Pertubuhan Amal Nur by Khiriah milik selebriti terkenal yang pernah memenangi Anugerah Skrin dan Anugerah Bintang Popular ini telah berjaya membantu meringankan beban ramai umat Islam bagi urusan pengurusan jenazah. Semua perkhidmatan yang ditawarkan dilakukan secara percuma.
Berkongsi cerita di laman Instagram miliknya, Noorkhiriah mengimbau kembali saat permulaan sewaktu memulakan pertubuhan amal tersebut.
“Bila kenang balik, rasa hendak menangis, seperti mimpi buat semua ini. Bermula dengan borak-borak bersama suami pada Perintah Kawalan Pergerakan yang pertama. Kemudian, keluarkan duit ASB untuk tukarkan kereta menjadi van jenazah, tiba-tiba sudah setahun lebih usia Pertubuhan Amal Nur by Khiriah,” kongsinya.
Bermula dengan hanya sebuah van jenazah kini pertubuhan tersebut telahpun berkembang dengan memiliki empat van jenzah yang digunakan untuk melakukan perkara fardu kifayah bagi umat Islam.
Kongsinya lagi, “Alhamdulillah, daripada satu van jenazah, tiba-tiba jadi dua dan kini sudah ada empat. Dua daripadanya adalah hasil infak. Baiknya Allah, dipermudahkan dari mula sampai sekarang. Ditambah ada yang tidak putus-putus menyumbang. Dari satu kes ke satu kes, pelbagai cara kematian. Sampai saya tidak berani buka galeri gambar suami. “
Bantuan percuma diberikan untuk pengurusan jenazah ini merangkumi segala segi dari pembelian kain kapan, memandikan dan mengkafankan, sembahyang jenazah sehinggalah penghantaran ke kubur bagi urusan pengkebumian.
Dalam pada itu, Noorkhiriah juga memanjatkan rasa syukur kerana usaha yang dilakukan ini turut disertai oleh individu yang banyak membantu tidak kurang juga mereka yang banyak menyumbang.
Sumber: Instagram Noorkhiriah