Tiba sahaja waktu solat, pastinya azan akan didengari umat Islam seluruh negara. Bermacam gelaran yang diberikan kepada insan penting ini sama ada muazin, tukang azan dan tok bilal. Lenggok suara yang mendayu-dayu, memanggil semua untuk meninggalkan apa sahaja tugas yang dilakukan untuk menghadap Allah Yang Maha Esa.
Dari pandangan manusia, peranan muazin dilihat tidaklah begitu besar jika dibandingkan dengan jawatan imam atau pengerusi di sesebuah masjid. Disunatkan juga untuk melaungkan azan meskipun seseorang itu sekadar solat bersendirian di rumah.
Memetik berita dari Harian Metro, seorang pesara tentera nekad untuk mengelilingi Semenanjung Malaysia demi merealisasikan impiannya untuk melaungkan seruan azan di 99 masjid atau surau setiap negeri yang dikunjunginya.
Jika ada terjumpa lelaki ini di mana-mana, hulurkan kata-kata semangat atau apa-apa bantuan kepadanya. Ayuh kita bagi sokongan!
Berbekalkan motosikal Yamaha LC, seorang pesara tentera nekad untuk mengelilingi Semenanjung Malaysia demi merealisasikan impiannya untuk melaungkan seruan azan di 99 masjid atau surau setiap negeri yang dikunjunginya.
Malah, Murad Mohd Kassim, 52 yang berasal dari Parit, Perak dan menetap di Putrajaya berkata, tujuannya melaksanakan Kembara Solo Hijrah Merdeka 2022/1444 Hijrah adalah sebagai usaha menghijrahkan dirinya dalam mendekatkan diri dengan Allah SWT.
“Sebenarnya perancangan ini sudah lama dilakukan dan saya melihat tempoh bersempena dengan kedatangan Awal Muharam dan Hari Kebangsaan nanti adalah sebagai waktu terbaik untuk saya melakukan usaha murni ini.
“Pemilihan angka 99 itu juga sebagai mengingati 99 nama Allah. Namun, saya tidak memilih masjid atau surau tertentu untuk dikunjungi kerana saya akan singgah di mana-mana masjid atau surau di sepanjang perjalanan,” katanya ketika ditemui di perkarangan Masjid al-Hussain atau dikenali sebagai Masjid Terapung Kuala Perlis.
Katanya, selain mendekatkan diri dengan Allah SWT, usaha ini juga sebagai satu disiplin kepada dirinya untuk sentiasa istiqamah dalam melaksanakan solat fardu lima waktu dan solat Jumaat.
“Saya hanya berbekalkan wang saku sendiri sekitar RM1,000 sahaja yang mana RM200 dibelanjakan untuk pengisian petrol sepanjang kembara ini,” katanya.
Dia berkata, selepas Perlis, dia akan berkunjung ke Masjid al-Fateh di Jitra, Kedah sebelum meneruskan ke masjid atau surau di setiap negeri dalam kembara itu seperti Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Sumber kredit: Harian Metro Sumber kredit gambar: Murad Kassim
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.