Doa Senjata Mukmin! Hijabi Perlu Cakna ‘Keistimewaan’ Berdoa Di Hari Jumaat

Share

Hari Jumaat merupakan penghulu kepada segala hari. Selain itu hari Jumaat juga merupakan hari yang agung disebabkan ia mempunyai banyak kelebihan, keistimewaan dan kemuliaan berbanding hari-hari yang lain. Maka banyak-banyaklah berselawat dan berdoa pada hari Jumaat yang mulia ini.

Doa diertikan sebagai memohon dengan sepenuh hati kepada Allah SWT dengan permohonan yang mengharapkan kebaikan di sisi-Nya, memohon dengan rendah diri supaya apa yang diminta itu diperkenankan dan cita-cita termakbul.

Anjuran Dan Perintah Memperbanyakkan Doa

Doa menurut Imam al-Khattabi adalah permohonan hamba kepada Tuhannya dengan mengharapkan pertolongan-Nya dan juga bantuan daripada-Nya.

Firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: ‘Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.’”

Ayat ini merupakan dalil yang menunjukkan bahawa Allah SWT menuntut para hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya serta ia menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tiada khilaf dalam kalangan orang Islam.

Dalam agama Islam, doa bukanlah sesuatu perkara yang remeh tetapi mempunyai peranannya yang besar. Oleh sebab itu, ia sendiri dianggap sebagai ibadah. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada al-Nu‘man bin Basyir bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

الدُّعَاءُ هُوَ العِبَادَةُ

Maksudnya: “Doa itu merupakan ibadah.”

Selain itu, kita sebagai seorang yang beriman perlulah sentiasa berdoa kepada Allah SWT kerana insan ini sifatnya lemah dan sentiasa mengharapkan bimbingan sang Penciptanya dalam setiap keadaan. Tambahan lagi, banyak doa-doa yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada kita untuk digunakan dalam kehidupan seharian.

Allah SWT berfirman:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

Menurut Imam al-Qurtubi, ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT bukan sahaja memerintahkan kepada para hamba-Nya untuk beribadah bahkan Dia juga memberikan jaminan bahawa doa tersebut akan dimustajabkan.

Kata Khalid al-Rib’ie: Sangat ajaib buat umat ini, dikatakan kepada mereka: “Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan mustajabkan.” Allah memerintahkan kepada mereka untuk berdoa, serta menjanjikan kepada mereka kemustajaban tanpa ada sebarang syarat antara keduanya.

Kemudian Allah SWT berfirman dalam ayat yang sama:

إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

Ibn ‘Asyur di dalam tafsirnya menyatakan bahawa ayat ini menjadi dalil bahawa Allah SWT menuntut hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya serta ia menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tidak mempunyai khilaf dalam kalangan umat Islam sendiri

Artikel berkaitan: Jadikan Ayat Kursi Amalan Di Hari Jumaat, Ini 13 Kelebihan Bakal Hijabi Miliki!

Mustajabnya Doa Pada Penghulu Segala Hari!

Antara kelebihan dan fadhilat hari Jumaat, terdapatnya waktu di mana doa adalah mustajab. Hal ini berdasarkan hadith, Nabi SAW menyebut tentang hari Jumaat, sabdanya:

فِيها سَاعَةٌ لاَ يُوَافِقُهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ، وَهْوَ قَائِمٌ يُصَلِّى، يَسْأَلُ اللَّهَ تَعَالَى شَيْئًا إِلاَّ أَعْطَاهُ إِيَّاهُ

Maksudnya: “Pada hari tersebut ada satu ketika jika bertepatan seseorang Muslim yang mendirikan solat Jumaat memohon sesuatu kepada Allah SWT, nescaya Allah SWT memperkenankannya.”

Sambil bersabda, Baginda mengisyaratkan ketika yang sedikit itu dengan tangannya.

Waktu Mustajab Untuk Berdoa

Berdasarkan soalan di atas, terdapat sebuah hadith yang sahih berkaitan hal tersebut. Hadith tersebut diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan juga imam Muslim di dalam sahihnya dengan lafaz yang sedikit berbeza:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

فِي يَوْمِ الجُمُعَةِ سَاعَةٌ، لاَ يُوَافِقُهَا مُسْلِمٌ، وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي يَسْأَلُ اللَّهَ خَيْرًا إِلَّا أَعْطَاهُ

Maksudnya: “Pada hari Jumaat ini ada satu masa yang sekiranya ditepati oleh seorang muslim dalam keadaan dia bersolat meminta sesuatu daripada Allah SWT, pasti Allah SWT akan memperkenankan permintaanya itu.”

Melihat kepada hadis di atas, kita memahami bahawa Allah SWT telah meletakkan satu tempoh masa yang sangat istimewa pada hari Jumaat iaitu setiap permintaan hamba-hambanya akan dikabulkan pada waktu tersebut.

Dalam masalah ini, terdapat beberapa pendapat yang dinyatakan oleh para ulama’ sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Nawawi berdasarkan pendapat al-Qadhi ketika mensyarahkan hadis ini di dalam sahih Muslim, antaranya:

Pertama: Waktunya adalah ketika khatib duduk di atas mimbar sehingga selesai solat.Pendapat ini disokong dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy’ari.

Kedua: Waktunya adalah selepas asar sehingga terbenamnya matahari.

Ketiga: Waktunya adalah ketika solat didirikan sehingga ia selesai.

Keempat: Waktunya apabila imam keluar sehingga selesainya solat.

Artikel berkaitan: Doa Mustajab & Selamat Dari Fitnah Kubur, Ini Antara Keistimewaan Hari Jumaat Yang Anda Harus Tahu

Sumber kredit: maktabahalbakri.com 

Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

Published by
Haifa Nasir