Bukan senang untuk senang. Sememangnya banyak onak dan duri yang perlu ditempuhi sebelum hendak berjaya. Seperti Fuzana Mokhtaza, beliau yang tidak menyangka dapat mengorak langkah menjadi seorang pereka busana perkahwinan walaupun pada awalnya cita-cita ialah menjadi seorang arkitek.
Memulakan langkah pada tahun 2011 dengan pakaian ready to wear, tanpa menoleh ke belakang lagi beliau seterusnya terus serius menghasilkan busana pengantin yang membuatkan namanya sentiasa meniti di bibir bakal-bakal mempelai yang sedang mencari pakaian yang sempurna sewaktu menjadi raja sehari.
“Sewaktu zaman belajar saya sebagai pelajar arkitek di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), saya sudah mula menerima banyak tempahan pakaian daripada rakan-rakan dan juga pelajar dari fakulti berbeza walaupun saya tiada staf untuk membantu pada ketika itu dan semuanya saya lakukan sendiri.
Pelanggan semakin bertambah dari hari ke hari selepas saya membuka akaun Facebook khas bagi perniagaan saya itu. Ira Mohd Amin merupakan antara selebriti terawal yang menempah dengan saya pada ketika itu,” jelas isteri kepada Ibrahim Shahruddin ini.
Dek kerana minat yang mendalam dalam rekaan dan jahitan, Fuzana telah mula menimba ilmu sejak dari bangku sekolah lagi dengan memasuki kelas jahitan sewaktu berada di tingkatan empat. Selain itu, beliau juga pernah menuntut ilmu di IFTC dan menghadiri kursus di London dalam bidang couture beading, pattern making dan lain-lain lagi.
Bercerita mengenai pengalaman terindah sepanjang bergelar pereka fesyen, ibu kepada Sophia Layl,2, ini menganggap jemputan daripada kerajaan Qatar untuk dirinya mewakili negara bagi mempersembahkan koleksi busana pengantinnya merupakan antara memori yang tak dapat dilupakan.
“Saya sangat terharu kerana dapat berkongsi pentas bersama dengan pereka antarabangsa lain seperti dari Lebanon, Mexico dan Sepanyol,” ujarnya yang mengagumi Zac Posen, Rizalman dan juga Monique Lhuilier ini.
“Jika berbicara mengenai pengalaman yang tidak seronok, tiada pengalaman yang tidak seronok cuma biasalah apabila bahan material yang saya gunakan itu tidak cukup, ia menjadi cabaran buat saya kerana ada material yang susah didapati di negara kita ini. Tapi saya anggap itu sesuatu yang biasa kerana tiada pekerjaan yang tiada tekanan,” tambahnya yang sering mereka busana sedondon dengan anaknya.
Selain itu, Fuzana juga turut menasihatkan agar sesiapa yang ingin menceburkan diri dalam bidang perniagaan agar membuat persiapan daripada segi mental dan juga fizikal kerana menurutnya dalam bidang ini sentiasa ada naik turunnya.
“Itu sesuatu yang normal apabila kita berasa sedih jika sesuatu tidak berjalan seperti yang direncanakan. Namun, kita harus bangkit dan ingat semula niat dan minat kita. Pasti kita akan kembali fokus selepas itu,” jelas wanita berusia 29 tahun ini.
Mengenai harapan dalam dunia fesyen, Fuzana mengharapkan agar perniagaannya ini terus kekal rdan tidak ditelan arus masa. “Saya mahukan jenama Fuzana Mokhtaza ini terus bertahan dalam industri tidak kiralah 20 mahupun 30 tahun akan datang,” katanya sebelum mengakhiri perbualan.