Checklist Amalan Pada Hari Jumaat, Jom Kita Kutip Lebih Banyak Pahala

Share

Islam meletakkan Hari Jumaat sebagai ‘Sayyidul Ayyam’ iaitu penghulu segala hari. Ganjaran amal pada hari ini pula lebih berbanding hari-hari lain. Banyak kelebihan yang ada pada hari Jumaat dan keutamaan yang disediakan oleh ALLAH SWT kepada hamba-hamba-NYA.

Pada hari Jumaat juga, terkumpul banyak fadilat seperti yang dinukilkan dalam al-Quran dan as-Sunnah. Kesimpulannya, hari Jumaat merupakan hari yang agung disebabkan ia mempunyai banyak kelebihan, keistimewaan, dan kemuliaan berbanding hari-hari yang lain.

Photo by thirdman from Pexels.

CHECKLIST AMALAN PADA HARI JUMAAT

Alhamdulillah hari ini kita masih dikurniakan nafas untuk menyambung kehidupan semalam hingga dapat bertemu pada hari Jumaat barakah ini. Sungguh banyak nikmat yang boleh disyukuri hari ini. Subhanallah.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. , Nabi Muhammad SAW bersabda:

خَيْرُ يَوْمٍ طَلَعَتْ عَلَيْهِ الشَّمْسُ يَوْمُ الْجُمُعَةِ فِيهِ خُلِقَ آدَمُ وَفِيهِ أُدْخِلَ الْجَنَّةَ وَفِيهِ أُخْرِجَ مِنْهَا وَلَا تَقُومُ السَّاعَةُ إِلَّا فِي يَوْمِ الْجُمُعَةِ

Maksudnya: “Sebaik-baik hari ialah hari Jumaat, kerana pada hari itulah Adam diciptakan. Pada hari itu pula ia dimasukkan ke dalam syurga dan pada hari itu pula ia dikeluarkan daripadanya. Dan hari kiamat tidak terjadi kecuali pada hari Jumaat.” (HR Muslim)

Bersempena hari yang mulia ini, mari lakukan beberapa amalan sunnah yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW.

1. MEMBACA SURAH AL-KAHFI

Daripada Abu Darda’ RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْف عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ

Maksudnya: Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi akan terselamat daripada fitnah Dajjal. (HR Muslim, Hadis Sahih)

2. SEDEKAH WALAU SEDIKIT

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ ‏

Maksudnya: “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.” (HR Muslim, Hadis Sahih)

3. PERBANYAKKAN SELAWAT KEPADA NABI MUHAMMAD SAW

Daripada Abu Umamah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلَاةِ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ؛ فَإِنَّ صَلَاةَ أُمَّتِي تُعْرَضُ عَلَيَّ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ، فَمَنْ كَانَ أَكْثَرَهُمْ عَلَيَّ صَلَاةً كَانَ أَقْرَبَهُمْ مِنِّي مَنْزِلَةً

Maksudnya: “Perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada setiap hari Jumaat. Sesungguhnya selawat yang dibaca oleh umatku akan dibentangkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Barangsiapa yang paling banyak berselawat ke atasku, maka dia akan berada paling hampir denganku (di dalam Syurga).”

(HR al-Baihaqi,Hadis Hasan)

4. MEMPERBANYAKKAN DOA

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

فِي يَوْمِ الجُمُعَةِ سَاعَةٌ، لاَ يُوَافِقُهَا مُسْلِمٌ، وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي يَسْأَلُ اللَّهَ خَيْرًا إِلَّا أَعْطَاهُ

Maksudnya: “Pada hari Jumaat ini ada satu masa yang sekiranya ditepati oleh seorang muslim dalam keadaan dia bersolat meminta sesuatu daripada Allah SWT, pasti Allah SWT akan memperkenankan permintaanya itu.”(HR al-Bukhari, Hadis Sahih)

Firman Allah SWT:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۗ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِۙ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

Maksudnya: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)-Ku dan beriman kepada-Ku, agar mereka memperoleh kebenaran.” (Surah al-Baqarah: 186)

5. MELAZIMI ISTIGHFAR

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً

Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali.”(HR Bukhari, Hadis Sahih)

Daripada Syaddad bin Aus r.a., bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

سَيِّدُ الِاسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ: اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ

Maksudnya: “Sayyid al-Istighfar hendaklah kamu mengucapkan: Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Ilah yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu. Aku di atas perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku. Ini kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau.” (HR al-Bukhari, Hadis Sahih)

Semoga kita dapat memperbanyakkan amal di hari Jumaat yang barakah ini.

Sumber kredit: Ustazah Asma’ Harun Top image: Photo by faseeh-fawaz from Unsplash.

Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

Published by
Norhasliza