“Kalaulah aku tak buat benda itu mesti tak jadi apa-apa…” atau “Kalau aku fikir masak-masak sebelum bagi dia tadi mesti takkan ada apa yang merisaukan, ini dah jadi lain pulak.”
Mungkin itu menjadi dialog buat kita yang sering pertikaikan tentang suatu perkara yang telah berlaku. Apabila telah jadi sesuatu pasti ‘kalau’ pada permulaan ayat akan menjadi pencetus rasa penyesalan anda.
Artikel berkaitan: Selalu Rasa Lebih ‘Baik’ Dari Orang Lain? Ini Cara Atasi Rasa ‘Ujub’ Dalam Diri, Mengikut Mufti
Nabi Muhammad SAW melarang fikir perkara yang sudah berlaku…
Menurut Portal Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, perkara ini mungkin berpunca dengan permainan fikiran tentang penyesalan pada suatu perkara. Barangkali, ia membuatkan seseorang terlalu asyik memikirkan perkara yang sudah berlaku.
Terdapat satu hadis Baginda SAW yang boleh dijadikan panduan untuk memastikan adakah benar Baginda SAW melarang umatnya untuk berfikir tentang perkara yang sudah berlaku.
Hal ini seperti sabda Rasulullah SAW:
وَإِنْ أَصَابَكَ شَيْءٌ، فَلا تَقُلْ لَوْ أَنِّي فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَذَا، وَلَكِنْ قُلْ قَدَرُ اللهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ، فَإِنَّ لَوْ تَفْتَحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ
Maksudnya: Sekiranya sesuatu menimpa kamu maka janganlah kamu ucap “kalau” aku buat seperti itu dan ini tetapi ucaplah Allah telah menetapkan apa yang Dia kehendaki dan lakukan. Sesungguhnya perkataan “kalau” membuka peluang kepada syaitan untuk merosakkan akidah.[1]
Kita seeloknya tidak mempersoalkan perkara yang sudah berlaku dengan ‘kalau’ malah fikirkan mungkin ada ketentuan Allah SWT menetapkan ia berlaku. Di nukilkan pula dari Imam al-Nawawi pandangan al-Qadi ‘Iyad yang menysarahkan hadis ini, katanya:
قَالَ بَعْضُ الْعُلَمَاءِ هَذَا النَّهْيُ إِنَّمَا هُوَ لِمَنْ قَالَهُ مُعْتَقِدًا ذَلِكَ حَتْمًا وَأَنَّهُ لَوْ فَعَلَ ذَلِكَ لَمْ تُصِبْهُ قَطْعًا فَأَمَّا مَنْ رَدَّ ذَلِكَ إِلَى مَشِيئَةِ اللَّهِ تَعَالَى بِأَنَّهُ لَنْ يُصِيبَهُ إِلا شاء ما اللَّهُ فَلَيْسَ مِنْ هَذَا
Maksudnya: Sebahagian ulama menyebutkan bahawa larangan tersebut adalah bagi mereka yang beriktikad dengan ucapan tersebut semata-mata seperti kalaulah dia tidak melakukan seperti itu pasti dia tidak ditimpa musibah. Manakala bagi mereka yang menyerahkan segalanya kepada Allah SWT seperti tidaklah seseorang itu ditimpa musibah melainkan itu merupakan kehendak Allah SWT, maka mereka ini tidak termasuk dalam larangan tersebut.[2]
Menerusi nukilan Imam al-Nawawi, mereka yang beriktikad (percaya) jika tidak melakukan suatu perkara yang sedemikian pasti tidak akan timpa kecelakaan adalah salah. Ianya seolah-olah mempertikaikan kekuasaan Allah SWt.
Al-Qadi ‘Iyad juga menyebutkan bahawa:
قَوْلُهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِنَّ لَوْ تَفْتَحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ أَيْ يُلْقِي فِي الْقَلْبِ مُعَارَضَةَ الْقَدَرِ وَيُوَسْوِسُ بِهِ الشَّيْطَانُ
Maksudnya: Sabdaan Nabi SAW “Sesungguhnya perkataan “kalau” membuka peluang kepada syaitan untuk merosakkan akidah” bermaksud diletakkan dalam hati perkara-perkara yang bertentangan dengan ketentuan Allah SWT dan syaitan mewaswaskan seseorang dengan perkara itu.[3]
Artikel berkaitan: Rasulullah SAW Mempunyai Kulit Yang Putih Kemerah-Merahan, Abu Hurairah Berkata Seolah Terbentuk Dari Perak
Jadi adalah lebih elok kita mengucap dan memahami setiap perkara yang berlaku adalah atas ketentuanNya yang ingin menguji kita. Setiap perkara ada solusinya dan mempersoalkan bukanlah jalan yang terbaik.
Sumber: Portal Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI