Penuaan, kulit berkedut, kusam dan wajah nampak matang sebelum usia merupakan bayangan yang menyeramkan bagi wanita. Pastinya wanita rasa tidak senang duduk ketika usia mereka mula mencecah angka 30-an. Walaupun bagaimanapun anda tidak perlu bimbang kerana keadaan ini boleh berubah jika anda tahu penjagaan terbaik untuk tubuh anda.

Selain penjagaan diri, tanpa anda sedari dalam keghairahan mencuba pelbagai jenis produk kecantikan ada beberapa tabiat yang sering anda lakukan sehingga boleh menjadi penyebab berlakunya masalah wajah tua sebelum usia.

Tidur dengan solekan
Tabiat buruk membiarkan solekan masih di wajah sehingga pagi boleh membuatkan wajah kering, berjerawat dan kusam. Ini kerana wajah anda tidak dapat bernafas dengan baik sehingga menyebabkan pori-pori wajah tersumbat. Tabiat ini jika dilakukan berterusan boleh menyebabkan wajah anda tampak tua daripada usia. Jika tidak sempat untuk membasuh muka dengan pencuci, anda boleh menggunakan tisu lembap untuk menanggalkan solekan sebelum masuk tidur.

Kurang minum air putih
Perbanyakan minum air putih setiap hari merupakan perkara wajib dalam rawatan semula jadi anti penuaan. Air putih akan membantu kulit anda terhidrasi ketika tubuh anda dibersihkan. Kulit terhidrasi akan membuatkan anda tampak lebih muda, kulit lebih lembap dan kurang mengalami masalah pada wajah. Amalkan mengambil lapan gelas air putih dalam sehari untuk anda miliki kulit yang muda, bercahaya, sihat dan cantik.

IKLAN

Terlalu kerap mencuci wajah
Setiap kali ada masalah ramai yang beranggapan kulit wajah haruslah dicuci beberapa kali dalam sehari. Kekerapan mencuci muka akan membuatkan kulit mudah mengelupas sehingga menyebabkan kerengsaan, selain membuat liang-liang kulit menghasilkan lebih banyak minyak dan akhirnya menyebabkan timbul jerawat.

Banyak makan benda bergula dan masin
Tanpa anda sedari, pengambilan gula ataupun garam secara berlebihan boleh membuatkan kulit kelihatan tua seperti berkedut, kendur dan kurang bermaya. Makanan ringan yang ternyata mengandungi banyak garam boleh menyebabkan kulit cepat tua, jadi lebih sensitif dan kering. Oleh itu seimbangkan pengambilan gula dan garam dengan minum air putih yang banyak bagi menjaga kelembapan kulit anda.

IKLAN

Mengikat rambut terlalu ketat
Sebenarnya tabiat mengikat rambut ponytail yang terlalu ketat boleh menyebabkan rambut mudah rapuh dan tidak sihat sehingga akhirnya keguguran. Elakkan daripada mengikat rambut terlalu ketat agar rambut boleh bernafas dengan baik. Masalah rambut gugur turut menjadi penyumbang wajah tampak lebih tua dan tidak bermaya daripada usia.

Sering terdedah dengan cahaya matahari
Matahari merupakan faktor utama yang boleh merosakkan kulit sekali gus menimbulkan kedutan ataupun garis-garis halus semula jadi. Pendedahan kepada cahaya matahari yang berlebihan boleh menjadi punca utama kolagen dalam kulit hilang dengan cepat. Dermatologis memberi amaran bahawa 90 peratus daripada masalah kedutan, bintik-bintik hitam dan kerosakan kulit berpunca daripada pendedahan kepada cahaya matahari. Jika ada sukar untuk mengelak daripada terkena sinaran matahari sepanjang masa, jadikan amalan memakai krim pelindung suria SPF15 untuk pelindungan daripada sinaran UVA dan UVB.

IKLAN

Kerap mengunyah gula-gula getah
Tabiat mengunyah gula-gula getah ada baik dan buruknya. Dari sisi yang baik mungkin segala lebihan makanan yang melekat pada gigi dapat dibersihkan. Namun anda mungkin tidak sedar saat mengunyah, anda telah membuat gerakan pada bahagian muka yang sama sehingga terbentuk kedutan pada bahagian mulut.

Kurang mengurut wajah
Mengurut muka setiap hari baik kerana ia membantu meningkatkan pengeluaran kolagen, menjadikan kulit kelihatan lebih montok serta membantu merangsang kelenjar limfa untuk menggalakkan kulit yang mulus dan halus. Lakukan urutan wajah dengan menggunakan minyak zaitun sehari sekali untuk memberi gerakan yang menyeluruh pada wajah anda.

Sumber kredit: Wanita Oh Wanita

Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI