Orang ramai digalakkan tidak lagi berjabat tangan sebaliknya disarankan ‘salam siku’ untuk mengelakkan penyebaran kuman berikutan kes jangkitan koronavirus (Covid-19) yang semakin meningkat di seluruh dunia.
Cara baharu untuk menyapa antara sama lain itu mula menjadi ikutan selepas insiden Canselor Jerman, Angela Merkel menghulur tangan untuk bersalaman ditolak oleh Menteri Dalam Negeri, Horst Seehofer ketika kejadian pada Isnin lalu.
Bagi sesetengah pihak, ia mungkin kelihatan seperti satu tindakan biadab, namun Merkel berpendapat ia adalah perkara betul yang perlu dibuat.
Ketika berjabat tangan, individu memindahkan dua kali ganda jumlah bakteria berbanding ‘fist pump’ atau ‘high-five’.
“Kajian mendapati kita membawa 3,200 bakteria daripada 150 jenis spesies berbeza pada tangan kita dan secara purata kita akan bersalaman sebanyak 15,000 kali sepanjang hidup,” kata Pengarah Pendidikan Perubatan di Anglia Ruskin University di United Kingdom (UK), Nicky Milner.
Di Itali, Menteri Kesihatan, Olivier Veran juga menasihatkan orang ramai supaya tidak berpeluk atau bercium sebagai langkah membendung penularan wabak tersebut.
Sementara itu, Pengarah Penyakit Pandemik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Sylvie Brand cuba menyokong ‘salam siku’ menerusi Twitter ketika beliau mengulas tentang cara menyapa yang selamat.
Sumber kredit: Sinar Harian dan Agensi