Kita perlu sentiasa meletakkan keyakinan bahawa setiap doa yang dipanjatkan kepada Allah SWT tidak akan ditolak. Apabila kita yakin Allah itu Maha Pemurah, Maha Kaya, tentu kita juga akan yakin Dia mampu memakbulkan apa sahaja yang kita hajatkan.
Sebab itulah kita dianjurkan berdoa dengan menggunakan nama-nama Allah yang baik mengikut keperluan doa itu.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah dan berdoalah kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu.” (Surah al-A’raf, ayat 180)
DOA BELUM DIKABULKAN?
Mungkin kita terlupa bahawa Allah Maha Baik. Mana mungkin Allah yang Maha Baik itu menolak doa kita. Cuma kita sahaja yang tidak berdoa dalam keadaan bersungguh-sungguh.
Allah tidak akan mengecewakan hambaNYA yang bersungguh. Yang penting jaga hubungan dengan Allah dan tinggalkan laranganNYA. Jika anda mahu doa anda dikabulkan maka perlulah berjuang.
Doa ada tekniknya sendiri. Doa itu ada keajaiban yang kadangnya kita tidak sangka. Dengan itu kita dituntut berdoa dengan penuh kesungguhan. Mintalah doa bersungguh-sungguh pada Allah dengan merayu merintih.
Tunjukkan kesungguhan yang anda betul-betul mahu sangat hajat itu dimakbulkan dengan meningkatkan amalan, contohnya:
1.Solat fardhu di awal waktu.
2.Baca Al-Quran. Jika tidak mampu baca Al-Quran, ulang-ulang baca Surah-surah pendek yang mana hafal.
3.Laksanakan solat-solat sunat.
4.Berselawat, beristighfar, berzikir setiap saat.
5.Bersedekah setiap hari walaupun RM1 sehari.
Doa itu sangat ajaib. Apabila kita berdoa pada Allah dengan bersungguh-sungguh, yakin, penuh pengharapan, bila tiba masanya Allah mesti akan kabulkan. Yang penting kita jangan putus asa untuk terus berdoa dan kenal erti jemu.
Kalau hendak kena seribu daya, bukan buat amalan setakat mana yang mampu tapi mampu tingkatkan amalan selagi boleh. Pendek kata jika mahukan sesuatu maka kita perlulah berusaha dan berdoa serta yakin dengan ketentuan Allah.
Sumber kredit: Rohana Saad dan Photo by David McEachan from Pexels