Ebit Lew Mahu Sponsor Tanah Atau Gudang Untuk 300 Anjing & 130 Kucing Pak Mie Shelter

Share

Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew memang aktif dengan aktiviti-aktiviti sumbangan dan kebajikan berskala besar. Beliau sangat terkenal dengan penampilan berjanggut, berkopiah dan berkurta serta pendekatannya menyantuni masyarakat fakir miskin, golongan terpinggir, remaja, dan golongan LGBT.

Terbaru, pemilik rangkaian pasar raya Elewsmart ini merancang membeli gudang ataupun tanah di sekitar Alor Setar bagi menempatkan anjing dan kucing dari Pusat Pengurusan haiwan terbiar, Pak Mie Shelter di Jalan Tanjung Bendahara dekat sini.

Beliau terpanggil berbuat demikian apabila pengurus Pak Mie Shelter, Allahyarham Halijah Idris, 73, meninggal dunia seminggu lalu akibat kanser ovari. Nasib 300 ekor anjing dan 130 kucing harus dibela. Kini usaha ‘menyantuni’ haiwan-haiwan tersebut diteruskan oleh anak-anak arwah.

Berikut perkongsian Ebit Lew dilaman Facebooknya.

Doakan ya. Ada seminggu lagi 300 ekor anjing dan 130 kucing tiada tempat tinggal tetap lagi. Saya nak sponsor gudang atau belikan tanah untuk semua anjing dan kucing ini. Saya tengah cari gudang atau tanah area Alor Setar.

Kasihan tengok 300 ekor anjing dan 130 kucing. Mak Intan baru je meninggal dunia minggu lepas kerana kanser. 30 tahun kutip anjing dan kucing sakit. Ubati, beri makan, dan tempat tinggal. Ramai yang hantar pada mereka.

Kini seminggu Mak Intan dah tiada anaknya menyambung usaha ibu bapa mereka. Beri makanan untuk anjing dan kucing ini.Tanah ini akan diambil kembali untuk pembangunan 21 Feb ini. 7hari lagi. Bandaraya ada bagi kawasan untuk disewa bagi tempoh 6bulan ditempat lain dengan syarat tertentu.

Tadi berbincang dengan keluarga arwah Mak Intan. Baik anak-anak Mak Intan. Terpilih buat kerja begini. Dah lewat petang. Saya nak sponsor tempat bagi semua anjing dan kucing ini
Terima kasih semua yang menyokong perjuangan Mak Intan dan keluarga. Terima kasih semua pimpinan masyarakat dan masyarakat sekitar.

Pada 29 Januari lalu, media melaporkan Pusat Pengurusan haiwan terbiar, Pak Mie Shelter yang menguruskan hampir 400 ekor anjing dan 180 ekor kucing di Jalan Tanjung Bendahara, perlu memikirkan lokasi baharu apabila diarahkan berpindah oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

Pemindahan perlu dilakukan bagi memberikan laluan kepada projek pembinaan loji rawatan kumbahan serantau dan rangkaian paip pembetungan Kota Setar. MBAS melalui satu kenyataan terbaharu pada 11 Februari lalu berkata, pusat itu akan dipindahkan ke penempatan sementara di Jeragan di atas tanah miliknya.

Pak Mie Shelter diberikan hak untuk mengurus tadbir tapak sementara pusat pemeliharaan anjing dan kucing ini selama tempoh enam bulan bermula pada 15 Februari hingga 14 Ogos.

HIJABISTA: Kita doakan semoga urusan Ebit Lew untuk mendapatkan membeli gudang atau tanah dipermudahkan demi membela nasib haiwan-haiwan terbiar ini.

Sumber kredit: Facebook Ebit Lew Sinar Harian

 

 

 

 

 

Published by
Norhasliza