Apabila sebut sahaja nama penyanyi ini, pasti gaya fesyen yang unik, avant-garde dan sememangnya viral akan bermain di minda kita. Apa sahaja yang disarungkan serta digayakan oleh penyanyi yang memenangi trofi Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-36 pasti akan menjadi bahan bualan netizen. Aina Abdul, seorang penyanyi yang punya ciri tersendiri dalam DNA fesyennya.
Mengulas lanjut perihal stailnya yang seringkali menjadi viral dikalangan masyarakat kita, Aina yang ditemubual dalam rancangan temubual MeleTop menegaskan bahawa ia merupakan sebuah usaha dan inisiatif untuk dirinya terus dikenali, selain daripada bakat vokal yang dikurniakan oleh-Nya.
Sejujurnya, dalam industri ini, bukan saya tidak boleh bergantung kepada bakat suara yang dikurniakan oleh Allah SWT, tetapi dengan adanya suntikan fesyen yang unik dan berbeza, saya lebih cepat dikenali ramai.
Tambahnya lagi, dia bersyukur apabila dikelilingi oleh individu-individu yang membentuk sebagai sebuah team yang sentiasa hadir dengan idea menarik dalam penggayaan fesyennya.
Saya bangga dan gembira apabila ada team yang sentiasa berkongsi pendapat untuk saya kelihatan berbeza setiap hari. Saya juga turut sama terlibat dalam sesi itu untuk memastikan penambilan saya sentiasa unik.
Mula bersederhana selepas dikecam?
Baru-baru ini juga, Aina Abdul merupakan salah seorang artis yang turut membuat persembahan di Anugerah Meletop Era 2021 (AME2021). Menyarungkan busana rona putih yang tampak cukup ringkas dan sederhana, ramai yang mengganggap bahawa Aina sudah mula menukar gaya fesyennya ke arah yang lebih normal apabila baru sahaja dikecam gara-gara gaya hijabnya yang kelihatan seperti seorang ‘sister’.
Pun begitu, menurut Aina, penampilannya pada malam itu adalah sebuah tanda penghormatan kepada arwah Siti Sarah dan tidak mengambil jalan untuk melakukan sebarang bentuk viral.
Malam itu khas untuk arwah Siti Sarah. Jadi saya dan team mengambil jalan untuk tampil sederhana bagi menghormati sesi tribute kepada arwah. Lagipun saya tidak mahu mewujudkan sebarang viral yang tidak berkaitan dengan arwah. Malam itu memang untuk lagu itu sahaja.
Persembahan Aina Abdul pada malam AME 2021 dengan mendendangkan lagu Ke Hujung Dunia benar-benar menyentuh jiwa penonton termasuklah suami kepada arwah Siti Sarah yang dikenali sebagai Shuib Sepahtu.
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.
Sumber gambar: Instagram Aina Abdul