Dubai baru sahaja membuka taman Al-Quran pertama di dunia yang diberi nama Quranic Park pada 30 Mac yang lalu. Ianya terletak di daerah Al Khawaneej, Dubai.
Pembukaan taman itu diyakini dan dirasakan dapat memberi kesempatan buat pengunjung bagi mempelajari kitab suci Islam dan segala keindahan yang ada padanya. Pembangunan ini juga bertujuan bagi menghubungkan komunikasi intelektual berserta budaya, agama dan juga kehidupan masyarakat yang berbeza.
Taman seluas 60 hektar itu memiliki pelbagai tanaman seperti yang terkandung dalam ayat suci Al-Quran. Taman tersebut juga mempunyai tempat untuk kanak-kanak bermain, ruang teater, gambaran ibadah umrah dan lain-lain lagi yang menonjolkan kehebatan Al-Quran.
Selain itu, taman itu juga memiliki 54 tanaman seperti ara, delima, zaitun, daun bawang, bawang putih, barli, gandum dan sebagainya. Pengunjung juga boleh melihat air pancut, padang pasir, oasis kelapa sawit dan juga laluan jalan berpasir di situ.
Respons yang diterima daripada orang ramai ternyata sangat luar biasa. Pada awal pembukaannya, Quranic Park telah berjaya menarik sekitar 100,000 pengunjung. Taman ini juga menampilkan 12 taman, sebuah “Cave of Miracles” dan danau terbelah yang menggambarkan saat Nabi Musa AS membelah Laut Merah menggunakan tongkatnya dengan izin Tuhan.
Bukan itu sahaja, para pengunjung juga dapat menerokai gua yang ada di sana dan belajar mengenai tentang kisah Nabi Isa AS saat ‘menghidupkan’ seekor burung dari tanah liat dan enam mukjizat lain yang disebut dalam Al-Quran. Di dalam gua itu, pengunjung dapat merasakan keterujaan apabila melihat hologram dan juga sejumlah peta tiga dimensi (3D) di situ.