Memegang tugas sebagai seorang doktor memang mencabar apatah lagi di saat getir begini. Mereka dan barisan hadapan yang lain wajar menerima penghormatan daripada semua kerana sanggup berkorban masa dan tenaga demi negara yang tercinta.
Berkongsi di laman sosial, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor meluahkan rasa terharunya apabila melihat isterinya iaitu Dr. Halina yang sangat komited dengan kerjanya biarpun terdedah dengan risiko dijangkiti virus covid-19 pada ketika ini.
Dr Halina terdedah kepada Covid.
Isteri tercinta, Dr. Halina telah menjalankan pemeriksaan ke atas pesakit covid-19 sejak dari pertama lagi. Semalam, dia membuatkan kami semua terkejut apabila dia pulang ke rumah dengan simptom sakit tekak dan batuk.
Selepas melakukan ujian swab, dia telah mengkuarantinkan dirinya di dalam bilik di rumah sementara menunggu keputusannya. Ia menyedihkan saya apabila melihat dia tidak boleh berada dekat dengan anak-anak. Tak boleh bayangkan bagaimana perasaannya sementara menanti tempoh 8 jam.
Saya teringat ketika dia menghubungi saya dari hospital tidak tahu mahu ke mana disebabkan dia tidak mahu saya dan anak-anak dijangkiti olehnya. Pada waktu itu pun dia masih mementingkan orang lain.
Alhamdulillah, keputusan ujiannya adalah negatif. Walau apa yang sudah terjadi, dia masih meneruskan semangatnya untuk bekerja hari ini. Itulah Dr. Halina. Bukan kerana dia isteri saya tetapi kerana dia doktor yang sudah dilatih untuk membantu orang lain… berkorban demi pesakit… apa yang penting adalah menyelamatkan nyawa tidak kiralah sebesar mana risikonya.
Kepada semua doktor, jururawat dan mereka yang terlibat dalam bidang perubatan di luar sana, sentiasalah kuat dan berani.
Anda sentiasa berada dalam doa kami setiap masa.
Sebak membaca penulisannya ini. Benarlah, sungguh besar pengorbanan mereka hingga terpaksa mengorbankan waktu bersama anak dan keluarga tercinta. Kita sebagai rakyat Malaysia bantulah mereka dengan mematuhi arahan kerajaan sepanjang Perintan Kawalan Pergerakan (PKP) ini agar wabak ini segera lenyap dari muka bumi.