Berita

Diskriminasi Berhijab di Sukan Olimpik Paris, Atlet Tuan Rumah Dihalang Bertanding!

Share

Nasib hijabi Perancis, kemelut diskriminasi berhijab di Sukan Olimpik Paris nampaknya masih berterusan apabila atlet tuan rumah didakwa dihalang daripada bertanding dalam temasya dunia bermula dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Menurut Sinar Harian, pihak Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengumumkan pada bulan September bahawa atlet yang bertanding dalam Olimpik Paris 2024 boleh memakai hijab di perkampungan atlet tetapi larangan akan dikenakan untuk atlet negara tuan rumah.

Minky Worden, pengarah inisiatif global di Human Rights Watch (HRW) memberitahu The Independent bahawa larangan hijab oleh kerajaan Perancis untuk atlet melanggar Piagam Olimpik.

“Kesan daripada larangan hijab yang eksklusif oleh Perancis dalam banyak sukan adalah ramai wanita dan gadis dari negara tuan rumah Olimpik sendiri didiskriminasi, dikecualikan dan dihalang daripada bermain, berlatih serta bertanding dalam sukan yang mereka cintai dan mahir.

Ini adalah pelanggaran terhadap Piagam Olimpik yang mengatakan ‘sukan adalah hak asasi manusia,’ dan juga rangka kerja Hak Asasi Manusia baru IOC.

Atlet wanita Perancis dikecualikan daripada sukan kompetitif di negara mereka dan tiada akses kepada pemulihan yang tersedia untuk mereka,” katanya.

Foto: France 24

 

SUKAN OLIMPIK PARIS

Kemelut diskriminasi berhijab di Sukan Olimpik Paris kian berterusan apabila atlet tuan rumah didakwa dihalang daripada bertanding sekaligus menyebabkan beberapa atlet Perancis meninggalkan negara itu atau memikirkan untuk berpindah ke luar negara.

Helene Ba, seorang pemain bola keranjang Perancis dan profesional dalam bidang undang-undang berkata, larangan hijab pada musim panas ini hanya menyasarkan atlet Muslim yang memakai hijab sekali gus menjadikannya diskriminasi yang jelas berdasarkan jantina dan agama.

“Ini adalah pelanggaran terhadap nilai dan ketetapan Piagam Olimpik, tetapi ia juga melanggar hak dan kebebasan asas kami. Ia melanggar kebebasan berfikir, hati nurani dan agama kami serta hak kami untuk menyertai sukan.

Ia memperkuatkan stereotaip jantina dan perkauman dan ia menyuburkan kebencian anti-Muslim yang sudah sedia ada dalam sebahagian masyarakat Perancis,” katanya.

Foto: Bilqis Abdul-Qaadir

 

Bilqis Abdul-Qaadir, bekas pemain bola keranjang NCAA yang mengetuai keputusan Persekutuan Bola Keranjang Antarabangsa (FIBA) untuk membatalkan larangan hijab mereka pada tahun 2017 berkata, “Ia hampir membuat saya menangis kerana mengapa kita masih perlu melalui ini? Mengapa saya perlu menjelaskan saya seorang wanita Muslim dan saya pandai bermain bola keranjang.”

Larangan pemakaian hijab mendapat perhatian dalam perdebatan mengenai apa yang dikenali sebagai ‘laïcité’, satu istilah yang menandakan pemisahan gereja dan negara.

Tudung kepala bersama dengan simbol keagamaan yang jelas kelihatan lain, telah diharamkan di sekolah-sekolah yang dikendalikan oleh kerajaan sejak Mac 2004 di Perancis, yang merupakan rumah kepada populasi Muslim terbesar di Eropah Barat.

Senat Perancis mengundi pada Januari 2022 untuk melarang pemain sukan daripada memakai tudung kepala semasa pertandingan.

Foto: Sa’iyda Shabazz

Pada bulan September, Menteri Sukan Perancis Amelie Oudea-Castera, bekas pemain tenis profesional, mengesahkan bahawa pasukan Olimpik Perancis terikat oleh laïcité.

“Ia bermaksud neutraliti mutlak dalam perkhidmatan awam. Pasukan Perancis tidak akan memakai tudung kepala,” katanya kepada saluran televisyen France 3.

Surat kepada Presiden IOC yang ditandatangani oleh Amnesty International, Jawatankuasa untuk Melindungi Wartawan dan HRW menyeru jawatankuasa tersebut untuk ‘secara terbuka meminta pihak berkuasa sukan di Perancis untuk membatalkan semua larangan ke atas atlet yang memakai hijab dalam sukan Perancis, baik di Paris 2024 dan pada semua masa dan semua peringkat sukan.’

Surat itu menambah: ‘Wanita dan gadis di Perancis yang memakai hijab telah dan sedang dihalang daripada bermain pelbagai sukan, termasuk bola sepak, bola keranjang, judo, tinju, bola tampar dan badminton – bahkan di peringkat belia dan amatur.

Larangan hijab dalam sukan telah menyebabkan ramai atlet Muslim didiskriminasi, dikecualikan, dan dihina, menyebabkan trauma dan pengasingan sosial.’

Pemakaian hijab Olimpik bukan sesuatu yang asing. Di Olimpik Rio pada tahun 2016, atlet lawan pedang, Ibtihaj Muhammad menjadi wanita Islam pertama dari Amerika Syarikat (AS) memakai tudung di temasya sukan terbesar dunia itu. Perancis sudah melarang pemain-pemain bola sepaknya daripada memakai tudung ketika mewakili negara berkenaan.

Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA) membenarkan pemakaian tudung dalam kejohanan anjuran badan induk itu selepas ia dilarang dari tahun 2007 hingga 2014. Perancis bagaimanapun terus melarang pemakaian tudung di negara itu termasuk ketika mereka menganjurkan Piala Dunia Wanita 2019.

Keputusan Perancis menghalang pemakaian hijab itu nyata melanggar hak asasi terutama wanita yang beragama Islam.

Sumber: Sinar Harian

 

Artikel berkaitan: https://www.hijabista.com.my/tak-mahu-rezeki-terlalu-banyak-lufya-omar-reda-jika-namanya-bukan-pilihan-jenama-antarabangsa/

Published by
Lin