Didiagnos menghidap kanser ovari ketika berusia 18 tahun membuatkan Hafidzatul Hanis Abdul Razak,25, mengalami tekanan perasaan kerana terpaksa menangguhkan pengajiannya di universiti bersama teman-teman lain pada ketika itu.

Setelah tujuh tahun, Hanis kini sudah bebas kanser sepenuhnya dan telah pun mendirikan rumah tangga bersama suami tercinta, Haiqal Tajuddin dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang diberi nama Esra Nafeesa,1.

Tidak pernah mempersoalkan takdir Tuhan, Hanis telah berkongsikan bersama Hijabista mengenai perjalanannya melawan penyakit ini.

MULANYA HANYA DISANGKA GASTRIK

Saya mula didiagnos penyakit kanser pada umur 18 tahun iaitu tahun 2013, dan menjalani pembedahan buang sebelah ovari (kiri) kemudian diteruskan dengan rawatan kemoterapi. Simptom sebelum disahkan menghidap kanser adalah perut kembung selama 2 minggu, dalam tempoh tersebut sudah ke hospital 2 kali namun didiagnos gastrik. Sampailah ke minggu kedua apabila perut sangat kembung dan penuh hingga menolak organ hati dan dan membuatkan rasa ketat semasa bernafas.

Saya terus dikejarkan ke hospital dan menjalani pembedahan kecemasan selama enam jam sebelum doktor mendapati ovari sebelah kiri saya terbelit dan mengandungi hampir 10 liter cecair. Cecair tersebut dibawa ke pemeriksaan biopsi dan disahkan ia adalah sel kanser.

Disebabkan semasa pembedahan ovari tersebut telah pecah, cecair tersebut telah mula merebak ke bahagian organ lain terutama sekali hati. Justeru, seminggu selepas pembedahan saya terus dijadualkan rawatan kemoterapi untuk menghalang sel kanser terus merebak.

IKLAN

Sekarang, alhamdulillah sudah hampir 8 tahun bebas kanser dan menjalani pemeriksaan susulan di Hospital Ampang dua kali setahun untuk pemeriksaan darah tumor marker.

 

TAK TAHU BAGAIMANA NAK TERUSKAN HIDUP LEPAS DIDIAGNOS KANSER

Perasaan seorang gadis berumur 18 tahun mendapat tahu yang dia menghidap kanser dan perlu berhenti sekejap urusan pembelajaran di universiti untuk menjalani rawatan.

Saya sangat susah untuk mengeksperesikan tangisan di hadapan keluarga, di saat doktor memberitahu perkara tersebut di hospital saya masih menyimpan air mata dan hanya menangis secara senyap di tempat duduk belakang kereta semasa perjalanan pulang dari hospital ke rumah di Teluk Intan. Perkara pertama yang saya amat sedih ialah terpaksa menangguh pembelajaran di universiti dan apa nasib saya selepas itu, terlantar di katil? Atau meneruskan sisa hidup berulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

LEBIH SELEKTIF MEMILIH DIET PEMAKANAN

Selepas rawatan kemoterapi selesai, Alhamdulillah tiada kehadiran sel kanser di dalam organ badan saya sehingga sekarang. Saya menjalani kehidupan seperti biasa namun lebih berhati-hati dalam pemilihan diet di samping sentiasa mengawasi apa sahaja simptom pada badan yang mungkin disebabkan berulangnya kanser.

Doktor ada memberitahu peluang untuk berulang lagi masih ada kerana organ ovari melalui penghasilan sel yang aktif setiap bulan, dan sebab ini jugalah saya mengambil keputusan untuk berkahwin pada usia yang awal, untuk saya berjaya mempunyai anak sekurang-kurangnya satu kerana takut kanser berulang dan terpaksa membuang kedua-dua belah ovari.

KENA POSITIF SELALU!

Kanser mengajarkan saya pentingnya penjagaan emosi semasa menghadapi penyakit, terutama kanser. Kawan-kawan lain di wad yang sama dengan saya memberi pesan emosi yang kita lalui mempengaruhi rebakan kanser sel. Perlu sentiasa gembira dan positif semasa rawatan, in sha Allah ia dapat memudahkan proses rawatan kerana umum sudah tahu, rawatan kemoterapi memberi kesan yang agak menyakitkan pada badan tetapi perlu diteruskan untuk melawan kanser.

KONSISTEN MENJALANI RAWATAN, HANIS BERHARAP MEREKA DI LUAR SANA YANG MENGALAMI NASIB YANG SAMA SEPERTINYA AGAR TIDAK MUDAH MENGALAH DAN SENTIASA BERUSAHA MENCARI IKHTIAR AGAR DAPAT PULIH SEPENUHNYA.

Saya agak kurang senang dengan pendapat yang mengatakan rawatan kemoterapi hanya menyakitkan lagi kondisi badan pesakit dan seterusnya dia perlu menjalani hidup yang selamanya melawan kanser.

Disebabkan pendapat seperti ini, ada pesakit yang tak mahu membuat rawatan kemoterapi/radioterapi dan sebagainya sebaliknya hanya terus menunggu perlahan-lahan sel kanser merebak dan meninggal. Walaupun ikhtiar rawatan kanser memberi kesan kepada badan, namun itu adalah cara yang boleh dijadikan ikhtiar kepada pesakit dan selepas itu baru lah boleh bertawakal dengan ketentuan-Nya.

Buat anda semua, teruskan rawatan dan jangan berputus asa. Tanamkan dalam minda walaupun sakit dan perlu menjalani rawatan, tetapi kita boleh menjalani rutin seperti biasa. Jika perlu rehat, teruskan rehat dan jika berkemampuan teruskan bergerak aktif dan tidak hanya memikirkan diri mempunyai penyakit. Yang paling penting adalah penjagaan emosi, bercakap dan berkongsi dengan keluarga dan rakan adalah sangat membantu proses penyembuhan.