Gara-gara tidak membuat perancangan awal, ramai yang tersepit selepas musim perayaan. Perbelanjaan menyambut Aidilfitri bagaikan tsunami yang boleh melumpuhkan kewangan seseorang. Poket kosong, hutang bertambah dan terpaksa ikat perut dan meminjam demi kelangsungan hidup adalah senario yang biasa terjadi.
Persediaan menghadapi musim ini memerlukan belanja besar. Perbelanjaan bulanan anda pada masa itu mungkin meningkat dua atau tiga kali ganda daripada biasa! Justeru, bagaimanakah caranya sambutan Aidilfitri dapat dirayakan dengan selesa tanpa meninggalkan lubang besar pada poket anda?
Berikut adalah tujuh langkah mudah yang boleh anda jadikan panduan:
1. Buat analisa keperluan menyeluruh
Senaraikan keperluan anda pada musim perayaan ini – apa yang perlu dibeli dan diganti ataupun apa yang boleh dikitar dan guna semula barangan sedia ada. Contohnya hiasan dalaman rumah. Adakah langsir yang ada itu perlu diganti ataupun diubah bentuk agar dapat menimbulkan suasana berlainan? Begitu juga sofa ruang tamu. Jika masih elok, tidak perlu diganti baru. Sekadar mencuci dan menukar sarungnya sudah memadai. Analisa keperluan ini hendaklah dibuat secara menyeluruh, membabitkan semua aspek kehidupan anda.
2. Persediaan diri dan keluarga
Berapakah bajet untuk baju baru? Cukupkah RM300 ataupun RM1,000? Jika mempunyai anak-anak, cukupkah RM300 bagi setiap orang termasuk baju Melayu/baju kurung dan juga pakaian harian? Anda boleh menyedia baju baru ini lebih awal. Ambil kesempatan beli borong semasa jualan akhir tahun. Ketika ini anda dapat membeli berpasang-pasang kain pada harga runtuh. Yang bijak akan menghantar kepada tukang jahit di kampung kerana upahnya rendah. Begitu juga pakaian harian, anda boleh membeli semasa jualan murah.
3. Duit raya
Amalan memberi duit raya sangat digalakkan. Ia adalah satu pemberian, sedekah, sumbangan ataupun tanda terima kasih pada insan tersayang dan mereka yang dekat dalam hidup anda. Berapakah peruntukan duit raya yang perlu anda sediakan tahun ini? Untuk semua anak-anak saudara dan juga anak jiran berapakah jumlahnya yang ingin anda berikan pada setiap seorang. Adakah RM2, RM5 ataupun RM10? Untuk ibu bapa dan juga ibu bapa mentua bagi mereka yang sudah berumah tangga, berapa pula jumlahnya? Bagaimana pula dengan saudara jauh yang lanjut usia ketika anda bertandang ke rumah mereka? Tentukan jumlahnya supaya mudah anda membuat perkiraan.
4. Servis kenderaan dan balik kampung
Agenda utama utama musim perayaan adalah balik kampung kecuali mereka yang tiada kampung! Ziarah-menziarahi sanak-saudara, mengerat dan menjalin semula hubungan yang terputus, bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain memerlukan belanja untuk minyak kenderaan, tol dan juga makan-makan sepanjang perjalanan. Sebelum itu, pastikan kenderaan anda sudah diservis terlebih dahulu. Pastikan tayarnya tidak botak dan masih dalam keadaan baik, dan minyak hitamnya sudah berganti bagi memastikan kelancaran perjalanan anda. Berapakah peruntukan yang perlu anda sediakan. Adakah RM500 mencukupi?
5. Kuih-muih, juadah pagi raya
Buat perancangan berapa jenis kuih raya yang ingin anda sediakan, apakah menu istimewa di pagi raya dan juga menu utama ketika rumah terbuka. Dengan menyenaraikan jumlah dan jenisnya, anda boleh bajet berapa jumlahnya yang perlu anda keluarkan. Cukupkah RM500 ataupun RM1000 termasuk rumah terbuka? Satu kaedah jimat adalah dengan bertukar-tukar biskut raya dengan beberapa orang kawan. Anda buat sejenis dan mereka juga buat sejenis. Jika berpakat dengan lima orang kawan, anda boleh dapat lima jenis kuih. Anda boleh buat satu lagi kuih sebagai kelainan.
6. Bajet kecemasan
Ini antara aspek penting yang perlu anda ambil kira. Malapetaka datang tanpa disangka. Sediakan bajet untuk menghadapi saat genting seperti kemalangan ataupun tiba-tiba kenderaan anda meragam. Adakah RM500 mencukupi?
7. Buat unjuran perbelanjaan
Musim perayaan seperti Aidilfitri datangnya saban tahun. Setiap tahun anda menempuhnya dalam pelbagai keadaan sama ada ketika itu anda masih bujang ataupun sudah berkeluarga. Pastinya setiap tahun perbelanjaan untuk musim perayaan ini akan bertambah dengan tambahan bilangan anak bagi yang berkeluarga. Secara tidak langsung anda sudah boleh membuat unjuran berapa jumlah perbelanjaan yang perlu dikeluarkan sepanjang musim perayaan ini. Oleh itu, ada baiknya jika anda membuat perancangan awal. Katakanlah jumlah yang anda perlukan untuk menyambut musim perayaan ini RM4000. Bahagikan jumlah berkenaan dengan 12 bulan. Sebulan anda hanya perlu asingkan dalam RM330 saja. Jadi, bila sampai masanya tidaklah anda rasa terbeban!
SUMBER: SURAIYA MOHD NOOR, PERUNDING KEWANGAN & PERWAKILAN HARTA ISLAM
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI