Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sekali lagi melakar sejarah tersendiri apabila berjaya meninggalkan momen terindah dalam Konsert Fenomena: Siti Nurhaliza Live In Singapore 2024 baru-baru ini.
Konsert anjuran SAH Entertainment yang berlangsung selama dua hari di Dewan The Star Theatre Singapore itu berjaya memgumpulkan kira-kira 10,000 penonton.
Selain kehebatan vokal dan persembahan yang ditonjolkan, ramai yang memuji penampilan penyanyi kelahiran Pahang ini yang disifatkan sangat anggun dan gorgeus!
Ramai yang terpegun dan memuji keindahan busana konsert yang disarungkan oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza pada malam itu.
Kian terserlah kecantikan yang dimiliki figura berusia 45 tahun ini lebih-lebih lagi ketika menyarungkan busana tradisional.
Salah seorang pereka fesyen yang terlibat ialah Ezuwan Ismail.
Buat pertama kali, beliau dipertaggungjawabkan untuk menyiapkan dua busana tradisional buat penyanyi lagu Cindai itu.
“Ada dua persalinan yang mendapat sentuhan saya. Satu busana moden yang dianggap sudah jadi macam ‘makanan’ kita. Cuma agak mencabar nak siapkan baju tradisional sebab kalau silap langkah, ia boleh jadi macam baju songket pengantin!
“Saya cuba yang terbaik kerana nak nampak ia ada elemen glamor di samping masih mengekalkan aura kemelayuannya. Memang menguji sebab sepanjang proses menyiapkan busana itu, saya di tanah suci bagi menunaikan Haji.
“Jadi tak dapat nak pegang depan mata. Kami hanya berkomuniksasi menerusi panggilan video saja, namun syukur kerana dipermudahkan.
“Untuk persalinan itu, saya fokus kepada perincian di mana ia disulami dengan puluhan ribu manik-manik halus selain ada tassel, kerawang serta dawai di bahagian bahu bagi memberikan ilusi ‘3D’ pada rekaan,”
kata pereka fesyen berusia 42 tahun ini.KAGUM CARA KERJA
Kagum dengan cara kerja yang ditunjukkan Datuk Seri Nurhaliza sepanjang dua hari berada di belakang pentas, Ezuwan Ismail turut memuji pengurusan masa figura bersuara merdu itu.
“Bersyukur kerana kami serasi dan mudah bekerjasama. Dia peramah, selalu senyum dan profesional, termasuk pihak pengurusannya juga. Meski pun dia tersohor, namun sikap rendah diri itulah yang sebenarnya memudahkan proses kerja.
“Saya percaya, pengalamannya yang kini hampir tiga dekad di dalam industri membuatkan dia cukup matang, selain menghormati peranan setiap orang yang berada di sekeliling.
“Sewaktu saya sampai di belakang pentas, dia sudah pun siap bersolek dan bertelekung sebab nak menunggu waktu solat. Kemudian barulah dia akan pakai busana sambil dibantu pembantu wanita sebelum membuat persembahan,” katanya.
HASIL REKAAN DIPUJI DATUK K
Ezuwan Ismail juga terharu apabila suami Datuk Seri Siti Nurhalizaa iaitu Datuk Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K turut menghargai persalinan yang direka buat isteri tercinta.
“Alhamdulillah Datuk K suka dengan baju yang saya buat. Dia sempat beri isyarat ‘thumbs up’ sambil kata cantik. Iyalah, bukan senang nak dapat pujian sedemikian daripada Datuk K.
“Rasa berbaloi bila terima dedikasi tersebut mengenangkan kita sendiri bertungkus-lumus mahu beri yang terbaik demi konsert skala besar di negara orang,” akhiri Ezuwan Ismail.