“Didodoi-dodoi sampai hanyut dengan dunia adoi,
Hidup nak senang,
Alah bisa tegal biasa..”
Setiap bait lirik yang menyulami sebuah karya baru dari penyanyi serta komposer terkenal Faizal Tahir ini memiliki maksud yang bermakna disebalik melodi tradisional yang indah gemersik alunannya. Single terbaru, Alah Bisa nyanyian duet Faizal Tahir serta Amira Othman ini punya keunikannya tersendiri dan sarat dengan mesej yang bermanfaat.
Baru-baru ini, menerusi rancangan MeleTop, Amira yang dahulu pernah popular dengan lagu Hati-hati juga sudah lama tidak hadir dengan karya baru menyatakan bahawa gandingannya bersama Faizal seperti mimpi jadi realiti. Dia tidak menyangka bahawa Faizal sudi untuk berduet dengannya menerusi single terbaru ini.
Jujurnya, saya berasa terkejut dapat berkolaborasi bersama Faizal Tahir, seorang yang cukup dikenali dalam industri seni tempatan. Saya sendiri memang menyimpan hasrat untuk menyanyikan lagu hasil ‘air tangan’ Faizal sendiri. Bagi saya, kolaborasi ini ialah rezeki dan jodoh. Jadi impian saya termakbul dan jadi kenyataan.
Bagi Faizal pula, gandingan bersama Amira merupakan sebuah projek yang tidak dirancang sehinggalah pihak labelnya mencadangkan nama Amira sebagai calon yang sesuai untuk berduet menyanyikan lagu Alah Bisa.
Sebenarnya, lagu Alah Bisa ini sudah lama disiapkan, sebulan awal. Apabila pihak label saya mendengar lagu tersebut, mereka terus mencadangkan Amira sebagai penyanyi yang sesuai dengan alunan melodi Alah Bisa.
Lagu Alah Bisa merupakan sebuah lagu yang yang sarat dengan nasihat tentang pentingnya menjaga solat. Menurut Faizal selaku komposer lagu tersebut, Alah Bisa ini harus didengari lebih dari sekali untuk memahami mesej yang tersirat, atau boleh menonton muzik videonya yang sudahpun ditayangkan di YouTube.
Alah Bisa merupakan sebuah lagu tentang kepentingan menjaga solat. Nasihat yang diberikan begitu santai dalam alunan melodi yang menarik. Apa yang penting, jika mahu diringkaskan tentang mesejnya, jangan sombong dengan Tuhan.
Jika kita jaga solat, maka urusan kita dipermudahkan. Solat ini memang sudah untuk dimulakan, tetapi mudah bila sudah terbiasa. Begitulah sinonim tajuknya, Alah Bisa Tegal Biasa.
Baru sahaja dilancarkan pada 27 Mei yang lalu, muzik video Ala Bisa sudahpun mendapat lebih 200 ribu jumlah tontonan di YouTube. Muzik videonya diarahkan oleh Azhar Ismail dan lagunya hasil dari Faizal Tahir sendiri.
Sumber gambar: Instagram Amira Othman
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.