Diuji Pemergian Bapa Ke Alam Abadi, Bukan Halangan Graduan USM Ini Kekal Berjaya

Share

Kehilangan insan tersayang bukanlah sesuatu yang mudah untuk diterima. Lebih-lebih lagi insan tersebut adalah ibu ataupun ayah kita sendiri. Mereka merupakan insan yang tiada galang-gantinya. Bayangkan, jika kita kehilangan mereka di saat terpenting dalam hidup. 

Situasi ini merupakan apa yang dilalui oleh seorang graduan dari Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (TESOL) iaitu Syed Muhammad Afifi Syed Md Ridzuan.

Meskipun diuji dengan kehilangan bapa tercinta ketika sedang berjuang di tahun akhir pengajian, namun ia tetap tidak mematahkan semangatnya. Anak kelahiran Kuala Ketih Kedah ini bukan sahaja berjaya mendapatkan segulung ijazah, malah turut menerima Hadiah Pingat Emas Universiti Sains Malaysia (USM).

Artikel Berkaitan: Graduan Kejuruteraan Terjun Ke Dalam Bidang Content Creator, Hijabi Ini Bina Kerjaya Jual Sambal Acar Tapi..

“Didedikasikan buat arwah bapa”

Foto Syed Muhammad Afifi Syed Md Ridzuan bersama keluarga

Walaupun telah ‘diuji’, graduan ini mengatakan dia dan keluarga amat berbangga dengan pencapaian atas usaha kerasnya sepanjang empat tahun pengajian di USM.

“Meskipun diuji dengan kehilangan insan yang sentiasa mendorong saya untuk terus berjaya, akan tetapi saya menganggap ujian ini adalah pembakar semangat untuk saya capai ke tahap ini.

“Dan ijazah serta anugerah ini saya dedikasikan buat arwah bapa saya yang meninggal pada bulan Mei yang lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Dianugerahkan Hadiah Pingat Emas USM

Untuk pengetahuan anda, Hadiah Pingat Emas USM ini dianugerahkan kepada pelajar tahun akhir yang terbaik dalam segala lapangan bagi kategori “HEBAT USM”. HEBAT USM menekankan nilai H iaitu, E iaitu Entrepreneur, B iaitu Balance

, A iaitu Articulate dan T iaitu Thinking yang perlu ada dalam diri setiap mahasiswa USM.

Ketika ditemubual oleh Sinar, graduan ini mengatakan dia tidak menyangka usahanya membuahkan hasil. Tidak hanya dari segi akademik, dia juga telah banyak memerah keringat dan melibatkan diri dari segi kokurikulum.

“Antara pencapaian dan sumbangan yang saya telah berikan adalah sebagai ahli USM Response Team sewaktu negara dan kampus mengalami pandemik Covid-19.

“Selain itu, saya juga pernah mengetuai projek sukarelawan membantu pelajar dari keluarga berpendapatan rendah (B40) serta memberi sumbangan ke Tabung Covid-19 USM,” ujarnya lagi.

Syed Muhammad Afifi sempat berpesan untuk tidak meratapi sesuatu pemergian serta redha dengan ketentuan Allah SWT. Sebaliknya, jadikan kehilangan tersebut sebagai dorongan untuk mencapai kejayaan.

“Jangan terlalu meratapi sesuatu pemergian, kerana hidup perlu diteruskan.

“Anggaplah setiap dugaan dan cabaran sebagai dorongan untuk capai lebih banyak kejayaan,” tambahnya.

Anak ketiga dari enam beradik ini juga berharap agar anugerah yang diterima menjadi contoh buat adik-adiknya yang lain di samping dapat mengubah nasib keluarga.

Artikel Berkaitan: Hadiah Buat Arwah Ayah, Graduan Politeknik Terima RM80 Ribu Lepas Cemerlang Dapat Anugerah Dekan 

Sekadar info, Hadiah Pingat Emas USM ini telah disampaikan kepada graduan-graduan yang terlibat bersempena Majlis Perasmian Ekspo Konvokesyen (ConvEx USM) 2022 kali ke-60 serta telah disempurnakan oleh Pro-Canselor, Tan Sri Datuk Dr Zulkefli A.Hassan.

Sumber info dan gambar: Sinar Bestari

Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

Published by
S.Amira