Solat Jumaat akan diteruskan di masjid seluruh negara meskipun terdapat penularan wabak koronavirus (Covid-19) di seluruh dunia. Situasi semasa penularan virus COVID-19 yang masih terkawal di negara ini tidak memerlukan solat Jumaat dihentikan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Beliau berkata solat yang diwajibkan kepada lelaki Muslim itu hendaklah diteruskan dengan beberapa perubahan dilakukan, antaranya memendekkan khutbah Jumaat.
“Mereka yang ada simptom COVID-19 bagaimanapun tidak perlu hadir solat Jumaat kerana termasuk dalam golongan orang yang sakit,” katanya.
Ia selaras dengan Firman ALLAH SWT dan hukum asal solat Jumaat iaitu wajib.
“Berdasarkan situasi semasa, setakat ini tiada keperluan untuk tiadakan solat Jumaat di masjid,” katanya.
Bagaimanapun katanya, setiap masjid perlu mengambil langkah bagi mengurangkan risiko penyebaran Covid-19.
“Orang ramai disarankan mengambil wuduk di rumah sebelum ke masjid dan khutbah perlu dipendekkan bagi mengurangkan jemaah terdedah dengan persekitaran,” katanya yang turut menyarankan pihak masjid menyediakan topeng muka dan cecair pembasmi kuman.
Beliau berkata, sekiranya Covid-19 merebak dan tidak terkawal, dibolehkan solat Jumaat tidak dilakukan dan digantikan solat Zuhur di rumah masing-masing.
LELAKI WAJIB SOLAT JUMAAT
Syariat Islam mewajibkan bagi umat Islam dalam kalangan lelaki, baligh, berakal, orang yang bermukim di sesuatu tempat dan tidak mempunyai keuzuran, untuk mendirikan solat Jumaat secara berjemaah. Ini berdasarkan dalil daripada al-Quran, hadith dan Ijma’. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
(Surah al-Jumu’ah: 9)
Imam al-Sarkhasi dalam menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa arahan untuk bersegera tersebut tidak memberi makna lain kecuali makna wajib, serta arahan untuk meninggalkan jual-beli yang pada asal hukumnya adalah harus kerana solat Jumaat menunjukkan kewajipan solat tersebut. (Rujuk al-Mabsuth lil Sarkhasi, 2:21)
Begitu juga, sabda Rasulullah SAW:
الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ
Maksudnya: Solat Jumaat merupakan satu hak kewajipan ke atas setiap orang muslim untuk mendirikannya secara berjemaah, kecuali hamba yang dimiliki oleh tuannya, perempuan, kanak-kanak dan orang yang sakit.
Hadith riwayat Abu Daud, (1:644)Disamping itu, telah berlaku ijma’ dalam kalangan ulama’ berkenaan kewajipan solat Jumaat ke atas orang lelaki, muslim, baligh, yang bermukim di sesuatu tempat dan tiada keuzuran baginya yang membolehkan dia meninggalkan solat Jumaat secara berjemaah. (Rujuk Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 27:193).
Berdasarkan dalil dan hujah di atas, jelaslah kepada kita tentang kewajipan solat Jumaat yang dilaksanakan secara berjemaah.
Sumber kredit: muftiwp.gov.my