Apabila kita berbicara tentang sedekah, konteksnya terlalu luas. Pemahaman tentang sedekah mungkin berbeza-beza mengikut pandangan masing-masing. Mengambil inisiatif untuk mendidik dan berkongsi ilmu, Hijabista telah mengadakan satu siri yang dinamakan Tazkirah2U: The Power of Giving bersama dengan panelis-panelis hebat.
Untuk episod pertama membincangkan mengenai topik Sedekah & Ramadan, Ustazah Dr. Robiah K. Hamzah telah berkongsi pandangan dan juga ilmunya mengenai isu ini. Sungguh indah dan menginsafkan setelah isu ini dihurai lantas memberi makna yang akan kekal dihati, Betapa besarnya kuasa sedekah.
Mungkin sebahagian dari kita tidak mengerti apakah maksud sedekah yang sebenar? Bertanya kepada pakar motivasi ini, beliau memberi penjelasan yang cukup indah mengenai sedekah.
“Kalau kita lihat apa ada di sebalik sedekah, memberi itu satu daripada tanda cinta. Cinta itu memberi bukan memiliki. Jadi kalau anda cinta akan harta yang anda ada, jadi tolong berikan. Kenapa anda tidak boleh memberikan? kita pinjam daripada Allah SWT.
“Mengapa The Power of Giving itu sangat penting? Kerana ia merupakan salah satu daripada proses bagaimana kita hendak kita merasakan diri kita paling dekat dengan Allah SWT.Kita nak merasa bahawa kita adalah hamba Allah dan rezeki yang Allah SWT bagi, kekuatan yang Allah bagi, kesihatan yang Allah bagi itu adalah hadiah daripada Allah SWT. Maka setiap hadiah harus dikongsi, harus di bawa balik ke akhirat melalui orang lain,” jawabnya padat.
ARTIKEL BERKAITAN: “Solat 5 Waktu Tidak Cukup, Tetapi Masih Bersedekah..”- Ustazah Asni Mansor Kongsi Konsep Sedekah Dalam Tazkirah 2U!
Sedekah melatih diri kita bukan sekadar untuk tahu berkongsi dan memberi, sebaliknya amalan ini merupakan persiapan diri mendekat jiwa dengan Allah SWT. Tertanya-tanya perihal bagaimana untuk mendidik diri dalam bersedekah, jawapan yang diberikannya cukup menarik.
“Kalau dia kaya tetapi tidak mampu memberi, makanya hadiah itu akan tinggal di pusaka, atau hartanya itu akan diwariskan kepada waris-waris. Tetapi kalau dia memiliki kekuatan, kekayaan ilmu atau kemahiran dan dia berkongsi dengan orang lain, bermakna dia sedang mengasuh diri dia untuk jadi bertambah dekat dengan Allah.
“Untuk merasa bahawa dia adalah hamba Allah yang dikurniakan ruang yang sangat pendek untuk hidup dan dia nak memanjangkan pahalanya, nak membangunkan kekuatan, nak merasa syurga Allah, nak menikmati bawasanya apa yang Allah bagi itu merupakan satu daripada cabaran, satu daripada ujian untuk dia, maka dia harus melatih diri dari segi spiritualnya sebagai hamba Allah inilah bukti saya bahawa saya cinta Allah, cinta manusia dan cinta syurga.
“Itu kekuatan-kekuatan sebagai kekuatan dalaman yang mendorong kita untuk bersedekah tanpa henti. Sebab itu jangan pilih waktu dan jangan pilih tempat, kerana the power of giving ada diberi perhatian oleh Allah dengan cara paling hebat, imbalannya syurga,” ujar penceramah motivasi terkenal ini menerangkan tentang kuasa tema perbincangan The Power of Giving.
Apabila bersedekah, tidak semua daripada kita mampu menyumbang dalam bentuk wang ringgit. Namun ini bukanlah halangan untuk melakukan perbuatan dan amalan yang disukai oleh Allah SWT ini. Banyak cara boleh kita lakukan.
Kongsi Ustzah Dr. Robiah K. Hamzah, “Sejauh mana kamu ingin memberi kerana Allah? Pertama jagalah niat. Bersedekahlah kamu walaupun dengan sebiji kurma. Maka kekuatan yang kita nak angkat adalah kamu berhak dan kamu mesti melatih diri untuk merasa dekat dengan Allah. Memberi kerana kita merasa ini tugas paling mendekatkan kita dengan Allah. Bersedekah bukan hanya dari segi harta , memberi senyuman dan membantu orang lain juga adalah satu bentuk sedekah. Sedekah adalah kebajikan yang kamu suburkan dalam diri.”
“Istiqamah yang pertama, dia memberi kerana dia hamba Allah. Kedua, dia memberi kerana dia hendak menolong hamba Allah. Dan yang ketiga, dia memberi kerana dia merasa ini sebahagian dia menyatakan rasa syukurnya dan menikmati apa yang Allah bagi seterusnya menggunakan apa yang Allah bagi ke jalan yang baik mengikut susunan syariat,” kongsinya lanjut tentang bagaimana hendak belajar istiqamah dalam bersedekah.
Untuk pengetahaun pembaca, siri Tazkirah2U: The Power of Giving ini merupakan satu kerjasama di antara Hijabista dan juga Kenanga Investors Berhad. Semoga dengan perkongsian ini, sedikit sebanyak menyuburkan minda dan juga jiwa kita sebagai manusia dan hamba-Nya.
+++Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.