Sebaik dibebaskan dari hukuman penjara, mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini mensyukuri rahmat dari Tuhan kerana dapat bersama-sama ahli keluarga untuk menyambut Ramadan bersama. Setelah hampir 20 tahun terpisah, akhirnya mereka sekeluarga dapat berkumpul semula lebih-lebih lagi di bulan penuh mulia ini.
Dapat dilihat foto-foto kemesraan keluarga yang dimuat turun di media sosial. Betapa ikatan kekeluargaan mereka begitu utuh dan kekal terjalin biarpun sebelum ini Datuk Seri Anwar terpisah lama oleh tembok besi.
Bersama cucu sulung.
BERBUKA PUASA BERSAMA-SAMA
Tiada rasa janggal tika bersama-sama berbuka puasa, bukan sahaja bersama anak-anak tetapi juga cucu-cucunya yang memahami perjuangan datuknya selama ini. Anwar yang mempunyai enam orang anak, lima darinya adalah perempuan dan seorang lelaki.
Ketika beliau ditahan buat pertama kali, anaknya yang paling bongsu masih sangat kecil lagi. Dan kini masing-masing sudah besar dan mempunyai kehidupan tersendiri. Namun hubungan mereka sekeluarga tetap teguh dan begitu erat sekali.
Ads
Dalam foto yang dimuat turun ahli keluarga ini bagaikan dapat menggambarkan betapa bahagianya mereka apabila dapat berkumpul bersama-sama. Lebih berganda kegembiraaannya apabila bersama-sama berbuka puasa ketika di bulan penuh keberkatannya ini.
Dalam satu status dimuat turun Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Wan Azizah, beliau mengucapkan alhamdulillah setelah sekian lama menunggu, rasa bertuah kerana dapat berbuka puasa dengan keluarga tersayang.
Syukur alhamdulillah.
Malah kejutan paling bermakna juga apabila anak paling bongsu, Nurul Hana yang sebelum ini tidak bersama ketika Anwar dibebaskan, tiba-tiba muncul di depan mata. Betapa sebak Datin Seri Wan Azizah yang sama sekali tidak menyangka anak bongsunya balik lebih awal dari jangkaan.
Terharu melihat keakraban ahli keluarga ini. Biarpun menempuh pelbagai dugaan setelah sekian lama, namun Allah akhirnya menjanjikan kebahagiaan dalam suasana yang cukup harmoni di bulan penuh mulia.
Semoga keluarga ini tidak akan terpisah lagi Dan kita juga boleh mencontohi hubungan erat keluarga ini yang tetap teguh bersama-sama biarpun dilanda pelbagai dugaan.
KREDIT FOTO: INSTAGRAM KELUARGA DATUK SERI ANWAR IBRAHIM
Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download sekarang di
Pilihan raya baru sahaja tamat dan menyaksikan kemenangan parti Pakatan Harapan (PH) yang diterajui oleh Perdana Menteri Malaysia ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad. Kemenangan ini sememangnya diraikan oleh rakyat Malaysia yang bersusah-payah keluar mengundi demi memilih kerajaan yang mereka mahukan.
Antara perkara menarik yang terjadi sepanjang pilihan raya ke-14 ini adalah tumpuan yang diberikan tehadap oleh kaum wanita terhadap YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang kini merupakan Ahli Parlimen Muar. Setiap hari, pasti ada sahaja berita dan gambar beliau terpampang di laman sosial.
Kebanyakan posting di laman sosial tentang Syed Saddiq dikongsi oleh kaum wanita dengan caption yang tidak sesuai seperti “Handsomenya Syed Saddiq sampai rasa nak pecah ovari.” Kenyataan seperti ini turut mengundang teguran seorang ustaz bernama Wan Asrul Al-Kalantani.
Menurutnya,fenomena ini amat memalukan dan menjijikkan. Wanita masa kini seakan sudah tiada perasaan malu sedangkan malu itu merupakan sebahagian daripada Iman. Tambahnya lagi, jangan memalukan agama Islam jika anda seorang Muslimah.
Semoga teguran ustaz ini dijadikan pengajaran buat hijabi di luar sana. Hijabista turut bersetuju dengan teguran yang diberikan. Tidak salah memuji tetapi biarlah berpada-pada. Jangan sampai wanita Islam dipandang rendah oleh masyarakat di luar sana.
Suatu teguran kepada sekalian Muslimat.
Jangan memalukan suami anda, jika anda adalah seorang isteri.
Jangan memalukan anak anda, jika anda seorang ibu.
Jangan memalukan ayah anda, jika anda seorang anak perempuan.
Paling utama, jangan memalukan agama Islam, jika anda seorang Muslimah.
Kenapa? Apa yang telah jadi?
Terbaharu, dengan munculnya YB muda, iaitu Saudara Syed Saddiq, Ahli Parlimen Muar. Respon yang diterima banyak. ALHAMDULILLAH, kebanyakannya positif.
Namun dalam keadaan positif itu juga terpalit secalit negatif, iaitu sikap dan gelagat wanita Muslimah atau senang cerita wanita Islam Melayu.
Dengan tanpa segan silu, terkeluar istilah pecah itu, pecah ini. Ada juga yang terang-terangan menyatakan jatuhnya hati mereka kepada YB muda ini, dan kebanyakannya adalah dari kalangan isteri orang, lebih mudah faham, seorang isteri yang masih ada suami bersamanya. Fenomena ini amat memalukan dan maaf, menjijikkan.
Kita sibuk melaungkan Daulatkan Islam, Daulatkan Melayu. Namun, inilah antara yang amat perlu djaga, iaitu Daulatkan Islam dan Melayu di dalam diri dan rumah dahulu.
Tahukah apa yang menjadikan seorang wanita itu begitu berharga? Mereka begitu berharga apabila mereka menjaga Kehormatan Diri mereka. Tidak faham? MALU. Kerana malu itu sebahagian dari Iman.
“Eh, suami/ayah saya steady saja, kenapa kamu hendak sibuk? “
Ya, memang ‘steady’, itulah dipanggil dayus.
Sang faqir menegur bukan kerana menyatakan sang faqir ini orang yang baik. Sekadar ingin menjalankan tugas sebagai saudara sesama Muslim.
“Iman memiliki lebih dari tujuh puluh atau enam puluh cabang. Cabang yang paling tinggi adalah perucapan ‘Laa ilaha illALLAH’ dan yang paling rendah adalah menyingkirkan duri (gangguan) dari jalan. Dan MALU adalah salah satu cabang Iman.”(Hadith Riwayat Al Bukhari)
Jika orang lain bertemu hidayahnya ketika sudah menginjak usia dewasa, tetapi bagi penyanyi bersuara unik, Wani atau nama sebenarnya NurSyazwani Selamat, seawal usia 12 tahun sudahpun memakai hijab. Dia memakainya kerana menurut arahan ibu bapa selain ia adalah hukum yang wajib diturut bagi seorang wanita. Biarpun masih kecil, tetapi Wani tetap utuh dengan pendiriannya hinggalah kini setelah bergelar penyanyi.
Menurut Wani yang mula dikenali dengan lagu Alhamdulillah duet bersama Juzzthin, ibunya yang juga seorang Ustazah mengajar dia untuk memakai tudung ketika bersekolah dalam darjah enam.
“Oleh kerana waktu itu masih kecik, jadi ada sekali dua kejap buka kejap pakai. Tetapi bila masuk tingkatan 1, Wani sudah mula berhijab sepenuhnya.
“Biasalah masa tu budak kecil bila pakai ada rasa rimas tetapi pada masa sama kita kena belajar untuk bertudung secara sempurna. Ummi juga selalu pesan supaya kekal istiqomah dan tidak buat main-main apabila sudah berhijab,” ujarnya.
Tambah Wani juga dulu masa mula-mula berhijab, dia juga pakai tudung agak singkat, tetapi lama kelamaan cuba melabuhkan hijab yang dipakainya agar memenuhi tuntutan yang disyariatkan.
“Masa itu Wani masih belum jadi artis lagi. Wani mula berkecimpung dalam bidang seni selepas habis SPM. Wani sign kontrak dengan syarikat pengurusan FMC selepas bakat dicungkil di laman youtube.
“Walaupun sudah bergelar artis, Alhamdulillah Wani tetap istiqomah berhijab. Tidak ada pula berdepan dugaan supaya Wani buka tudung. Istiqomah ini juga disebabkan faktor orang sekeliling seperti sepupu dan juga kawan-kawan yang kebanyakannya juga berhijab.
“Wani akui sangat selesa dan rasa selamat dengan berhijab. Dengan berhijab kita rasa tdak ada risiko yang membahayakan (insya-Allah) selagi kita pandai jaga diri. Bagi Wani Islam itu agama yang cukup indah kepada semua insan,” jelas Wani lagi yang menggemari gaya yang ‘simple’ untuk pakaian seharian.
“Tetapi ada kalanya ikut mood juga. Kadang-kadang suka pada gaya elegan seperti penambahan manik pada baju yang digayakan. Warna pula Wani sukakan pastel yang memang sesuai dengan usia Wani.
“Untuk tudung pula, Wani ikut mood. Bawal boleh, selendang pun boleh. Tetapi paling senang untuk Wani gayakan adalah seledang kerana ada awning yang boleh buat ia terletak cantik di kepala.
“Wani sebenarnya tdak berapa gemar tudung instan kerana muka jenis bulat. Kadang-kadang tudung instan jenis ikut bentuk muka,” ujarnya yang turut mengakumi Neelofa yang juga menjadi idola buat semua wanita berhijab untuk bijak bergaya.
Dia juga menolak tanggapan jika berhijab itu menyebabkan penampilan seseorang itu seperti ‘kampung’, kerana menurutnya berhijab juga sebenarnya masih boleh bergaya cantik.
“Banyak fesyen lain yang boleh kita cuba. Misalnya ada palazzo dan blaus yang menepati gaya wanita Muslimah.
“Wani juga tidak selesa untuk menggunakan khidmat perunding imej kerana takut depan dikata cantik tetapi dalam hati kita sebenarnya tidak selesa dengan imej yang ditampilkan.
“Wani lebih selesa dengan cara begini. Tersendiri dan bersederhana sudah memadai. Jika mahukan pendapat tentang fesyen, biasanya Wani akan minta pandangan Ummi. Kalau Ummi kata tak sesuai Wani tak akan memakainya,” cerita Wani lagi.
Menurut penyanyi yang baru berusia 21 tahun ini, dia juga turut mengambil kesempatan membantu keluarga berniaga sempena Ramadan ini di Batu Pahat Johor.
“Setiap tahun memang keluarga Wani berniaga di situ. Wani akan membantu keluarga yang menjual makanan seperti Chicken Chop dan Ayam Penyet.
“Allhamdulillah setelahbergelar artis, sambutan lebih menggalakkan. Malah Wani jiga gunakan medium sosial untuk mempromosikan bisnes keluarga ini.
“Sejak keluar dari program Gema Gegar Vaganza musim lalu, follower di instagram juga makin betambah,” jelasnya yang masih lagi menuntut di Open Universiti di tahun akhir sebelum mengakhiri perbualan.
Wani atau nama penuhnya NurSyazwani Selamat ditemui ketika Majlis Pelancaran Kempen ‘Girang Syawal Tiba’ di Mydin Subang Jaya baru-baru ini.
Dalam majlis berkenaan, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Wira Dr Ameer Ali MYdin berkata kempen ini bertujuan menyediakan pengunjung dengan pakaian raya dengan harga yang rendah berkualiti tinggi.
“Kami di Mydin menyediakan koleksi baju raya dengan harga yang rendah dengan kualiti yang cantik bagi membolehkan golongan yang berpendapatan rendah bergembira di hari raya di samping peraduan dan aktiviti menarik yang telah dirancang.
“Mydin juga telah mengeluarkan lagu hasil kerjasama dengan FMC Music yang berjudul Girang Syawal Tiba,”katanya pada sidang media.
Girang Syawal Tiba 2018 ini juga akan menampilkan koleksi-koleksi baju raya Mydin yang pelbagai dengan jenama Mikayla untuk pakaian wanita dan Mikhail untuk pakaian lelaki yang diperagakan oleh model dan artis-artis terkenal tanah air seperti Haqiem Rusli, Zoey Rahman, Tajul, Sissy Iman, Ernie Zakri dan Wani.
Sepertimana yang kita semua maklum, apabila datangnya haid semua ibadah yang wajib kita lakukan tidak dapat dilaksanakan. Begitu juga semasa bulan Ramadan nanti.
Tetapi tidak bermakna kita tidak boleh mengumpul pahala semasa bulan Ramadan. Jangan jadikan haid sebagai alasan untuk mengabaikan melakukan kebaikan untuk mengumpul pahala.
Terdapat beberapa amalan yang boleh anda lakukan walaupun anda haid. Walaupun Ramadan belum muncul, tetapi sekurang-kurangnya anda buat persediaan awal.
1. Menyediakan & Memberi Iftar
Sabda Rasulullah S.A.W:
“Sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa (iftar), maka baginya (pemberi) pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa dikurangkan sedikit pun pahala orang yang berpuasa tersebut.” Riwayat At-Tirmizi
Jadi, anda hanya perlu menyediakan makanan berbuka untuk keluarga anda dan pahala puasa menjadi milik anda!
2. Berdoa & Berzikir
Amalan ini seharusnya menjadi amalan rutin hijabi yang haid tidak kira masa. Cuma In Shaa Allah pada bulan Ramadan ini, pahalanya akan dilipat gandakan.
3. Menghidupkan Malam (Qiamullail)
Bulan Ramadan sangat dituntut untuk dilakukan qiamullail namun hijabi yang haid pasti tidak boleh melakukan solat-solat sunat. Jadi, hidupkanlah malam anda dengan bermunajat, bertafakur, berzikir, bertahlil, bertahmid, bertasbih dan sebagainya.
4. Mengkaji & Memahami Terjemahan Al-Quran
Jelas bagi wanita yang haid tidak boleh menyentuh dan membaca Al-Quran dengan kuat. Gunakan masa haid anda ini dengan membaca dan memahami terjemahan Al-Quran. Cara ini boleh mendekatkan anda dengan Al-Quran dan juga peroleh pahala yang banyak.
5. Menghadiri Atau Mendengar Majlis Ilmu
Sepanjang Ramadan ini nanti sudah tentu masjid atau surau meriah dengan kuliah atau majlis ilmu. Hadirkan diri anda di majlis-majlis ini agar keberkatannya dapat anda perolehi.
6. Perbanyakkan Infaq & Sedekah
Ibadah ini paling senang dilakukan. Lakukan ini dengan kerap dan konsisten. Pahala dari sedekah akan digandakan sehingga 700 kali ganda di bulan Ramadan ini.
7. Menjalin & Mempererat Silaturahim
Hubungan antara kita dan manusia lain seharusnya dijaga dengan sebaik mungkin terutamanya dengan ahli keluarga terdekat kita. Cuba kawal emosi dan tahap moody semasa haid ini dan layan mereka dengan sehabis baik.
Semoga kita yang sedang datang bulan ini tidak sesekali alpa dan lalai dalam merebut pahala semasa Ramadan nanti. Sesungguhnya sangat rugi jika kita tertinggal peluang ini.
Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download sekarang di
Rahsia kulit flawless Tiffany Young akhirnya terbongkar! Ketahui bagaimana Eucerin Spotless Brightening membantu mencerahkan dan meratakan tona kulit dengan hasil menakjubkan.