Dayah Bakar Mengharapkan Rayanya Kali Ini Membawa Seribu Satu Momen Baru Sebagai isteri Meskipun Hubungan Jarak Jauh

Share

Sentiasa bersemangat ketika mengacara dan tidak jemu mengukir senyuman, itulah Nur Hidayah Abu Bakar ataupun lebih dikenali sebagai Dayah Bakar. Bakal menyambut Syawal sebagai seorang isteri buat pertama kalinya, Dayah dan kakak sulung yang tercinta iaitu Nur Adelin (Lin) teruja berkongsi cerita buat pembaca Hijabista di lokasi yang indah iaitu di The Pearl, Kuala Lumpur mengenai memori raya mereka.

Walaupun teruja meraikan Syawal pertama sebagai seorang isteri, namun Dayah tetap tidak boleh melupakan memori rayanya sebagai anak bongsu apabila segala persiapannya pasti akan disediakan oleh kakak-kakaknya.

Akui Kak Lin, Dayah boleh sahaja duduk bersantai dan bermain lagi pada waktu kecil tatkala adik-beradik yang lain sedang sibuk membuat persiapan raya dek kerana posisinya sebagai anak bongsu.

Meskipun kini semua sudah berumah tangga, namun hubungan akrab itu tetap terjalin dengan cara berkumpul bersama di pagi raya selain mengadakan rumah terbuka pada setiap tahun. Untungnya, rumah mereka yang berdekatan memudahkan mereka untuk melakukan pelbagai aktiviti bersama.

Teruja Menyambut Raya Sebagai Seorang Isteri

Mengenai perkembangan Dayah yang terkini, ternyata sememangnya banyak yang telah dirancang dan akan dilaksanakan tidak lama lagi.

 “Ketika ini, Dayah sedang giat mengacara bagi rancangan Borak Kopitiam untuk setiap minggu dan pada bulan puasa nanti pula, Dayah akan muncul dengan program terbaru iaitu Sembang Sahur. Ini memang istimewa kerana ia hanya disiarkan ketika bulan Ramadan sahaja.

“Dayah juga sedang sibuk menguruskan perniagaan Modesty by Dayah Bakar, istimewanya ia adalah rekaan Dayah sendiri dan pada tahun ini juga kita akan muncul dengan koleksi baru iaitu bawal bercorak.

“Dayah bukan buatnya dengan suka-suka tetapi setiap rekaan itu ada inspirasi dan certia bagaimana terhasilnya sesebuah rekaan itu. Selain itu, Dayah juga mengambil peluang sempena Raya dengan bakal mengeluarkan baju raya sendiri berkonsep batik dan istimewanya adalah ianya sangatlah terhad dan tak akan sama dengan orang lain dan Dayah sendiri yang memilih kain tersebut,” ujar anak bongsu ini.

Tak Sabar Ke Kampung Suami

Ketika ditanya bagaimana beliau mengimbangkan waktu di antara kerjaya dan keluarga, Dayah akui personaliti suaminya iaitu Kapten Hanif Hamidi yang begitu memahami memudahkan kehidupannya 
sehari-harian.

“Jujurnya, sebelum kahwin lagi dia sudah faham dan sentiasa memberi sokongan dalam setiap perkara yang dilakukan. Nak bahagikan waktu itu tidak susah asalkan masing-masing ada toleransi, kerja memang kerja tetapi tetaplah suami itu keutamaan. Kita kenalah bijaklah bahagikan antara dua perkara itu.

“Untuk raya kali ini, Dayah tak tahu apa untuk digambarkan kerana ini adalah raya pertama sebagai seorang isteri. Dayahlah yang kena pilih nak raya mana dulu. Mungkin kita akan ‘osom’ untuk raya di mana (ketawa). Ianya bukan satu isu. Persiapan baju raya pun belum difirkan lagi bagaimana.

“Dayah sebenarnya sangat teruja untuk ke kampung suami di Kuala Pilah kerana tak sabar mahu menikmati pengalaman di desa yang betul-betul rasa suasana kampung kerana selama ini Dayah beraya di Sg.Besi, Kuala Lumpur. Jadi, memang terujalah,” tambahnya lagi.

Gemarkan Masakan Ibu

Mengenai caranya meyambut Ramadan dan Aidilfitri, Dayah sememangnya gemarkan air tangan ibu dan jarang memilih makanan luar.

“Kalau waktu puasa, air soya wajib ada. Tak best kalau tiada. Begitu juga dengan tepung pelita. Boleh nangis kalau tiada. Tapi tidak elok makan tiap hari jadi Dayah cuba kurangkan. Dayah suka sekali masakan ibu Dayah macam nasi minyak bersama kurma ayah, ayam masak merah dan lain-lain lagi.

“Jika waktu raya pula wajib ada lemang bersama rendang ayam yang ada hati dan limpa dimasak pekat oleh ibu. Pergh! Itu memang favourite,” ujarnya yang teruja sekali sewaktu bercerita.

Dayah juga mengharapkan rayanya kali ini membawa seribu satu momen baru buatnya sebagai isteri.

“Ini kerana hubungan jarak jauh Dayah dan suami disebabkan kerjayanya, jadi tentulah Dayah berniat untuk masak buatnya setiap kali ada peluang apabila dia pulang. Walaupun mungkin hanya ikan goreng semata mungkin peluang itu hanya seminggu sekali tetapi saya berharap yang saya dapat menghidangkan masakan daripada air tangan sendiri untuknya.”

Menganggap hubungannya bersama kakak-kakaknya adalah sesuatu yang sangat istimewa, Dayah juga menganggap kakak-kakaknya sebagai teman karib yang tidak akan pernah hilang.

“Kakak tahu luar dan dalam diri kita. Merekalah orang yang boleh kita mengadu tanpa memberikan hukuman atau pandangan negatif terhadap diri. Dayah memang rapat dengan keluarga. Segala yang dilakukan adalah untuk keluarga. Jika ada masalah merekalah yang akan bantu. So, my sisters are my BFF, ujar Dayah dengan penuh terharu.

Jangan Pernah Mengalah

Ketika ditebak soalan bagaimana perjalannya dalam industri ini, Dayah akui ianya sememangnya bukan mudah dan ada cabaran tersendiri yang perlu dihadapi.

“Bukan mudah untuk Dayah tapi Dayah selalu fikir pasti ada orang yang lagi sukar jalannya. Cabaran untuk terus kekal relevan, bagaimana hendak jadi approachable. Tapi yang pasti, Dayah tak pernah berniat nak bersaing dengan orang lain, Cuma mahu menjadi versi diri yang lebih sahaja. It’s all about me.

“Pastinya Dayah pernah berhadapan dengan rejection, failure dan pengharapan tapi gagal. Jadi hos ini kena selalu pergi ujibakat macam kerja lain yang perlu menghadiri temuduga. Ada masa dapat, ada masa tidak. So, you must keep on going kerana ada jalan yang lebih sukar di hadapan. Bukan meminta, tapi haruslah bersedia,” jelas pelantun lagu Imamku ini.

Jika dilihat karakternya yang sangat bubbly dan ceria, ianya ternyata sama di realiti dan bukan dibuat-buat. Jelas Dayah ianya satu benda yang menarik apabila ramai orang yang berpendapat sedemikian.

“Dayah bersyukur bila orang kata begitu. Ia seumpama you will get what you see. Saya bukan buat ini untuk menghasilkan persona yang berbeza. Jadi, saya rasa seronok apabila orang dapat menghargai dan menerima diri saya yang sebenarnya,” ujarnya yang lahir pada bulan Ogos ini.

Ketika ditanya mengenai rutin kecantikan dan kesihatan, Dayah ternyata mempunyai pandangannya yang tersendiri mengenai hal ini.

“Ini isu yang penting sebab sekarang ini ramai wanita yang mempunyai inferiority complex termasuklah Dayah. Dayah bukannya rasa cantik dan sempurna sepanjng masa. Ada juga insecurity tersendiri. Sebenarnya, sangat penting untuk seseorang itu rasa yakin dan bagus tentang dirinya sendiri.

“Kalau rasa badan itu malas, pergilah bersenam. Dayah sendiri ada anjurkan aktiviti yang diberi nama ‘Fit Sis’. Dayah lakukan ini supaya mereka di luar sana rasa seronok untuk bersenam. Jangan fikir cantik itu hanya apabila flawless dan kurus sahaja. Yang peting hati itu haruslah cantik.

“Kalau cantik seperti model sekalipun, tapi hati itu sentiasa negatif, anda tak akan bahagia. Kesihatan itu nombor satu begitu juga dengan kecantikan dalaman. Melaluinya, anda boleh sebarkan kebahagiaan. Selain itu, makanlah secara sederhana. Jangan terlalu ekstrim. I love food! Tapi kita kenalah berpada-pada seperti mana ajaran Islam yang mementingkan keserdehanaan.”

Kak Alin Uruskan Semua Untuk Adik-adik

Sebagai kakak yang sulung, pastinya perwatakannya lebih matang kerana perlu bertanggungjawab terhadap hal ehwal adik-adiknya. Seperti Lin, beliau merindukan momen-momen rayanya sewaktu kecil apabila perlu menyiapkan keperluan adik beradiknya.

“Akak ada empat adik lagi di bawah, dua perempuan dan dua lelaki. Kak Ngah tidak dapat terlibat sekali dalam sesi fotografi ini kerana dia sedang dalam pantang. Dahulunya kita akan beraya sedondon. Ibu akan belikan kain baju kurung yang sedondon buat kita adik beradik perempuan. Sebagai sulung, kita haruslah menolong siapkan adik dan juga tolong di dapur.

“Sekarang ini, situasi pastinya berbeza apabila semua sudah berkahwin. Biasanya, akak akan raya di Kuala Lumpur dahulu dan selepas Zuhur barulah ke kampung suami di Kampar, Perak. Dulu sebelum kahwin kita pasti akan pulang ke kampung ayah atau ibu tetapi berbeza dengan keadaan masa kini,” tutur ibu kepada empat cahaya mata ini.
Ketika ditanya mengenai perwatakan Dayah, Lin akui sememangnya Dayah seorang anak yang manja dan ceria seperti mana yang dilihat di kaca televisyen.

“Dayahkan anak bongsu jadi dia memang manja. Sebenarnya, setiap adik beradik dalam keluarga kami melengkapkan satu sama lain. Ada yang pendiam, yang suka berlawak dan lain-lain lagi. Cuma kadang kala adalah juga orang kata ada persamaan sedikit di antara akak dan Dayah.

Jarang Bergaduh Sesama Sendiri

“Kami juga tiada sebab untuk bertelingkah waktu kecil kerana dia selalu dapat semuanya jadi sebagai kakak sulung memang selalulah akak mengalah. Kami adik beradik juga bertindak menjadi pelindung buatnya. Abang-abangnya pun tiada yang membulinya sebab terlalu sayangkan dia,” ujarnya juga yang menjadi jurusolek secara sambilan.

Hubungan akrab di antara adik-beradik ini juga sentiasa terjalin walaupun masing-masing kini sudah berumah tangga. Jelasnya, hubungan sisterhood ini sesuatu yang istimewa lebih daripada segala-galanya.

“Dulu masa kecil, Dayah relaks sahaja kerana dia ada dua orang kakak dan dua orang abang yang akan sediakan segalanya untuknya.
“Minat kami mungkin berbeza tetapi ada juga persamaannya seperti suka melancong. Hubungan ini istimewa kerana kita membesar dan keluar dari rahim yang sama. Jadi, kita kongsi segalanya dan tiada rahsia antara kita selain membantu antara satu sama lain. Kita ada untuknya sampailah bila-bila.

“Semua rancangan di televisyen kita akan tonton. Selalunya dia sudah pesan awal-awal pada kita supaya bersiap sedia di depan televisyen,” tambahnya lagi.
“Mengenai persiapan raya tahun ini, mungkin akak dan suami akan ulang pakai baju yang sedia ada. Persiapannya pasti lebih buat anak-anak. Kalau kuih-muih, akak lebih suka kuih ‘tunjuk’. Kita tunjuk je! Bukan apa, kerana masa yang tidak menginzinkan. Di samping itu, kita boleh juga membantu ekonomi negara dengan membeli daripada pengusaha-pengusaha kecil ini,”

“Jika waktu raya, juadah kegemaran akak ialah kuah kacang. Di rumah akak, ibulah yang akan masak macam-macam. Tetapi jika di kampung suami, akak yang akan masak dan semestinya hidangan wajib adalah laksa utara,” jelasnya lagi yang berkerja sebagai seorang penganalisis ini.

Published by
SH