Nama Nadiya Hussain mula menjadi sebutan ramai seluruh dunia setelah berjaya merangkul gelaran juara dalam pertandingan memasak di England iaitu Great British Bake Off 2015. Kejayaan ibu kepada tiga cahaya mata berusia 39 tahun ini membuktikan dia adalah wanita berhijab pertama yang memenangi pertandingan memasak popular itu.
Selepas bergelar juara, Nadiya mengakui kehidupannya berubah secara drastik. Sehingga kini, aktivitinya mendapat perhatian media. Nadiya turut berkongsi kisah yang penuh inspirasi tentang dirinya.
Menurut Nadiya, kemenangan di Great British Bake Off 2015 mengubah dirinya daripada seorang wanita pendiam yang tidak suka ‘menunjuk-nunjuk’ kepada seorang yang sangat yakin.
Sebelum menjadi terkenal seperti sekarang, Nadiya akui dia seorang wanita yang mudah merasa takut. Antara ketakutannya ialah dia tidak berani menggunakan pengangkutan awam.
“Saya masih ingat sebelum sertai Bake Off saya mungkin orang yang paling takut di dunia. Saya tidak berani menaiki pengangkutan awam, tidak tahu bagaimana untuk menaiki kereta api.
“Kini saya faham kenapa suami sangat menggalakkan saya untuk menyertai Great British Bake Off 2015. Untuk menaikkan keyakinan diri saya,” kata Nadiya ketika ditemu bual Radio Times.
Kemenangan wanita kelahiran Bangladesh ini bukan hanya berjaya meningkatkan keyakinan diri bahkan banyak membuka peluang baru seperti dijemput ke pelbagai acara berprestij dan program televisyen.
BACA JUGA: 10 Rona Hijab Untuk Si Gadis Hitam Manis, Semak Ilham Supermodel Halima Aden!
Lebih bermakna, Nadiya pernah mendapat jemputan ke majlis ulang tahun kelahiran Ratu Elizabeth II yang ke-90. Tidak sekadar itu, Nadiya turut mendapat permintaan untuk menghasilkan kek istimewa buat Ratu Elizabeth II. Ia pasti menjadi momen terindah buat Nadiya kerana mendapat kepercayaan Ratu England.
Nadiya turut mempunyai program televisyennyaa sendiri iaitu ‘The Chronicles Of Nadiya’ di BBC. Wanita yang dibesarkan di Luton, England ini turut berpeluang untuk ‘catwalk’ di karpet merah sempena BAFTA TV Awards bersama Debrett, orang paling berpengaruh di England ketika itu.
SOKONGAN SUAMI
Nadiya turut berterima kasih kepada suaminya, Abdul yang sentiasa memberi sokongan tanpa jemu sepanjang menyertai pertandingan Great British Bake Off 2015.
“Sekarang saya faham, suami melakukannya demi melihat saya menjadi seorang yang berkeyakinan tinggi. Saya berharap perubahan ini dapat memberi inspirasi kepada wanita.”
Dia juga mahu mengurangkan stigma buruk mengenai suri rumahtangga dan perkahwinan yang diatur. Menurut Nadiya, dia dan suami berkahwin kerana telah diatur oleh keluarga. Perkahwinan mereka kekal bahagia sehingga kini.