‘Dari Mata Turun Ke Hati’- Fazura Terharu Permaisuri Selangor Berkenan Gayakan Hijab Jenamanya

Share

Aktres tersohor, Nur Fazura meluahkan rasa terharunya apabila melihat DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mengenakan hijab jenamanya iaitu Tudung Fazura.

Tengku Permaisuri telah menggayakan hijab tersebut sewaktu berangkat ke majlis simbolik penyerahan sumbangan Alat Bantuan Belajar (tablet) kepada pelajar asnaf fakir dan miskin Lembaga Zakat Selangor di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada hari Rabu lalu.

Di samping itu, Fazura juga turut memuji dan kagum dengan Tengku Permaisuri yang berkenan mengenakan tudungnya yang harganya kurang daripada RM30.

“Redup pandangan, sejuk mata memandang, dari mata turun ke hati. Faz sangat kagum, bersyukur dan berbesar hati melihat DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mengenakan Tudung Fazura.

“Dalam kita sering didendangkan dengan kisah-kisah hartawan, sungguh menginsafkan melihat seorang permaisuri negeri berkenan mengenakan tudung dengan harga kurang dari RM30.

“Dari telaga yang jernih, tidak akan mengalir air yang keruh. Siang menjadi angan-angan, malam menjadi buah mimpi. Suri teladan seluruh negeri.

“Junjung Kasih Tuanku. Semoga Allah SWT terus merahmati DYMM Tengku Permaisuri Selangor,” tulis pelakon Gol & Gincu itu di laman Instagramnya.

Di ruangan komen, ramai yang turut rasa terharu dengan perkongsian Fazura ini selain menganggap ia merupakan sebuah kisah yang sangat menginspirasikan buat semua yang membacanya.

Dapatkan segera majalah Hijabista edisi terhad di karangkrafmall.com sekarang!

Published by
Qistina