Kerat Kad Kredit & Berbelanja Secara Tunai, Elak Jadi Muflis Hujung Bulan. Semak 4 Lagi Tip Lain!

Share

Kewangan bukan semata-mata ilmu matematik. Sebenarnya ia jauh tentang hal mengurus emosi. Berjaya atau tidak dalam mempertahan kubu yang dibina, semuanya bergantung pada dalaman diri.

Selalu terjadi, kita gagal untuk menyimpan bukan kerana tidak cukup wang, tetapi tabiat diri dan desakan emosi yang menggagalkan kita untuk membuat simpanan.

Menurut Robert Kiyosaki dalam buku Rich Dad Poor Dad, orang kaya mengumpul harta dan mempertahankan harta sama ibarat sang tentera melindungi kubu dalam peperangan. Apa jua yang berlaku, kubu mestilah didahulukan.

Maka untuk menjadi kaya, perlulah kita mengawal emosi dan membiasakan diri dengan tabiat-tabiat yang boleh elakkan kekayaan atau kewangan kita daripada bocor.

Berikut merupakan antara 6 strategi penting yang boleh membantu:

Strategi #1 – Bayar Diri Sendiri Dulu

Apabila mendapat wang, bayar diri sendiri dahulu dengan menambahkan wang simpanan. Selebihnya barulah berbelanja. Bukan berbelanja dahulu, kemudian ada duit lebih baru ingin memendam azam untuk menyimpan.  Percayalah, jika ditunggu duit lebih, memang selamanya, kita tidak akan menyimpan wang kocek untuk hari esok.

Strategi #2 –Alih Duit Kepada Harta

Jika mempunyai duit simpanan jangka panjang, tukar duit tersebut ke dalam bentuk harta sebenar seperti jongkong emas, tanah lot atau rumah-rumah sewa. Usah biarkan duit itu terbiar dalam bentuk tunai kecuali duit simpanan kecemasan sahaja.

Strategi #3 –Kerat Semua Kad Kredit

Kerat semua kad kredit kecuali satu. Kad kredit adalah lubang hutang paling mudah. Sememangnya tampak hebat jika memiliki kad kredit Platinum, tetapi ketahuilah bahawa kad kredit boleh menjadi ‘kanser’ kewangan sebab kita tidak menyedari duit sebenarnya sedang tiris. Apabila tersedar, hutang bertimbun menggunung. Dengan kadar faedah paling tinggi berbanding pinjaman yang lain,  malah kadar faedahnya adalah pengkompaunan.

Strategi #4 – Berbelanja Secara Tunai Sahaja!

Jika ingin membeli barang, pastikan membeli secara tunai supaya kita betul-betul terasa setiap sen duit yang keluar. Jauhkan segala bentuk ansuran, beli dulu bayar kemudian, skim bayaran mudah, hatta ‘zero interest payment’ sekalipun. Walaupun mungkin ‘zero interest payment’ tu secara matematiknya seperti terlihat untung, akan tetapi ia secara tidak langsung memupuk tabiat suka berhutang. Dalam jangka panjang, ia musuh dalam selimut yang paling bahaya.

Strategi #5 – Langsaikan Hutang Sekecil Zarah

Apabila berniat untuk melangsaikan hutang, sasarkan untuk membayar hutang yang jumlahnya paling kecil dahulu kerana apabila satu hutang sudah selesai, ia menjadi motivasi untuk melangsaikan hutang-hutang lain. Pabila terang-terangan bebas hutang, kita pasti akan terasa cukup berat untuk berhutang lagi kecuali “hutang baik” yang membuatkan kita lebih kaya.

p/s: Andaikan ada dua hutang yang jumlahnya lebih kurang sama, apa kata selesaikan hutang yang berkadar faedah yang paling tinggi terlebih dahulu.

Strategi #6 – Buat “Hutang Baik”, Tambah Harta

Jika kenaikan gaji sudah bertambah baik atau pendapatan sudah meningkat, manfaatkan kenaikan tersebut untuk membuat hutang-hutang baik seperti menambah rumah sewa, beli tanah dan sebagainya. Bukannya silih ganti kereta baru! Memang bukan senang untuk memaksa diri untuk menyimpan wang, namun jika berhutang, kita terpaksa langsaikannya! Walau apa pun, hutang piutang tersebut mesti diurus dengan baik, agar kita hidup tanpa himpitan hutang.

Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

Published by
SH