Penyanyi yang memenangi Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke 36, Aina Abdul baru sahaja melancarkan muzik video raya terbarunya semalam, Gema Raya.
Muzik video yang diarahkan oleh Mohd Hisham Saleh itu sudahpun mendapat jumlah tontonan melebihi 50 ribu tontonan di Youtube hanya dalam beberapa jam sahaja dilancarkan. Bukan sahaja melodi dan irama lagunya yang mengasyikkan seolah menggamit memori berhari raya, malah rekaan busana yang digayakan oleh Aina Abdul dalam muzik video ini juga turut mendapat perhatian ramai.
Sentiasa hadir dengan rekaan yang serba avant-garde, kali ini menerusi muzik video Gema Raya, busana yang mendapat perhatian ialah rekaan baju kebaya tradisional yang sarat dengan hiasan wang di seluruh permukaan busana ini.
Rekaan dari jenama yang tidak asing lagi dalam industri fesyen tempatan, Wan & Mary ini mendapat perhatian ramai apabila ada yang melabelkan busana itu sebagai ‘ATM Bergerak’.
Menurut Wan, salah seorang pereka Wan & Mary, duit yang digunakan itu bukanlah duit sebenar. Tetapi ia adalah sampul duit bercetak seperti wang ringgit RM 10.
“Kami gunakan lebih dari 200 keping sampul duit raya yang cetakannya seperti RM 10 untuk menghiasi keseluruhan baju kebaya Aina itu,” kongsinya.
Tambahnya lagi, idea asalnya hanyalah untuk menghasilkan rekaan kebaya tradisional yang mempunyai sedikit unsur peplum dalam rekaannya. Namun untuk menjadikannya lebih menarik, mereka menambah hiasan sampul wang RM 10 itu.
“Kami mengambil masa lebih kurang tiga hari sahaja untuk menyiapkan rekaan busana ini. Alhamdulillah, Aina juga amat terbuka dengan idea ini dan menerima baik mengenai rekaan busana kebaya itu,” ujarnya lagi.
Muzik video Gema Raya arahan Mohd Hisham Saleh boleh ditonton di saluran Youtube bermula dari semalam. Menampilkan Aina sebagai Aina, Lyana Taufek Ariffin sebagai kakak dan Hayati Ibrahim sebagai Mak, pastinya sambutan Syawal kali ini lebih meriah dengan alunan melodi Gema Raya!
Sumber gambar: Instagram Aina Abdul
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.