‘Dulu Hati Saya Hitam & Keras, Tetapi Allah Tetap Sayang & Tarik Perlahan-lahan Untuk Berhijrah’ – Diana Amir

Share

Suatu ketika dulu tercetus fenomena apabila seorang demi seorang artis berhijrah dengan menutup aurat. Salah seorangnya adalah pelakon dan pengacara popular, Diana Amir. Walaupun sudah hampir 6 tahun berhijrah, namun kisah penghijrahannya tetap menjadi bualan netizen hingga kini. Ramai yang tidak menyangka perubahan cukup drastik kerana melihat pada zaman lampaunya, penampilan Diana Amir tidak seperti dirinya sekarang. Baru-baru ini Diana Amir sekali lagi berkongsi cerita penghijrahannya bersama stesen radio baru Zayan FM.

Menurut Diana, hidayah yang diterimanya adalah dengan izin Allah dan dia amat bersyukur terpilih untuk menerimanya. Dulu hatinya cukup hitam dan keras, tetapi Allah tetap nak bantu dan perlahan-lahan menarik dia untuk berhijrah.

Dia begitu bersyukur kerana Allah telah mengubah hatinya agar tidak terus leka dengan duniawi. Sebelum itupun menurut Diana dia adalah bersekolah agama dan latar belakang keluarga yang punya pegangan agama yang kuat. Tetapi dek kerana terpengaruh ketika belajar di utara menyebabkan Diana menjadi sedikit lalai dan leka.

Dalam hal ini, keluarga adalah penguat dirinya untuk berhijrah. Sebaik berhijrah, Diana Amir memang jarang muncul berlakon di kaca televisyen. Ada sebab kenapa dia tidak aktif

seperti dulu.

Menurutnya, setelah berkahwin dia terpaksa menolak segala tawaran kerana berlakon memerlukan komitmen dan masa yang sangat panjang. Tambahan pula Diana kemudiannya mendapat cahaya mata dan kehadiran anak menjadi penyebab paling kuat untuk tidak lagi berlakon.

Rezeki Diana kini lebih kepada mengacara dan dia cukup selesa kerana baginya ia adalah perkara baru dan mencabar. Banyak perkara boleh dia belajar dari situ untuk menjadikan dia seorang insan yang lebih istiqomah dalam perjuangannya.

Diana Amir juga antara selebriti yang berdakwah dengan followernya berjumlah 1.1 juta di laman sosial. Ada sahaja posting yang dikongsi daripada potongan hadis atau ayat Al-Quran untuk mengajak netizen ke arah kebaikan. Ramai yang memberikan komen positif dan berterima kasih atas segala perkongsian Diana.

KREDIT FOTO: DIANA AMIR

Artikel Berkaitan: 10 Selebriti Ini Guna Media Sosial Untuk Berdakwah

Published by
Siti Zurina