Siapa menyangka, tragedi kehilangan MH370 sehingga kini masih misteri walaupun pencariannya sudah pun memasuki tahun keempat, namun jauh di sudut hati waris mangsa pesawat malang itu masih menanti satu jawapan ‘penutup’ ke mana ianya hilang. Penerbangan MH370 bersama 239 orang hilang daripada imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014, dan kehilangan pesawat itu disifatkan antara yang paling menimbulkan misteri dalam sejarah penerbangan di dunia.
Australia, Malaysia dan China secara bersama menggantung pencarian selama dua tahun bagi pesawat tersebut pada Januari tahun lepas. Tiada tanda-tanda pesawat itu ditemukan di kawasan pencarian merangkumi 120,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.
Setakat ini, hanya tiga serpihan yang disahkan dari MH370 telah ditemukan, kesemuanya di pantai Barat Lautan Hindi termasuk bahagian sayap sepanjang dua meter dikenali sebagai “flaperon”.
Isteri kepada seorang pramugara MH370, Muhammad Hazrin iaitu Intan Maizura Othman berkata biarpun dia reda, namun mengharapkan kebenaran di sebalik kejadian tersebut walaupun sudah empat tahun berlalu.
Apabila ditanya dalam temubual bersama dalam rancangan Sofa Sinar untuk siaran di Sinar Harian Online, perasaan sebenar yang dialaminya sejak peristiwa itu, Intan mengungkap:
“Sebenarnya sudah banyak kali soalan itu diajukan kepada saya. Saya sebagai orang Islam, reda dengan apa yang berlaku, jika saya kata reda, sama ada dia hidup atau dah tiada, saya terima.
“Dalam erti kata lain saya tak nak terlalu mengharap yang menganggap dia masih hidup kerana ia akan menghantui kehidupan dan emosi saya serta anak-anak, “ katanya ketika ditemubual oleh pengacara Sofa Sinar, Norutul Ilham Mad Jani.
Menurutnya masih segar diingatannya perisiwa empat tahun lalu sebelum suaminya berangkat ke tempat kerja buat kali terakhir.
“Ketika itu saya masih mengandung anak kedua kami, tujuh bulan dan seorang lagi anak sulung berusia 4 tahun. Ketika kejadian berlaku, anak perempuan saya masih ok, seminggu dan dua minggu selepas itu juga masih ok sehinggalah saya beriitahu dia yang ‘papa tak akan balik’, barulah dia dah goyang. Ini kerana ketika itu dia tengok saya asyik menangis sahaja sepanjang kejadian itu.
“Masa itu saya tengok dia juga turut beremosi seperti saya juga. Memang ia amat melukakan bagi kanak-kanak sekecil itu. Apatah lagi dia juga sangat rapat dengan papanya. Memang saya susah nak explain perasaan dia. Malah sampai hari ini dia masih tidur dengan frame papanya, menangis setiap malam, rindukan papanya. Saya tak dapat selami perasaan sebenar walaupun saya ini emaknya,” cerita Intan dalam nada perlahan.
Ketika ditanya mengenai kerjayanya suaminya sebagai seorang pramugara, adakah dia ada terfikir mengenai kemalangan yang akan menimpa suaminya, sepanjang kerjayanya sebagai seorang pramugara.
“Sebenarnya itu adalah benda pertama yang datang dalam fikiran saya ketika seorang teman menelefon memberitahu pesawat suami saya hilang. Tetapi saya tidak menyangka ia adalah perbuatan hijack tetapi saya hanya terbayang crash sahaja.
“Itu sahaja yang terbayang di fikiran dan saya sudah bersedia menerimanya jika crash tetapi bukan dengan situasi (drama) yang berlaku masa itu,” ceritanya yang turut membuat keputusan dia juga tidak akan terbang dengan memakai pakaian uniform tetapi sebagai penumpang sahaja tidak mengapa.
Sebagai isteri Intan juga mengharapkan ada pengakhirannya bagi kes ini. Dia berharap akan ada seseorang yang datang memberitahu kebenarannya apa sebenar yang berlaku pada MH370. Bukan sahaja untuk dirinya tetapi anak-anak dan juga keluarga lain bagi mangsa pesawat berkenaan.
“Pada isteri yang menanti, pada suami yang menanti, anak-anak semuanya ingin tahu kebenarannya sahaja. Just tell us the truth dan itu sahaja yang kami mahukan,” katanya lagi.
Sementara itu dalam temubual bersama Nona, Intan memberitahu dia mahu bangkit dari episod duka dengan memilih aktiviti lasak pilihannya, memanjat gunung.
Menurutnya aktiviti ini menjadi pilihan kerana mendapati ia merupakan satu aktiviti fizikal yang bukan sahaja menguji dari segi fizikal, malah turut melibatkan daya ketahanan mental
yang tinggi.Intan juga masih mengingati detik manis kali pertama mendaki bersama suami tersayang sekitar tahun 2013. Ketika itu dia mencuba mendaki Bukit Tabur yang terletak di Malawati. Mendaki tanpa persediaan lengkap dan hanya berbekalkan air minuman serta kasut dan peralatan mendaki yang terhad. Namun keduanya berjaya mengatasi cabaran tersebut walaupun suaminya itu bukanlah seorang yang gemarkan aktiviti luar.
Sementara itu anak kepada salah seorang penumpang MH370, Anne Daisy iaitu, Grace Nathan pula berkata sebaik sahaja laporan yang mengesahkan menemui serpihan yang didakwa milik pesawat malang itu, dia terus menggigil.
“Itu kali pertama saya kena terima bahawa pesawat MH370 berakhir di Lautan Hindi. Saya jadi tak tahu apa yang nak difikir kalau itu yang berlaku terhadap MH370.
“Sebelum ini ada pelbagai andaian dan laporan, jadi susah nak terima semua ini, tapi apabila laporan ini keluar, sedih sangat,” katanya.