Kanta sentuh adalah alat optik yang dibuat bahan sintetik seperti silikon. Tujuan utama penggunaan kanta lekap adalah untuk membetulkan masalah mata rabun seperti rabun jauh, rabun dekat serta rabun silau (astigmatism).
Walaubagaimanapun, sejak kebelakangan ini, kanta sentuh sering digunakan atas tujuan kosmetik. Malangnya, ramai pengguna tidak mengetahui tentang cara penggunaan kanta lekap yang betul sehingga membawa kepada banyak komplikasi.
Keadaan ini bertambah menyedihkan apabila sebilangan komplikasi ini menyebabkan kebutaan. Adalah penting bagi pengguna untuk menerima pendidikan yang betul tentang kanta sentuh untuk mencegah komplikasi. Pada tahun 2007 hingga 2008, di Malaysia, terdapat 202 kes ulser kornea atau kudis mata disebabkan penggunaan kanta sentuh. Majoriti (70%) adalah perempuan antara umur 20 hingga 30 tahun.*
Apakah Komplikasi Penggunaan Kanta Sentuh Yang Tidak Sesuai?
- Contact-lens Acute Red Eye Syndrome (CLARES) – iaitu sindrom mata merah yang disebabkan radang pada mata. Ia terhasil daripada tindakbalas yang berlaku terhadap bakteria atau protein yang terbentuk daripada tindakbalas Antara permukaan kornea dan kanta sentuh
- Allergic reaction – tindak balas alahan di mana mata menjadi merah dan gatal
- Corneal abrasion – Luka pada lapisan kornea
- Dry eyes – Mata kering
- Neovascularisation – Penghasilan salur darah pada kornea yang menyebabkan mata kelihatan merah dan penat
- Corneal ulcer – Jangkitan kuman yang menyebabkan ulser kornea atau kudis mata. Ini merupakan komplikasi yang amat dikhuatiri kerana ia boleh menyebabkan kebutaan pada mata di mana pemindahan kornea harus dilakukan untuk mendapatkan penglihatan yang baik
Apakah Gejala atau Simptom Sekiranya Berlaku Komplikasi Seperti Kudis Mata? Dan Apakah Yang Perlu Saya Lakukan?
Kesakitan pada mata, mata menjadi merah, penglihatan yang menurun atau penghasilan discaj pada mata. Jika gejala-gejala ini berlaku, sila lawati doktor mata secepat mungkin kerana rawatan segera diperlukan untuk mencegah komplikasi lanjut.
Siapakah Yang Berisiko Untuk Mendapat Komplikasi Tersebut?
- Individu yang kurang pemahaman, kesedaran dan pengetahuan mengenai kanta lekap
- Kebersihan diri yang rendah seperti kuku yang kotor dan tidak membasuh tangan ketika mengendalikan kanta sentuh
- Memakai kanta sentuh yang berpanjangan atau dilanjutkan melebihi tempoh yang disyorkan
- Menyimpan kanta sentuh di tempat kotor seperti di bilik mandi
- Membersihkan dengan air paip atau menggunakan larutan kanta lekap (contact lens solution) yang tercemar
- Berenang sambil memakai kanta sentuh
- Pesakit diabetes
Apakah Cadangan dan Nasihat Untuk Pengguna Kanta Sentuh?
Sebaiknya, setiap pengguna kanta sentuh perlu mendapatkan priskripsi daripada individu professional seperti pegawai optometri. Mereka akan mencadangkan jenis kanta lekap yang sesuai untuk pengguna tersebut. Selain itu, mereka juga akan melakukan ujian pemasangan kanta sentuh untuk melihat kesesuaian terhadap pengguna tersebut.
Mana-mana pengguna harus dididik tentang bagaimana untuk meletakkan dan mengeluarkan kanta sentuh, tempoh penggunaan, kaedah pembersihan dan penyimpanan yang betul, serta gejala awal jika komplikasi berlaku. Jika anda merancang untuk menggunakan kanta sentuh, sila lawati kedai cermin mata yang mempunyai perkhidmatan oleh pegawai optometris terdekat anda untuk mendapatkan preskripsi dan pendidikan yang betul mengenai kegunaannya.
SUMBER: Dr Aniah
Pakar Mata dan Pensyarah Perubatan, Universiti Putra Malaysia (UPM)
* Goh, P. P. et al. (2010) ‘Contact lens–related corneal ulcer: a two-year review.’, The Medical journal of Malaysia, 65 Suppl A, pp. 120–3.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI