Doktor Ini Nasihat Hati-hati Ambil Ponstan Termasuklah Wanita Datang Bulan Yang Selalu Kena Senggugut

Share

Pengambilan ubat-ubatan perlulah atas nasihat doktor. Kita tidak boleh ‘memandai-mandai’ mengambil sebarang jenis ubat. Bimbang tidak sesuai dan ada kesan sampingan pada tubuh.

Salah satu ubat yang sering diambil ketika sakit ialah Ponstan. Ubat ini seakan wajib ada dalam simpanan. Sama ada di rumah dan di dalam beg tangan, ubat ini sentiasa dibawa sebagai awasan jika keadaan memerlukan.

Berikut perkongsian dari Dr Zubaidi Hj Ahmad

Ponstan adalah ubat penahan sakit yang agak terkenal di kalangan pesakit-pesakit yang sering mengalami sakit kepala. Malah ada yang menggunakan ubat ini secara berpanjangan sehinggakan ubat ini tidak lagi membantu mengurangkan kesakitan yang mereka alami.

Malah Ponstan ini boleh dibeli secara mudah, tanpa preskripsi, di farmasi dan kedai-kedai ubat. Ia dikenali dengan pelbagai nama, seperti Holostan, atau lebih mudah disebat ‘ubat kuning lonjong’.

Ponstan sebenarnya adalah ubat yang terkawal, yang seharusnya diambil dengan nasihat doctor atau ahli farmasi. Ini kerana setiap ubat mempunyai risiko dan manfaat. Doktor hanya akan memberikan ubat ini jika mendapati Ponstan memberikan manfaat kepada pesakitnya.

BERHATI-HATI MENGGUNAKAN PONSTAN

Ponstan mempunyai bahan aktif yang bernama ‘mefenamic acid’. Ia yang berada dalam kumpulan Non-Steroidal Anti-Inflammatory Drugs (NSAIDs). Ponstan dipasarkan dengan dua jenis: Ponstan 250mg yang biasanya dalam bentuk kapsul berwarna biru kehijauan muda dan kuning keputihan sementara Ponstan 500mg berwarna kuning dan berbentuk lonjong.

Ponstan diberikan oleh doktor untuk mengurangkan kesakitan dan bengkakan akibat radang (inflammation) yang disebabkan oleh :

1. Sakit otot dan sendi contohnya terseliuh, sakit pinggang, rheumatism
2. Untuk mengurangkan sakit akibat patah tulang atau tulang beralih (dislocation)
3. Sakit gigi
4. Sakit kepala
5. Senggugut

Ponstan dapat digunakan dengan selamat kerana ia tidak menyebabkan ketagihan, tetapi ia harus diambil secara berhati-hati kerana boleh menyebabkan alahan (allergy), terutama pada pesakit yang pernah mengalami alahan pada aspirin atau ubat penahan sakit (NSAID) yang lain.

Tanda-tanda alahan yang biasa dialami ialah kesukaran bernafas dan menyebabkan asthma, bengkakan pada muka bibir dan lidah sehingga menyebabkan kesukaran untuk menelan, mengalami ruam dan kegatalan pada kulit yang teruk dan boleh menyebabkan pengsan.

Bagi wanita yang hamil, Ponstan tidak harus digunakan kerana ia boleh memberikan kesan mudarat kepada bayi dalam rahem. NSAIDs menghalangkan pembentukan prostaglandin yg penting di akhir kehamilan, menyebabkan bayi dalam kandungan bermasalah.

Antaranya kesan sampingan pada bayi ialah menghalang penutupan saluran darah di jantung (closure of the foetal ductus arteriosus), menyebabkan masalah ginjal, darah menjadi cair pada bayi, dan berkemungkinan akan mengalami proses melahirkan anak yang lebih lama. Oleh itu Ponstan tidak boleh diberikan terutama beberapa hari sebelum proses kelahiran.

Begitu juga untuk wanita yang sedang menyusukan bayi kerana ponstan boleh masuk ke dalam susu ibu dan memberikan kesan pada bayi.

Bagi mereka yang pernah mengalami cirit-birit selepas mengambil Ponstan, penggunaan Ponstan harus dielakkan kerena Ponstan boleh menyebabkan cirit-birit ini berulang. Begitu juga dengan pesakit peptic ulcer dan penyakit luka pada usus seperti penyakit Crohn’s disease dan ulcerative colitis. Mereka dilarang menggunakan Ponstan.

Begitu juga dengan pesakit kronik seperti pesakit ginjal, lemah jantung, kegagalan organ hati (liver), pesakit serangan jantung yang akan menjalankan pembedahan jantung bypass.

Ponstan tidak harus diberikan kepada kanak-kanak berumur 14 tahun ke bawah. Ini kerana belum banyak kajian yang dilakukan bagi membuktikan Ponstan selamat untuk kanak-kanak.

SENARAI UBAT YANG MEMBERI KEMUDHARATAN

Selain itu pesakit harus memberi tahu doktor jika ada mengambil ubat-ubat lain atau herba yang dibeli dari farmasi atau yang dipreskripsi oleh doktor. Ini kerana Ponstan memberikan tindak balas yang merbahaya jika dicampurkan dengan ubatan/herba yang lain.

Antara ubat yang boleh bertindak balas dan memberikan kemudaratan ialah:

1.Aspirin atau salicylates acid
2.Ubat penahan sakit (NSAID) yang lain seperti Synflex, Brufen
3.Ubat pencair darah seperti warfarin
4.Ubat untuk penyakit darah tinggi (hypertension)
5.Ubat steroid untuk penyakit SLE
6.Ubat untuk penyakit diabetes
7.Ubat lithium untuk penyakit kemurungan
8.Ubat-ubatan seperti cyclosporine, tacrolimus, methotrexate

Ponstan haruslah diambil dengan cara yang betul, seperti mana arahan doktor atau ahli farmasi. Pesakit harus bertanyakan kepada mereka untuk mengelakkan salah faham. Dos yang biasa diberikan ialah 500mg tiga kali sehari selepas makan dengan segelas air. Jangan cuba mengunyah tablet atau kapsul ponstan.

Ponstan tidak harus diambil secara berterus. Ia boleh diambil untuk beberapa hari sehingga beberapa minggu, asalkan mengikut arahan yang ditetapkan oleh doktor. Sebagai contoh bagi masalah senggugut (period pain), Ponstan hanya diambil apabila pesakit mula merasakan senggugut dan berterus sehingga beberapa hari sehingga hilang sakitnya.

Tetapi bagi pesakit yang mengalami keretakan atau patah tulang, Ponstan boleh digunakan untuk beberapa minggu, atas nasihat doktor.

Ini mengelakkan dari pengambilan Ponstan melebihi dos yang telah ditetapkan. Nasihat saya ialah jangan mengambil Ponstan dengan dos yang berlebihan walaupun mungkin terlupa memakan Ponstan pada waktu sebelumnya kerana ini akan meningkatkan risiko mendapat kesan sampingannya.

Pengambilan Ponstan juga mungkin mengganggu keputusan pemeriksaan darah pesakit. Oleh itu sebelum mengambil darah untuk pemeriksaan, harus memberitahu dulu doctor. Ponstan tidak harus diteruskan jika ia tidak lagi memberikan kesan mengurangkan sakit. Ponstan juga tidak boleh diberikan kepada orang lain sembarangan.

KERACUNAN PONSTAN

Jika seseorang pesakit dengan tidak sengaja telah mengambil Ponstan pada dos yang berlebihan, dinasihatkan agar mendapat pemeriksaan doktor walaupun mungkin tiada tanda-tanda keracunan atau overdose.

Antara tanda-tanda keracunan Ponstan akibat memakan Ponstan pada dos yang berlebihan ialah mengalami rasa tidak selesa pada abdomen, cirit-birit, rasa otot bergerak-gerak (muscle twitches), sawan, rasa pening dan hallucination.

Ponstan jarang menyebabkan mengantuk tetapi ada kalanya pada sesetengah pesakit ia boleh menyebabkan pening (dizziness). Oleh itu harus berhati-hati jika mengendalikan mesin, memandu, atau melakukan pekerja yang agak merbahaya seperti memanjat bangunan tinggi.

Bagi orang yang meminum arak, ponstan boleh menyebabkan rasa pening yang teruk. Bagi warga tua berumur 65 tahun ke atas, harus menggunakan Ponstan dengan berhati-hati.

Pesakit harus berhenti memakan Ponstan dan terus ke Jabatan Kecemasan apabila mengalami tanda-tanda seperti:

1. Muntah darah atau muntah berwarna perang kehitaman
2. Pendarahan dari dubur atau najis berwarna seperti tar
3. Bengkak pada muka sehingga sukar menelan atau bernafas
4. Mengalami asthma
5. Mengalami alahan kulit seperti rasa gatal, ruam merah
6. Pengsan dan sawan
7. Rasa demam, loya dan muntah
8. Rasa sakit ada dan ketat di bahagian dada
9. Rasa sakit kepala, sakit tengkuk atau silau yang melampau terhadap cahaya

Kesan sampingan yang teruk begini jarang berlaku tetapi harus mendapat perhatian doktor secepat yang mungkin.

Sumber kredit: Dr Zubaidi Hj Ahmad

 

Published by
Norhasliza