Dikompaun RM 60 Ribu, Neelofa Terima Dengan Hati Terbuka & Anggap Pengajaran Buat Dirinya

Share

Selepas sebulan berlangsungnya majlis pernikahan, selebriti terkenal tanah air iaitu Neelofa dikenakan kompaun kerana tidak mematuhi standard operasi piawaian (SOP) bagi membendung penularan wabak covid-19 sewaktu berlangsungnya majlis tersebut.

Menerimanya dengan hati terbuka, pengacara Next to Neelofa itu menganggap ia suatu pengajaran buat dirinya selain mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memudahkan urusannya.

“Assalammualaikum. Seperti yang telah diberitakan, ya, saya sudah dimaklumkan tentang kompaun yang dikenakan terhadap saya dan Haris.

“Saya menerima dengan hati yang terbuka dan menjadikan kompaun ini sebagai satu pengajaran untuk menggunakan kebenaran merentas negeri atas tujuan yang telah dipersetujui oleh pihak berkuasa dan juga peringatan buat saya dan semua yang terlibat pada majlis kahwin saya untuk sentiasa menitikberatkan soal kepentingan SOP.

“Terima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama yang baik dalam menguruskan kes saya. Saya ingin meminta maaf sekali lagi jika kes ini memberi sedikit masalah kepada kelancaran kerja-kerja harian kalian. Terima kasih.” jelasnya.

Berdasarkan perincian kompaun seperti yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah Dang Wangi Kuala Lumpur, ACP Mohamad Zainal Abdullah, Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor perlu membayar kompaun RM20,000 bagi dua kesalahan.
Menurut Mohamad Zainal, kesalahan pertama dilakukan Neelofa ialah tidak mematuh SOP di majlis pernikahan beliau dengan PU Riz atau nama sebenarnya, Haris Ismail di sebuah hotel terkemuka di ibu negara dengan kompaun sebanyak RM10,000 tanpa diskaun dibenarkan.
Kompaun RM10,000 lagi dikenakan ke atas beliau kerana melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri manakala kesemua ahli keluarga Neelofa seramai 20 orang pula dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 seorang yang berjumlah RM30,000.00.
sumber: Astro Awani
Published by
Team Hijabista