Dalam Keseronokkan Sambut Syawal, Masih Boleh Raih Pahala! Ini 7 Cara Bagaimana Rasulullah Raikannya!

Share

Esok seluruh umat Islam di Malaysia bakal menyambut hari kemenangan iaitu Hari Raya Aidilfitri setelah sebulan menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan Al Mubarak yang mulia.

Walaupun merasa sedih apabila bulan yang penuh makrifat, Ramadan bakal berlalu meninggalkan kita semua. Tapi tahukah hijabi bahawa dalam keseronokkan meraikan kedatangan Syawal juga kita masih boleh mengumpul ganjaran pahala mengikut anjuran sunnah Rasulullah SAW.

Ini kerana sambutan Aidilfitri juga merupakan satu bentuk ibadah, jika dilaksanakan bertepatan dengan caranya. Justeru, Hijabista berkongsikan cara bagaimana Rasulullah SAW menyambut ketibaan Syawal sambil mengutip pahala. Antara amalan Aidilfitri yang boleh anda laksanakan adalah seperti berikut:

1. Mandi Sunat Aidilfitri

Perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW adalah melaksanakan Mandi sunat Syawal sebaik sahaja bangun dari tidur, sebelum keluar ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Perkara ini ada dijelaskan menerusi hadis riwayat Al-Baihaqi yang bermaksud:

“Ali bin Abi Thalib RA pernah ditanya mengenai mandi. ‘Adakah diharuskan mandi setiap hari?’ Beliau menjawab: ‘Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri.’ (Hadis Riwayat al-Baihaqi)

Seluruh umat Islam diharuskan untuk melaksanakan mandi sunat Syawal ini, bermula dari tengah malam di hari terakhir Ramdan.

Tetapi lebih afdhal jika mandi pada waktu yang disunatkan untuk mandi iaitu selepas terbit fajar sehingga terbenam matahari.

2. Berpakaian Cantik Dan Kemas

Berpakaian cantik tidak semestinya mengenakan pakaian baharu yang berharga mahal mahupun mewah. Cukup sekadar memakai pakaian yang terlihat kemas dan sopan.
Jika anda ingin membeli pakaian yang baharu pastikan isa sesuai kemampuan sendiri, jangan pula sampai terpaksa berhutang atau berlakunya pembaziran.

3. Memakai Haruman Atau Wangian

 

Setelah memakai pakaian yang sesuai, anda disunatkan untuk memakai wangi-wangian. Ini merupakan sunnah dan antara perkara yang paling disukai oleh Rasulullah SAW, baginda juga telah bersabda yang membawa maksud:

“Tiga perkara yang disukai oleh ku daripada dunia adalah wanita yang halal, wangian dan rasa seronok dalam solat”. (Hadis Riwayat Ahmad, Hakim dan Baihaqi)

Artikel berkaitan: Ucapan Sempena Hari Raya Aidilfitri, Apakah Hukumnya, Ketahui Kesilapan Adab Ketika Hari Raya

4. Makan Pagi Sebelum Tunaikan Solat Sunat Aidilfitri

Adalah menjadi kemestian dan amalan baginda nabi untuk menjamah sedikit makanan terlebih dahulu sebelum pergi mendirikan solat sunat Aidilfitri.

Dalam hadis riwayat Bukhari ada menjelaskan mengenai perbuatan Rasulullah ini yang bermaksud:

Pada Hari Raya Rasulullah tidak berangkat untuk melaksanakan solat sehingga baginda makan beberapa butir kurma (HR Bukhari 900).

Sehubungan itu, tindakan baginda ini sekaligus menunjukkan bahawa pada hari kebesaran umat Islam iaitu Hari Raya Aidilfitri adalah diharamkan sama sekali untuk berpuasa.

5. Mengerjakan Solat Sunat Aidilfitri

Solat sunat Aidilfitri merupakan solat sunat muakkad yang diharuskan kepada umat Islam. Ia dilakukan sebanyak dua rakaat. Berikut adalah Lafaz niat untuk melaksanakan ibadah solat sunat Aidilfitri yang bakal diraikan pada esok hari”

“Sahaja aku sembahyang sunat Hari Raya Aidil Fitri dua rakaat makmum kerana Allah Taala”.

6. Ziarah-Menziarahi

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW ada menjelaskan berkenaan perbuatan ziarah-menziarahi sesama Islam ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bermaksud:

“Barangsiapa yang suka untuk memperluaskan baginya rezekinya, dan ditangguhkan (dipanjang) umurnya, maka hendaklah dia menyambung (mengukuh) hubungan persaudaraannya.” – (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

7. Puasa sunat enam hari

Selalunya apabila Syawal telah menjelang, umat Islam disunatkan untuk melaksanakan pula puasa enam. Ini kerana, puasa sunat ini mempunyai banyak fadhilat dan kelebihannya seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW.

Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.” – (Hadis Riwayat Muslim, 1164)

Puasa enam ini boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang bulan Syawal kecuali pada 1 Syawal.

Haa.. dah tau cara macam mana nak kutip pahala sambil beraya kan? Sama-samalah kita mencari keberkatan di samping meraikan ketibaan Syawal yang mulia ini. Selamat beramal!

Artikel berkaitan: Ini Hukum Hakam & Tatacara Solat Hari Raya Aidilfitri Di Rumah, Ketua Keluarga Kena Ambil Tahu

Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

Published by
Haifa Nasir