Disenarai Forbes 30 Under 30, Petinju Berhijab Nor ‘Phoenix Diana’ Kini Sebaris Neelofa

Share

Nor “Phoenix” Diana, ahli gusti profesional Malaysia yang berhijab  telah disenaraikan dalam Forbes “30 Under 30 Asia” tahunan kelima.

Senarai itu menampilkan 300 usahawan muda, pemimpin dan pencetus perubahan di seluruh Asia,  kesemuanya berumur bawah 30 tahun.

Forbes 30 Under 30 Asia Kelas 2020 menyenaraikan pemimpin cemerlang dan inovatif dengan 30 individu dipilih bagi setiap daripada 10 kategori.

Nor Diana, 20, wanita pertama memenangi kejohanan Tinju Pro Malaysia Wrestlecon (MyPW) Julai lepas terpilih di bawah kategori Sukan dan Hiburan.

Kategori lain termasuk Seni (Seni dan Gaya, Makanan dan Minuman); Kewangan dan Modal Teroka; Media, Pemasaran dan Pengiklanan; Runcit & E-Dagang; Teknologi Perusahaan; Industri, Pembuatan dan Tenaga; Penjagaan Kesihatan dan Sains; Usahawan Sosial dan Teknologi Pengguna.

“Pada tahun ini yang disenarai sebagai 30 Under 30 Asia Forbes adalah mereka yang menginspirasikan keyakinan bagi menghadapi tahun yang mencabar ini,” kata Editor Forbes 30 Under 30 Asia, Rana Wehbe dalam satu kenyataan semalam.

Wehbe mengambil perhatian bahawa wanita muda terutamanya berumur bawah 21 tahun menyerlah dalam senarai 2020 tersebut, seperti petinju berhijab warga Malaysia sehingga pelawak wanita pertama Bangladesh dan usahawan sosial yang membantu para petani di Filipina untuk memperbaiki hidup mereka.

Antara yang tersenarai pada tahun ini termasuk kumpulan muzik K-pop wanita Twice dan pelakon wanita Park So-dam, daripada Korea Selatan, dikenali menerusi filem Parasite, yang telah memenangi anugerah Oscar.

Turut tersenarai adalah pemain tenis wanita nombor satu dunia Ashleigh Barty, pengasas MyraSwim, Bianca Anstiss daripada Australia serta pelumba kereta berumur 14 tahun, Juju Noda daripada Jepun.

Senarai 2020 menampilkan senarai 30 Under 30 Asia yang pelbagai, dengan melibatkan 22 buah negara dan wilayah, mewakili rantau Asia-Pasifik.

Dipilih  daripada lebih 3,500 pencalonan, menerusi kajian wartawan Forbes dari seluruh rantau dan diteliti oleh veteran berpengalaman dalam industri, kumpulan individu yang terpilih ini telah mencatatkan kecemerlangan dalam industri disruptif dan dalam menangani isu global yang penting.

Kriteria bagi mereka yang tersenarai termasuk aspek kepimpinan, bagaimana mereka mewujudkan semangat keusahawanan yang sinonim dengan Forbes, dan potensi kejayaan dalam industri yang diceburi.

Faktor lain seperti inovasi, disruptif – saiz dan perkembangan usaha mereka dalam beberapa kategori – memainkan peranan dalam membuat keputusan muktamad.

Mereka yang tersenarai telah dipilih dan diteliti oleh panel hakim yang berwibawa dan terkenal dalam bidang masing-masing.

Mereka termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rakuten, Hiroshi Mikitani, Pengarah Eksekutif dan CEO HCL Corporation dan Pemegang Amanah Yayasan Shiv Nadar,  Roshni Nadar Malhotra dan Rakan Kongsi Utama di INCE Capital, JP Gan.

sumber: BERNAMA

Published by
Qistina