Gadis berusia 23 tahun ini membuktikan yang gender dan hijab bukanlah halangan untuk mengecap kejayaan, lebih-lebih lagi apabila status dirinya sebagai seorang pelarian. Namun kesemua itu tidak menjadi penghalang.
Dia menjadi lambang seorang wanita beragama Islam yang mementingkan pendidikan dan bercita-cita tinggi. Bukan hanya cemerlang dalam bidang akademik, kredibiliti gadis yang berasal dari Syria ini menarik perhatian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR).
Dia antara barisan gadis muda yang dilantik sebagai duta kepada UNHCR Good Will Ambassador bermula 2021 bagi meraih kesedaran mengenai hak asasi manusia dan juga mewujudkan kesedaran kemanusian terhadap isu pelarian.
Memetik kenyataan UNHCR yang dimuat naik di laman sesawang pertubuhan itu, Maya telah menyampaikan ucapan yang memberi inspirasi di seluruh dunia kepada khalayak kanak-kanak sekolah kepada negarawan, sektor swasta kepada diraja, termasuk di Forum Pemerkasaan Belia WE Day, Forum Sosial Global mengenai Pendidikan, Istana Westminster, Sidang Kemuncak WISE dan di persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Pada tahun 2019 Maya memberikan ucapan yang penuh inspirasi di TEDxPalaisDesNationsWomen yang mana dia memecah stereotaip dan menawarkan lima penyelesaian untuk lebih memahami pelarian dan mengapa masyarakat harus melabur dalam potensi mereka yang tiada had.
ARTIKEL BERKAITAN: Wanita Muslim Berhijab Pertama Bergelar Senator Di Australia, Fatima Payman Cipta Sejarah
Sedikit latar belakang mengenai gadis manis berhijab ini, dia merupakan pelarian Syria yang terpaksa meninggalkan negaranya disebabkan pergolakan peperangan pada 2015 ketika berusia 16 tahun. Kemudiannya dia memulakan kehidupan baru di United Kingdom di bawah skim penyatuan semula keluarga.
Jauh dari negara asalnya, Maya tidak mampu bertutur dalam bahasa Inggeris, dia belajar sendiri dan mengatasi pelbagai halangan untuk mendapatkan tempat di sekolah untuk memulakan semula pengajiannya yang tergendala. Melalui gabungan kerja keras dan ketabahan dia kini sedang menuntut di peringkat ijazah dalam bidang Kejuruteraan Penerbangan dan Pengajian Juruterbang di Universiti di London.
+++Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.
Sumber: UNHCR Kredit foto: Instagram Maya Ghazal