Dalam mengerjakan ibadah solat sudah tentu banyak kesilapan yang kita akan lakukan. Bagi menyempurnakan sesuatu ibadah juga perlukan penelitian yang khusus.
Sering kita dengar ketika solat ada yang melakukan kesilapan ketika membaca surah atau tertib solat. Bagaimana pula jika seseorang itu tersilap kiblat? Adakah solat itu tidak sah?
Artikel berkaitan: Dahsyatnya Solat Dhuha Salah Satunya Dapat Pahala Sama Seperti Menunaikan Umrah, Rugi Kalau Tak Buat
Menurut Laman Rasmi Mufti Wilayah Persekutuan, syarat sah solat adalah menghadap kiblat. Maka, jika tidak menghadap kiblat yang betul, jadi tidak sah solat seseorang itu.
Mengikut firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah, ayat 150:
وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ لِئَلَّا يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَيْكُمْ حُجَّةٌ إِلَّا الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ فَلَا تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِي وَلِأُتِمَّ نِعْمَتِي عَلَيْكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ ﴿١٥٠﴾
Maksudnya: Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya, supaya tidak ada lagi (sebarang) alasan bagi orang-orang (yang menyalahi kamu), kecuali orang-orang yang zalim di antara mereka (ada sahaja yang mereka jadikan alasan). Maka janganlah kamu takut kepada (cacat cela) mereka, dan takutlah kamu kepada Ku (semata-mata); dan supaya Aku sempurnakan nikmatKu kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh petunjuk hidayah (mengenai perkara yang benar).
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda kepada orang yang diajar olehnya cara bersolat:
إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلاَةِ فَأَسْبِغِ الْوُضُوءَ، ثُمَّ اسْتَقْبِلِ الْقِبْلَةَ فَكَبِّرْ
Maksudnya: “Apabila engkau hendak bersolat berwudhu’lah dengan sempurna, kemudian menghadaplah ke kiblat dan bertakbir.
”Riwayat al-Bukhari (5897) dan Muslim (397)
Mengikuti masalah yang mungkin dihadapi oleh kita, perlu atau tidak mengganti solat jika salah kiblat? Imam al-Nawawi berkata:
“Barangsiapa yang solat dengan ijtihad (atau bertaqlid kepada ijtihad orang lain) kemudian dia yakin berlaku kesilapan maka hendaklah dia qadha mengikut pendapat yang kuat.”
Rujuk Minhaj al-Talibin (hal.43)
Ada juga pendapat yang kedua menyatakan tidak perlu untuk qadha’ mengikut penjelasan oleh Imam al-Ramli:
“Pendapat kedua pula menyatakan tidak perlu qadha kerana peninggalan kiblat dengan keuzuran adalah serupa dengan keadaan ketika peperangan (yakni solat khauf).”
Rujuk Nihayah al-Muhtaj (446/1)
Artikel berkaitan: Solat Subuh Berjemaah Di Dalam Komuter, Ramai Yang Kagum Tindakan Sekumpulan Lelaki Ini
Begitu juga seperti kata Syeikh Taqiuddin Abu Bakar al-Hisni:
“Pendapat qil (kedua) menyatakan tidak wajib pengulangan solat kerana mengambil kira dzan (prasangka kuat) semasa tuntutan perlaksanaan perbuatan solat itu atas alasan bahasa seseorang itu diperintahkan untuk solat dengan sangkaan terbabit. Pendapat pertama adalah mazhab ahli fiqh manakala pendapat kedua adalah mazhab ahli kalam (daripada ahli usul mazhab al-Syafie). Sekiranya dia yakin kesilapannya tetapi tidak yakin pula apa yang arah yang betul bahkan hanya prasangka sahaja, maka tidak perlu diulangi solat kerana solat yang pertama dilaksanakan atas ijtihad dan solat yang kedua juga atas ijtihad, maka ijtihad itu tidak membatalkan ijtihad yang lain.”
Rujuk Kifayah al-Akhyar (ms.96)
+++Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.