbar adalah hari-hari haji keseluruhannya.

Daripada Ibn Abi Najih, bahawa Mujahid berkata:

عَنْ مُجَاهِد: يَوْمُ الحَجِّ الأَكْبَرِ، حِيْنَ الحَجّ، أَيَّامُهُ كُلّهَا

Maksudnya: “Hari Haji Akbar adalah ketika waktu haji serta kesemua harinya”. [Lihat: Tafsir al-Thabari, 127/14]

Selain itu juga, Imam al-Nawawi berkata dalam menentukan makna Haji Akbar ini ketika beliau mensyarahkan hadith pada bab “tidak akan melakukan haji bagi orang yang musyrik dan tidak akan boleh melakukan tawaf dalam keadaan telanjang, beliau berkata:

“Para ulama’ telah berselisih pendapat dalam menentukan apa yang dikehendaki dengan makna Hari Haji Akbar. Dikatakan ia adalah Hari Arafah. Telah berkata Malik, al-Syafie dan jumhur bahawa ia adalah hari al-Nahr. Al-Qadhi ‘Iyadh telah menukilkan daripada al-Syafie bahawa ia adalah hari Arafah. Ini adalah khilaf yang ma’ruf (diketahui) oleh mazhab al-Syafie. Telah berkata ulama’ bahawa dikatakan Haji Akbar itu adalah untuk menjauhkan atau membezakan dengan Haji Ashghar iaitu umrah. Manakala, hujah bagi sesiapa yang berpegang dengan Haji Akbar ini adalah Hari Arafah adalah dengan hadith yang masyhur iaitu “Haji itu Arafah”.

[Lihat: al-Minhaj Syarh Muslim, 116/9]

PENDAPAT YANG DIPILIH

Berdasarkan pendapat-pendapat di atas, pendapat pertama dan kedua adalah pendapat yang masyhur dalam menentukan makna Haji Akbar ini. Setelah melihat pandangan para ulama’ dalam masalah ini, kami cenderung untuk mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan Haji Akbar adalah Hari al-Nahr iaitu 10 Zulhijjah atau hari Raya Korban sepertimana pendapat yang kedua.

Photo by shams-alam-ansari from Pexels.

Selain itu juga, ini adalah pendapat Imam al-Thabari setelah beliau menceritakan pendapat-pendapat berkaitan masalah ini. Imam al-Thabari berkata:

“Pendapat yang utama dan sahih disisi kami adalah sesiapa yang mengatakan bahawa Hari Haji Akbar adalah Hari al-Nahr (10 Zulhijjah) disebabkan zahirnya (jelasnya) khabar-khabar daripada sekumpulan sahabat-sahabat Nabi SAW bahawa Ali RA telah mengumumkan apa yang diperintahkan kepadanya oleh Rasulullah SAW kepada kaum Musyrikin, lalu beliau membaca kepada mereka surah “براءة (al-Taubah)” pada hari al-Nahr. Selain itu juga, berkenaan dengan khabar-khabar yang telah kami sebutkan daripada Rasulullah SAW bahawa Baginda SAW telah bersabda pada hari al-Nahr: “Adakah kamu semua tahu, hari apakah ini?”. Baginda menjawab dengan mengatakan: “Ini adalah Hari Haji Akbar”. [Lihat: Tafsir al-Thabari, 127/14]

Tambahan pula, Syeikh al-Mubarakfuri memberi peringatan serta menyanggah pemahaman sebahagian masyarakat yang mengatakan bahawa Haji Akbar ini adalah apabila hari Arafah jatuh pada hari Jumaat.

Disebabkan itu, ia dinamakan Haji Akbar. Beliau berkata:

قَدْ اشْتَهَرَ بَيْنَ الْعَوَّامِ أَنَّ يَوْمَ عَرَفَةَ إِذَا وَافَقَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ كَانَ الْحَجُّ حَجًّا أَكْبَرَ وَلَا أَصْلَ لَهُ

Maksudnya: “telah tersebar dan masyhur dalam kalangan orang awam bahawa apabila hari Arafah jatuh pada hari Jumaat maka ia adalah Haji Akbar. Kenyataan atau pemahaman ini adalah tidak mempunyai asal sama sekali”. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 27/4]

PERBEZAAN HAJI AKBAR (الحج الأكبر) dan HAJI ASHGHAR (الحج الأصغر)

Soalan: Apakah perbezaan di antara Haji Akbar dan Haji Ashghar?

Jawapan:

Adapun makna Haji Ashghar yang dilihat oleh jumhur adalah umrah. Adapaun Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani mengatakan bahawa perkara ini telah menjadi perselisihan dalam menentukan makna Haji Ashghar.

Jumhur mengatakan makna Haji Ashghar adalah umrah dan dikatakan juga bahawa Haji Ashghar itu adalah hari Arafah. Manakala Haji Akbar adalah hari al-Nahr (10 Zulhijjah) kerana padanya (hari 10 Zulhijjah) disempurnakan manasik-manasik (perbuatan-perbuatan) haji yang lain. [Lihat: Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 321/8]

Tambahan pula, Imam al-Thabari mengatakan bahawa sebab yang betul ia dinamakan dengan Haji Akbar adalah kerana Haji Akbar adalah haji dan haji lebih besar daripada umrah dengan penambahan amalan-amalan yang ada padanya. Disebabkan itu ia dinamakan Haji Akbar disebabkan amalan pada waktu haji lebih banyak berbanding amalan pada waktu umrah.

Photo by ali-karim from Pexels.

Adapun Haji Ashghar (kecil) adalah umrah kerana amalan padanya lebih sedikit berbanding amalan ketika menunaikan haji. Oleh sebab itu, ia dinamakan dengan Haji Ashghar disebabkan kurangnya amalan pada waktu umrah berbanding amalan pada waktu haji.

Berdasarkan pendapat di atas, kami cenderung untuk mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan Haji Ashghar adalah umrah dan bukannya hari Arafah berdasarkan pendapat jumhur.

 

PENUTUP 

Kesimpulannya, Haji Akbar adalah hari Nahr (يوم النحر) iaitu hari Raya Korban yang disambut pada 10 Zulhijjah setiap tahun. Ini kerana, pada hari tersebut akan dilaksanakan manasik-manasik haji seperti tawaf, bersa’ie (antara safa dan marwah) ,melontar, berkorban, bercukur dan lain-lain perkara lagi.

Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kita kesempatan dan peluang untuk menunaikan rukun Islam yang kelima ini. Amin.

Wallahua’lam

Sumber kredit: Laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Top image: Photo by konevi from Pexels

Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

Published by
Norhasliza