Cukur Bulu Kening Untuk Suami, Boleh Atau Tidak & Apakah Hukumnya

Share

Mencantikkan diri di depan suami sememangnya dituntut dalam Islam. Isteri akan dapat pahala setiap kali berhias tetapi hanya pada suaminya sahaja.

Berbagai cara boleh dilakukan untuk kelihatan cantik demi menambat hati suami. Salah satu yang gemar dilakukan ialah mencukur bulu kening.

Persoalannya, apakah hukum seorang isteri memotong/mencukur sebahagian bulu kening dengan gunting supaya kelihatan cantik dilihat oleh suami?

Adakah boleh dicukur bahagian kening yang tumbuh lebih dari biasa atau memotong bulu kening yang panjang?

Hukum mencukur bulu kening adalah haram dan pelakunya dilaknat sebagaimana datang di dalam hadis.

Telah diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a. katanya :

لَعَنَ النَّبِيُّ صلّى الله عليه وسلّم النَّامِصَةَ وَالمُتَنَمِّصَةَ

Maksudnya : “Telah melaknat oleh Rasulullah saw akan perempuan yang mencukur bulu kening dan yang minta dicukurkan.” (Hadith Abu Daud)

Maksud mencukur yang diharamkan ini ialah mencukur licin kesemua bulu keningnya atau mencukur sebahagian besar bulu kening yang ada dan ditinggalkan bahagian yang halus di atas keningnya.

Ada pun mencukur kening yang tumbuh lebih dari tempatnya atau memotong yang panjang daripadanya atau mengandamnya kerana tumbuhnya tidak kemas maka berlaku khilaf dikalangan ulamak dan panjang perbahasan ulamak pada masalah ini.

Sebahagian ulamak mengharuskannya dan sebahagian yang lain melarang.

Tersebut pada kitab Mughni Muhtaj bagi Syeikh Khatib Syarbini :

أما إذا أذن لها الزوج أو السيد في ذلك فإنه يجوز لأن له غرضا في تزيينها له و قد أذن لها فيه

Maksudnya: “Ada pun apabila suaminya atau penghulunya memberi izin pada memotong bulu kening maka harus ia kerana berhias bagi suaminya yang telah memberi izin baginya pada memotong itu.”

Berkata Imam As-Syairazi:

وأما الاخذ من الحاجبين إذا طالا فلم أر فيه شيئا لاصحابنا وينبغى أن يكره لانه تغيير لخلق الله لم يثبت فيه شئ فكره وذكر بعض أصحاب احمد انه لا بأس به: قال وكان احمد يفعله

Maksudnya: “Dan ada pun memotong dari dua keningnya apabila panjang ia maka aku tidak melihat apa-apa dari pandangan ashab kami. Dan sayugianya makruh ia kerana mengubah kejadian Allah yang tidak sabit suatu dalil atasnya itu maka dihukumkan makruh. Dan sebahagian ulamak Hanbali berkata ianya tidak mengapa dan dikatakan bahawa Imam Ahmad mengharuskannya.”

(Kitab Al-Majmu’)

KESIMPULANNYA
*Haram mencukur semua kening atau mencukur sebahagian besarnya hingga tinggal yang halus daripada kening.

*Harus disisi setengah ulamak memotong kening yang panjang atau mengandamnya dengan gunting supaya kemas dilihat oleh suaminya dan bukan berniat untuk berhias kepada selain mahram manakala sebahagian ulamak yang lain memakruhkannya. wallahua’lam.

Sumber kredit: Instagram Ustaz Azhar Idrus

Published by
Norhasliza