Atlet bola tampar dari Indonesia, Megawati Hangestri Pertiwi menjadi atlet Muslim pertama dalam Liga Bola Tampar Korea selepas menyertai KGC Volley.
Ternyata menjadi minoriti bukan halangan untuk pemain bola tampar kebangsaan Indonesia ini untuk menyesuaikan diri.
Memetik perkongsian daripada laman sesawang Joong Ang, Megawati sedang menikmati pra musimnya bersama kelab Korea Selatan itu.
Bagi Megawati, tiada sebarang masalah yang timbul biarpun dirinya berhijab termasuk untuk solat dan mencari makanan halal di negara tersebut.
Kenali Megawati Hangestri Pertiwi: –
Bawa Tudung Khas Untuk Perlawanan
Megawati bukan sahaja atlet Muslim pertama bahkan juga atlet berhijab pertama dalam liga bola tampar Korea Selatan.
Sehingga kini, tidak pernah terlintas di fikiran Megawati untuk menanggalkan tudungnya. Dia turut membawa beberapa jenis tudung termasuk untuk dipakai ketika perlawanan.
“Tudung untuk perlawanan saya sediakan yang berwarna hitam. Untuk traveling saya pilih warna yang lebih menyerlah. Saya turut membawa tudung khas untuk dipakai di rumah. Total semua 16 tudung.
“Hingga ke saat ini tak pernah terlintas di fikiran saya untuk menanggalkan tudung,” kata Megawati.
Megawati mengakui bertuah kerana kelab tersebut mengambil pelajar Jabatan Bahasa Indonesia dari Universiti Hankuk, Kim Yoon-sol untuk membantu Megawati berkomunikasi.
Tiada Masalah Mencari Makanan Halal
Sebagai seorang Muslim, Megawati cukup teliti dalam soal makanan terutama ketika berada di negara asing.
Dia mengakui tidak sukar untuk mencari restoran halal di Korea Selatan. Bersama rakan sepasukannya, Yeon Hye-son, mereka bersama-sama pergi ke kafe dan restoran.
“Disebabkan terdapat banyak makanan Korea di Indonesia, saya tidak menghadapi masalah dengan makanan di sini. Saya juga tidak mempunyai masalah dengan makanan pedas,” kata Megawati.
Sering Berdoa Untuk Menang
Megawati turut mengimbau bagaimana ketika pasukan negaranya beraksi di Sukan Asia 2018, dia masih meluangkan masa untuk berdoa di tengah-tengah perlawanan.
“Semasa Sukan Asia di Indonesia, saya sempat berdoa antara perlawanan. Saya boleh melakukannya sebelum dan selepas,”
kata Megawati.Dengan kecemerlangan pencapaiannya, Megawati menggalas tanggungjawab dan harapan yang tinggi.
“Saya mahu membuktikan bahawa saya mempunyai kualiti. Saya juga mahu maju bersama rakan sepasukan dan menggenggam kejuaraan,” kata Megawati.
Kredit Foto: Instagram Megawati Hangestri Pertiwi
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini