Pengacara serta pelawak popular, Jihan Muse berkongsi berita gembira tentang kehamilannya yang kini sudah pun memasuki enam bulan lebih. Berita gembira itu dikongsikan olehnya ketika ditemui di sidang media Anugerah Meletop Era 2021 (AME2021) yang berlangsung di Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Menurut Jihan, kehamilannya kali ini sedikit berbeza apabila dia disahkan positif Covid-19 pada Januari lalu. Ketika itu, kandungannya baru sahaja berusia sebulan dan memerlukannya mendapat rawatan di Hospital Sungai Buloh, Selangor selama 10 hari. Oleh disebabkan positif Covid-19 dan perlu dimasukkan ke hospital, barulah dia tahu bahawa dia juga sedang hamil.
Tambah Jihan atau nama sebenar, Nur Jihan Musa,39, dia mengetahui tentang status positifnya itu apabila melakukan ujian saringan sebelum mengacarakan AME2021 yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pada hujung Januari lalu.
Pun begitu, dia berasa syukur kerana tidak mengalami sebarang komplikasi ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh. Berbicara mengenai simptom Covidnya, dia hanya mengalami masalah batuk dan tidak memiliki simptom yang teruk.
Berkaitan berita kehamilannya itu, ia merupakan sebuah perkhabaran yang dinanti-nantikan oleh dirinya dan suami, Ungku Hariz kerana mereka memang bercadang untuk menambah zuriat dalam keluarga, memandangkan anak sulung mereka sudahpun memasuki usia empat tahun.
Jihan dan suami tidak terlalu memikirkan tentang jantina bayi yang bakal dilahirkan. Cukup sekadar bayi berada dalam keadaan yang sihat sejahtera. Jihan yang memenangi anugerah Personaliti TV MeleTop itu turut memberitahu bahawa berita kehamilannya diketahui pada minggu-minggu akhir Gegar Vaganza 8 (GV8).
Pasangan sama cantik, sama padan ini mendirikan rumah tangga pada 20 Mac 2016. Selepas sembilan tahun bercinta dan bersulam kasih, pasangan ini meraikan hari pernikahan mereka di Laman Kayangan, Shah Alam. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan anak sulung, Ungku Arsalan Haq yang kini berusia empat tahun.
Sumber: Media Hiburan
Sumber gambar: Instagram Jihan Muse
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.