Naib Juara program Ratu Hijabista, Tina Aziz mengakui bahawa dia sama sekali tidak menyangka dinobatkan naib juara Ratu Hijabista 2020. Malah akui Tina atau pemilik nama sebenar, Qistina Sofia Abdul Aziz, gadis berusia 24 tahun ini, ia umpama satu kejutan buat dirinya.
“Sebenarnya apabila terpilih ke peringkat TOP 4 pun Tina sudah rasa bersyukur. Apabila dinobatkan sebagai naib juara, Tina lagi-lagilah bersyukur sebab semua peserta punya kelebihan masing-masing. Saya percaya semua orang ada peluang untuk menang. Alhamdulillah sudah tersurat rezeki Tina untuk jadi naib juara Ratu Hijabista.
“Jujur Tina katakan yang Tina tidak menjangkakan yang pada malam pentas akhir Ratu Hijabista ada penyingkiran. Sebab Tina anggap kami berempat akan melangkah ke pentas akhir namun sangkaan Tina meleset. Betul-betul Tina tidak sangka yang di pentas final pun masih ada penyingkiran.
“Ia sesuatu yang ‘heart broken’ buat diri Tina sebab Tina mahu kami semua berjaya ke pentas akhir. Apabila Mellya dan Fiffy Afrina diumumkan tersingkir, Tina memang rasa sedih sangat sebab kami tahu usaha masing-masing untuk berada sehingga ke tahap ini,” ujar Tina.
MAHU HANDLE KES SAMAN FITNAH
Bercerita tentang perancangan seterusnya selepas bergelar naib juara Ratu Hijabista, ujar Tina dia baru sahaja menamatkan ‘chambering’ iaitu latihan praktikal selama sembilan bulan. Latihan ini melayakkan diri untuk bergelar peguambela dan peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya.
“Selepas selesai ‘chambering’ proses seterusnya ialah ‘filing paper.’ Tina sudah selesai ‘chambering’ sebab itulah Tina berehat sekejap. Lagi pun ‘filing paper’ ini memerlukan kos yang agak tinggi. In Shaa Allah Tina akan teruskan dengan langkah ini sebelum Tina dapat bergelar seorang peguam.
“Sebelum ini Tina hendak fokus pada bidang korporat namun daripada pemerhatian Tina, sekarang ini bidang sivil lebih meluas. Tina berminat untuk mengendalikan saman seperti ‘saman fitnah’ apatahlagi ia cukup dekat dengan dunia hiburan. Sebagai peguam litigasi, Tina akan bertanggungjawab mengendalikan kes-kes sivil di mahkamah,” kata Tina yang merupakan anak kedua daripada tiga orang adik beradik.
CITA-CITA ASAL HENDAK JADI JURU TERBANG
Amat mengejutkan apabila Tina berkongsi bahawa dia sebenarnya bercita-cita untuk menjadi seorang juru terbang. Namun atas suatu ‘peristiwa’ yang berlaku pada Tina dan keluarga maka Tina memilih bidang guaman.
“Ia menjadi titik tolak untuk Tina menjadikan bidang guaman sebagai pilihan untuk melindungi keluarga Tina sekaligus sebagai hala tuju kerjaya. Sokongan keluarga yang tidak berbelah bahagi untuk Tina belajar dalam bidang undang-undang itu memang kekuatan Tina. Malah langkah Tina untuk menyertai Ratu Hijabista juga mendapat sokongan yang padu daripada kedua ibu bapa Tina.
“Setiap minggu, ibu bapa Tina selalu berpesan untuk melakukan yang terbaik dan ini umpama ‘vitamin’ buat Tina untuk lebih kuat berusaha,” ungkap Tina.
Ditanya jika selepas ini dia bakal menerima pelbagai tawaran sama ada dalam bidang pengacaraan dan sebagainya, ini jawapan Tina.
“Selepas menyelesaikan ‘filing paper’ barulah Tina akan fikirkan tentang hala tuju Tina. Daripada pemerhatian Tina, bidang seni juga mempunyai peluang yang luas namun dalam masa yang sama Tina ingin mempraktikkan bidang undang-undang.
“Jika Tina tidak mempraktikkan bidang ini maka Tina akan sama dengan orang-orang biasa. Jadi Tina mahu agar bidang seni dan undang-undang berjalan seiring,” akhiri Tina menutup perbualan.