Allah S.W.T sentiasa memberikan ganjaran kepada umatnya yang sentiasa bersyukur kepada-Nya. Istilah bersyukur ini tidah hanya dipandang atas bentuk kekayaan harta malah dari pelbagai aspek lain contohnya kesihatan tubuh badan, diberi kebahagiaan dalam keluarga, diberi pekerjaan yang elok, dikurniakan cahaya mata ataupun diberi jodoh yang baik.
Nikmat syukur ini jika kita benar-benar menghargainya, maka kepuasan itu Allah akan turunkan dalam hati serta jiwa kita sehingga kolam jiwa kita benar-benar tenang dan damai.
Bersyukur amatlah diperintahkan oleh Tuhan. Allah SWT berfirman:
وَاشْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّـهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ
Maksudnya: Bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata.
Surah al-Nahl (114)
Banyak caranya untuk kita menzahirkan rasa syukur terhadap pencipta kta, Allah S.W.T. Antara amalan doa yang boleh kamu amalkan dalam kehidupan harian kamu adalah:
Kita hendaklah memuji Allah SWT di atas segala nikmat yang telah dikurniakan. Ini sepertimana ungkapan Nabi Allah Sulaiman AS:
هَـٰذَا مِن فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ
Maksudnya: “Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya.”
Surah al-Naml (40)
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Dhuha:
وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ
Maksudnya: Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.
Imam al-Qurtubi dalam mentafsirkan ayat ini berkata: “Sebarkanlah apa yang Allah SWt kurniakan kepada kamu dengan perasaan syukur dan pujian kepada Allah. Menyebut-nyebut pelbagai nikmat Allah dan mengiktiraf nikmat tersebut adalah satu bentuk kesyukuran.”
Selain itu, kita juga disarankan untuk melakukan amalan-amalan sebagai satu bentuk dan tanda kesyukuran. Allah SWT berfirman:
اعْمَلُوا آلَ دَاوُودَ شُكْرًا
Maksudnya: “Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!”
Surah Saba’ (13)
Tidak bernokhtah di situ sahaja, malah Allah S.W.T juga amat suka akan hambanya yang sering mengerjakan solat malam.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, Nabi SAW berdiri solat (malam) sehingga pecah kedua kaki Baginda. Lalu beliau bertanya kepada Baginda SAW: “Kenapa engkau lakukan ini, hai Rasulullah? Bukankah Allah SWT telah mengampunkan dosamu yang telah lalu dan akan datang? Lalu Baginda SAW menjawab:
يَا عَائِشَةُ أَفَلاَ أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا
Maksudnya: “Wahai Aisyah! Tidakkah engkau menyukai aku menjadi hamba yang bersyukur.”
Riwayat al-Bukhari (4837)
Ahir sekali, lebih molek sekiranya kita sebagai umat Islam yang sentiasa bersyukur kepada Allah S.W.T berdoa sepertimana doa Nabi Allah Sulaiman AS:
رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ
Maksudnya: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmatMu – dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh”.
Surah al-Naml (19)
Semoga kita sentiasa berada dalam golongan hamba-hambanya yang sentiasa sentiasa bersyukut dan sentiasa dipelihara oleh-Nya dari perkara-perkara yang tidak baik. Selamat beramal!