Nekad untuk tidak terus bermimpi, baru-baru ini tular kisah kembara dua sahabat Hirza Hasniza Mohd Jaluli dan Fasya Rafiqa Saice, masing-masing berusia 27 tahun, berjaya merealisasikan impian mereka iaitu menjelajah 25 buah negara di Eropah dalam tempoh satu bulan sahaja.
Malah, demi menjadikan mimpi mereka sebuah kenyataan, kedua hijabi ini telah merangka satu perancangan teliti dan disiplin yang tinggi mengumpul kewangan dan melaksanakan misi jelajah benua Eropah yang bermula pada 7 Okt hingga 8 Nov lalu.
Meskipun keduanya mengakui, bukanlah satu perkara yang mudah untuk menjelajah di kesemua 25 buah negara Eropah dalam tempoh 33 hari, tetapi ia juga bukanlah sesuatu yang mustahil.
Kedua hijabi berasal dari Kuala Selangor ini telah membuktikan minat mengembara mereka sewaktu kanak-kanak juga boleh menjadi kenyataan.
Pengembaraan selama satu purnama itu, menuntut belanja dan kos yang cukup lumayan iaitu RM 15,000 setiap seorang ini termasuklah tambang pergi balik sari setiap negara yang dijelajah, kos pengangkutan, penginapan dan makanan sepanjang tempoh itu.
Lima Bulan Lakukan Persiapan, Rangka Jelajah Guna Pengangkutan Awam!
Ketika ditanya berhubung jangka masa persiapan yang diambil, ini respon mereka, pengembaraan ke negara Eropah itu telah dirancang teliti selama lima bulan sebelum.
Selain itu, keduanya bercadang hanya menggunakan pengangkutan awam seperti kereta api, bas, tren dan kapal terbang untuk menjelajah dari satu negara ke negara lain.
“Bagi negara Eropah yang popular dan mempunyai banyak daya tarikan pelancong, kami tinggal lebih dari dua hari seperti Perancis, Itali dan Switzerland. Sementara bagi negara yang kurang popular seperti Malta kami singkatkan lawatan kepada sehari.
“Ada juga pengembaraan seperti ke Estonia dan Latvia dibuat sehari sahaja kerana jarak kedua-dua negara berkenaan hanya kira-kira tiga jam dan tidak banyak tempat menarik yang boleh dikunjungi,” katanya lapor media tempatan.
Tambah Hirza yang juga bekerja sebagai Pengurus sumber manusia, tujuan dia dan sahabat karibnya, Fasya Rafiqa Saice melaksanakan misi jelajah Eropah itu dalam tempohmasa singkat adalah untuk melihat sendiri keindahan negara Eropah.
Justeru, katanya, jika berpeluang mengembara ke Eropah buat kali kedua, dia dan sahabatnya itu sudah tahu negara mana yang berbaloi untuk mereka lawati dan meluangkan masa lebih lama.
“Sebelum ini saya mendengar cakap-cakap orang, negara Eropah banyak tempat menarik, jadi saya mahu menilai dengan mata sendiri. Jadi, jika ada peluang kali kedua selepas ini, tentu saja saya boleh buat keputusan negara mana yang saya patut pergi,” ujarnya.
Mengulas berkenaan pengalaman yang tak dapat dilupakan sepanjang penjelajahan itu berlangsung, Fasya Rafiqa berkata ddetik-detik cemas apabila telefon pintar Iphone jenama Apple miliknya dicuri sewaktu dalam perjalanan dari Itali ke Switzerland tidak mungkin dilupakan.
“Semasa di bandar Milan, kami letakkan barang di tepi jalan sebelum menaiki keretapi api, tanpa disedari telefon yang diletakkan sekali dengan barang itu telah diambil orang. Ia berlaku sangat pantas, kami sudah pun berhati-hati.
“Walaupun dapat menjejaki lokasi Iphone yang telah dicuri itu dan berusaha mendapatkannya semula, saya pasrah, kerana tidak mahu perkara yang tidak diingini berlaku di negara orang,” katanya.
Sekadar Info, antara yang dilawati kedua hijabi di Eropah merangkumi bandar utama dan tempat tarikan pelancong di Switzerland, Perancis, England, Sepanyol, Iceland, Belgium, Belanda, Jerman, Denmark, Sweden, Estonia, Latvia, Lithuania dan Poland.
Turut dilawati ialah Republik Czech, Slovakia, Austria, Hungary, Slovenia, Itali, Greece, Romania, Malta dan Vatican City.