Pelakon cantik, Elfira Loy selamat berangkat ke tanah suci pada hari ini bagi menunaikan ibadah haji. Elfira, 30 tahun meluahkan rasa syukur apabila direzekikan untuk menunaikan ibadah haji pada usia muda.
Elfira mendedahkan dia menerima undangan Kementerian Media Arab Saudi pada saat akhir iaitu selepas menghantar ibunya ke tanah suci baru-baru ini.
Elfira atau nama penuhnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri mengakui sukar mempercayai dirinya diterima menjadi tetamu Allah pada saat akhir.
“Selepas hantar ibu tunaikan haji, saya dapat berita mengenai jemputan ini. Semuanya pada saat akhir ketika semua perancangan mereka selesai.”
Apatah lagi, dengan usianya yang masih muda iaitu baru mencecah 30 tahun. Pun begitu, ibu kepada dua cahaya mata ini tetap bersyukur dengan rezeki dan peluang terindah dalam hidupnya.
“Saya anggap ini panggilan sangat istimewa. Allah Maha Baik…. Terima kasih Ya Allah! Tangan saya masih menggigil ketika menaip hantaran ini,” tulis Elfira dalam hantaran di Instagram peribadinya.
Terdahulu, Elfira ada meluahkan rasa terharu apabila rakan-rakanya turut membantu memandangkan dia mempunyai kekangan masa dalam membuat persiapan saat akhir.
“Saya rasa terharu apabila ramai sangat yang tolong siapkan baju, hantar tudung semua.”
BACA JUGA: “Kalau Rakaat Kedua Dah Macam Ni, Takut..” – Elfira Loy Rindu Mahu Solat Dengan..
Elfira turut memohon doa semua agar dimudahkan segala urusannya di tanah suci serta memperoleh haji mabrur.
“Doakan semoga perjalanan saya tenang, mudah dan selamat. Semoga saya peroleh Haji Mabrur.”
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata para pengikut dan peminatnya menzahirkan kesyukuran dan mendoakan kebaikan buat Elfira.
Selain Elfira, antara selebriti lain yang menunaikan haji tahun ini ialah pasangan suami isteri Johan dan Ozlynn Wati, Datin Alyah serta Irma Hasmie.