Gas karbon monoksida boleh memasuki ruang penumpang kenderaan kerana keadaan kenderaan yang tidak sempurna seperti kebocoran di bahagian bawah enjin. Lebih berbahaya apabila enjin dan pendingin hawa kenderaan dihidupkan ketika ia dalam keadaan statik, menyebabkan udara dalam ruang penumpang tercemar dengan gas karbon monoksida yang boleh menyebabkan kematian.
Ahli Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), Prof Dr Wong Shaw Voon, berkata kematian boleh berlaku apabila penumpang menghidu gas karbon monoksida yang melebihi tahap selamat dalam ruang sesebuah kenderaan. Beliau yang juga Profesor Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, kehadiran gas karbon monoksida sukar dikesan kerana sifatnya yang tidak menghasilkan bau atau warna serta boleh menyebabkan mangsa pengsan jika terhidu dalam kuantiti yang banyak.
“Ketidaksempurnaan itu biasanya berlaku kepada kenderaan lama, tetapi tidak bermakna ia tidak boleh berlaku kepada kenderaan baharu. Ia bergantung sepenuhnya kepada penggunaan dan penyelenggaraan sesebuah kenderaan.
“Bagaimanapun, pencemaran akan berlaku lebih teruk jika kenderaan tidak sempurna ini dalam keadaan statik kerana pengudaraan tidak berlaku dengan baik. Gas ini boleh masuk ke dalam kenderaan melalui mana-mana kebocoran pada sistem ekzos.
“Apa-apa bahagian di bawah (lantai) kenderaan yang tidak dicat dengan baik dan mereput turut menyumbang kepada kejadian seperti ini,” katanya.
Tragedi membabitkan empat pelajar jurusan farmasi berusia 21 tahun yang berlaku awal pagi semalam begitu menyayat hati. Kejadian membabitkan empat pelajar jurusan farmasi berusia 21 tahun, yang mana tiga daripada empat orang mangsa telah terkorban manakala seorang lagi kritikal, dipercayai akibat terhidu gas karbon monoksida dalam kereta mereka di Pulau Pinang.
Berikut perkongsian yang dipetik dari Facebook Public Health Malaysia.
Ada yang menyatakan, jika kita ingin tidur di dalam kereta, pastikan kita membuka tingkap sedikit, insyaAllah selamat. Di sini kami ingin membetulkan tanggapan yang kurang tepat ini.
Keracunan karbon monoksida tidak memerlukan kuantiti yang banyak. Kadar yang rendah sudah cukup untuk membuatkan kita tidak sedarkan diri. Malah, karbon monoksida dari luar yang mengelilingi kereta juga bahaya. Kereta kita mungkin tidak kedap udara dan bahan ini boleh meresap masuk ke dalam kereta.
KERACUNAN KARBON MONOKSIDA- PEMBUNUH SENYAP
Sekiranya anda bercadang untuk tidur atau sekadar berehat di dalam kenderaan dengan enjin dan hawa dingin terpasang, fikirkan semula! Keracunan Karbon Monoksia merupaka punca utama kematian akibat keracunan. Gas beracun karbon monoksida terhasil dari pembakaran bahan bakar tanpa oksigen yang mencukupi.
Gas ini TIDAK mempunyai sebarang warna dan bau, oleh itu ia di kenali sebagai “ Pembunuh Senyap” Sentiasa berwaspada dan jangan ambil mudah, Keracunan karbon monoksida adalah punca UTAMA kecederaan dan kematian akibat keracunan di seluruh dunia. Menurut Pusat Kawalan Penyakit US, 50,000 pesakit dimasukkan ke hospital setiap tahun, dan 430 mati akibat keracunan karbon monoksida.
BAGAIMANAKAH KARBON MONOKSIDA MENYEBABKAN KEMATIAN SEMASA MANGSA SEDANG TIDUR?
Pembakaran bahan bakar di dalam engin kenderaan menghasilkan banyak gas sampingan yang dikeluarkan sebagai asap ekzos. Asap ekzos ini mengandungi gas yang merbahaya seperti karbon monoksida, hidrokarbon, dan nitrogen oksida.
Ketika memandu, sistem ekzos yang baik akan membebaskan gas gas beracun ini ke persekitaran dengan lancar dan selamat. Masalah timbul apabila sistem ini bocor dan lebih diburukkan lagi apabila kenderaan tidak bergerak.
Tanpa di sedari, gas yang tidak mempunyai bau dan rasa ini akan masuk menerusi saluran pernafasan dan memasuki saluran darah. Gas beracun ini akan bercampur dengan hemoglobin (bahagian sel darah merah yang membawa oksigen ), lalu membentuk membentuk carboxyhaemoglobin. Apabila ini berlaku, darah tidak lagi mampu membawa oksigen, dan kekurangan oksigen menyebabkan sel dan tisu badan gagal dan mati!.
.
APAKAH GEJALA KERACUNAN CO?
TIP PENCEGAHAN KERACUNAN KARBON MONOKSIDA
Elakkan memanaskan enjin dengan asap ekzos dibebaskan di dalam kawasan rumah. Asap ekzos yang memenuhi ruang rumah mengandungi gas karbon monoksida dan boleh menyebabkan keracunan terutama kepada kanak kanak kecil.
Jangan tidur ataupun sekadar berehat sebentar di dalam kenderaan dengan enjin terpasang. Anda mungkin terlena dan tidak bangun selamanya. Pastikan sistem ekzos anda di periksa dan di selenggara secara berkala. Ingat, kebocoran kecil boleh menyebabkan kematian.
HIJABISTA: Semoga kejadian seperti ini tidak berulang lagi. Jadikan kejadian-kejadian yang berlaku sebelum ini sebagai pengajaran dan juga peringatan pada masa hadapan.
Sumber kredit: Berita Harian Online dan Facebook Public Health Malaysia