Elfira Loy Ajak Beli Tudung Sambil Beramal Bantu Keluarga Dan Individu Yang Terkesan Dengan Covid-19

Share

Mengambil keberkatan Ramadan, pelakon, Elfira Loy mengajak orang ramai membantu keluarga dan individu yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19 dengan membeli tudung sambil beramal.

Ibu kepada Muhammad Rayyan Khalaf yang kini berusia enam bulan melancarkan projek amalnya bermula hari pertama Ramadan. Sebagai permulaan Buttonscarves x Elfira Loy hadir dengan sebuah koleksi istimewa dengan nama The Maharani Series yang sesuai digayakan di bulan Ramadan dan Syawal kelak.

Koleksi The Maharani Series dilancarkan secara serentak di Indonesia dan Malaysia pada 24 April. Elfira berkata, dia melihat kerjasama yang dijalinkan sebagai satu langkah baik dan sangat bertepatan dengan situasi getir yang melanda seluruh dunia.

“Saya percaya kita boleh memainkan peranan menyumbang pelbagai cara dalam usaha membantu mangsa COVID-19 dan mereka yang berdepan dengan kesukaran hidup, ketika ini.

“Saya mendapat tahu jenama tudung itu sudah menyalurkan bantuan termasuk mengagihkan topeng muka dan sumbangan keperluan lain di Indonesia. Kini, mereka ingin memanjangkan bantuan di Malaysia pula.

“Tidak salah, berkongsi rezeki dalam membantu keluarga yang memerlukan. Kita negara serumpun,” katanya yang menjadi selebriti pertama disunting bekerjasama dengan jenama tudung berpangkalan di negara seberang itu.

Pernah dikenali di Indonesia kerana pernah beberapa kali bergandingan dengan pelakon lelaki di sana, Elfira Loy yang memiliki seramai 4.8 juta pengikut di Instagram itu menjadi artis Malaysia pertama bersatu dengan jenama dari seberang ini.

Elfira berkata, kerjasama mereka tercetus dengan sekelip mata dan tanpa diduga. Malah ia bagai dirahmati dan dipermudahkan.

Apatah lagi isteri kepada Muhammad Faris Khairol Anuar ini asalnya memang peminat tegar jenama yang sudah empat tahun berkembang di negara jiran itu.

Koleksi The Maharani Series memiliki 13 warna dengan motif yang mengangkat elemen senibina di India. Koleksi ini menggunakan bahan scarf kapas voal dan satin silk yang selesa untuk dipakai.

“Buat permulaan kerjasama ini berlangsung untuk dua bulan bermula April hingga Mei. InsyaAllah tiada aral melintang, kerjasama ini akan berpanjangan,” kata pemilik nama penuh Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri ini.

Menurut ibu kepada Muhammad Rayyan Khalaf berusia enam bulan itu, kerjasama itu bermula daripada perbualan di kotak mesej langsung (DM) di Instagram.

“Dari DM, kami berlanjutan ke aplikasi WhatsApp. Pendek kata, dari awal lagi ia berjalan dengan lancar. Saya juga anggap ini rezeki anak sulung.

“Saya sejak dua ketiga tahun lalu juga sebenarnya menjadi peminat secara diam kepada jenama ini. Kalau terbang ke Jakarta, saya akan membeli skaf dan tudung jenama berkenaan kerana materialnya cukup selesa dan kemas.

“Pada masa sama, saya dapat tahu mereka juga mengintai untuk bekerjasama dengan artis Malaysia. Difahamkan ada beberapa calon lain, tapi rezeki berpihak kepada saya. Sesuai dengan nama koleksi ini, saya yakin mereka yang memakainya akan berasa seperti seorang ratu atau maharani ,” katanya.

Ditanya mengenai menyambut Ramadan dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasa kerana mahu membendung penularan wabak Covid 19, Elfira mengakui akur dengan ujian terjadi.

“Jika Ramadan tahun lalu saya menyambutnya dengan keadaan berbadan dua dan kerterbatasan itu ini, nikmat bulan penuh keberkatan itu tidak terlalu dirasai.

“Jadi saya memang ternanti nanti Ramadan kali ini. Tapi siapa mampu menyangka kita didatangi ujian saat ini. Pasti terasa kerinduan kepada perkara yang selalu sinonim dengan bukan Ramadan seperti bazar dan solat Terawih.

“Tak mengapa kita tak perlu bersedih sangat. Kita raikannya dengan cara bersederhana,” katanya.

Published by
Norhasliza