‘Cemburu Seorang Perempuan’ Drama Kisah Poligami Yang ‘Luar Biasa,’ Deep Perkongsian Peguam Syarie Ini

Share

Drama rantaian ‘Cemburu Seorang Perempuan’ sedang rancak ditayangkan. Mengetengahkan soal poligami namun ia agak bercanggah dengan amalan poligami seperti yang sepatutnya. Poligami sah di sisi syarak tetapi polemik mengenainya terus diperkatakan kerana sering dikatakan ‘menguntungkan’ hanya pihak lelaki sahaja.


.

Berikut ulasan daripada seorang peguam Syarie.

Ada orang tanya saya “Tuan, tengok tak drama Cemburu Seorang Isteri” di Astro Ria kalau tak silap saya. Saya cakap, malam memang saya tak dapat tengok TV sebab anak saya akan didahulukan dengan kartunnya. Apa yang menarik drama tu, saya tanya. Katanya, nasib saya macam isteri kedua tu. Saya pun tak berapa faham.

Bila tengok, rupanya cerita tu berkisar tentang seorang suami yang berkahwin dua atas suruhan isteri pertama kerana isteri pertama tak dapat mengandung. Tapi, suami tu tak boleh untuk bermalam dengan isteri keduanya. Kalau nak bagi dapat anak pun, dengan cara IVF. Isteri pertama tak boleh mengandung tapi dia nak anak.

Jadi, dia yang pinangkan isteri kedua untuk suaminya tapi cemburu teruk sampai tak bagi suami dia tidur dengan isteri kedua. Betul ke tak saya ulas sebab saya pun tengok trailer jer. Rasanya macam tu la kot.

Jadi, saya beranggapan itulah kisahnya masalah wanita tersebut. Jadi, ada beberapa persoalan yang berkaitan dengan hak seorang isteri, tak kira lah, isteri pertama ke kedua ke ketiga ke keempat ke, masing-masing ada hak yang sama di dalam Hukum Syarak.
.
HAK NAFKAH ZAHIR

Setiap orang isteri berhak untuk disediakan segala nafkah zahir seperti makan, minum dan pakaian. Kalau suami tak pandai nak masak, sekurang-kurangnya sediakanlah barang-barang basah dan barang-barang kering untuk dapur tu berasap.

Kalau orang yang berpoligami, selalunya akan ada di dalam perintah Poligaminya untuk memasukkan sejumlah wang yang telah ditetapkan oleh Mahkamah sebagai nafkah zahir kepada isteri-isterinya.

HAK TEMPAT TINGGAL

Bagi lelaki yang berpoligami, wajib baginya untuk sediakan tempat tinggal yang berasingan, selesa dan selamat kepada isteri-isterinya. Kalau isteri-isteri tidak boleh tinggal serumah walau bilik berasingan, maka, suami mesti sediakan rumah berasingan yang selesa dan selamat untuk berlaku adil kepada isteri-isteri dalam tanggungan.

HAK NAFKAH BATIN

Wajib bagi suami memberikan nafkah batin kepada isteri-isterinya seadil-adilnya. Adalah kejam bagi seorang suami yang melayani dengan baik isteri muda tetapi isteri pertama diabaikan nafkah batinnya. Jangan ingat nafkah batin ini hanya semata-mata dengan persetubuhan saja, tetapi, berkata-kata yang baik dan layanan mesra juga adalah sebahagian daripada nafkah batin yang perlu diberikan secara adil oleh seorang suami.

HAK GILIRAN BERMALAM

Giliran bermalam adalah suatu perkara yang menjadi sunnah nabi. Nabi Muhammad s.a.w juga memberikan giliran yang adil kepada isteri-isterinya untuk bermalam. Ada sesetengah orang yang membuat giliran bahawa isteri muda pada malam hari, tapi isteri sedia ada siang hari.

Saya berpandangan ini tidak adil melainkan isteri pertama redha. Ini kerana, waktu siang dan malam itu ada bezanya. Siang waktu bekerja. Kalau balik tengah hari pun, hanya untuk makan sahaja. Malam adalah waktu berehat. Terserah pada pandangan masing-masing.

HAK HARTA SEPENCARIAN

Orang yang berpoligami, wajib untuk isytiharkan di Mahkamah tentang harta-harta yang hendak diisyitiharkan sebagai harta sepencarian. Kalau harta tu dibeli semasa isteri pertama, mesti dikira sebagai sepencarian dengan isteri pertama. Kalau harta dibeli semasa adanya isteri kedua untuk isteri kedua tinggal, mesti dikira sepencarian isteri kedua.

Kalau isteri pertama ada rumah yang dibeli dan diberi oleh suami, isteri kedua juga berhak untuk terima sebiji rumah. Isteri pertama disediakan kereta, isteri kedua takkan bagi motosikal jer. Suami mesti adil dalam menjaga amanah poligami ni.

Kalau suami tak bagi semua hak ni macam mana tuan?

Suami yang tak tunaikan semua perkara ini, adalah dikira sebagai suami yang tidak beramanah. Kalau isteri yang tidak mendapat hak yang sepatutnya walaupun dia isteri baru atau lama, dia boleh menuntut haknya di dalam Mahkamah Syariah.

Kalau tak dapat nafkah, dia boleh tuntut nafkah. Kalau bimbang harta jatuh ke tangan isteri yang lain sedangkan ada haknya, boleh tuntut harta sepencarian.

Tapi, kalau tak boleh tahan dengan kehidupan ini kerana suami tidak berlaku adil, maka, isteri tersebut berhak untuk menuntut fasakh di Mahkamah Syariah atas faktor-faktor yang sesuai dengan undang-undang dan Hukum Syarak.

Kalau suami kahwin kat Siam, tapi dia tak buat pengesahan lagi di Mahkamah, boleh ke nak tuntut semua ni?

Boleh tuntut Nafkah sebagai isteri sahaja kalau tak dapat nafkah. Kalau nak tuntut harta sepencarian, beban keatas isteri yang mendakwa untuk buktikan suami dia poligami dahulu, lepas tu baru boleh tuntut harta sepencarian.

Kalau nak tuntut fasakh atas sebab suami tidak berlaku adil dalam poligami, juga, menjadi beban kepada isteri tu untuk buktikan suami dia poligami dan tidak berlaku adil.

Tip Untuk Isteri yang dimadu atau bakal bermadu

Pastikan anda dapat nafkah secara bulanan dengan dimasukkan melalui akaun

Catat hari bermalam suami dengan anda di rumah

Isytiharkan siap-siap di Mahkamah Tinggi Syariah, harta apa yang nak dijadikan harta sepencarian

Daripada drama ini, satu perkara yang paling utama kita dapat belajar, kalau nak berpoligami, menjadi syarat untuk suami tersebut mempunyai sifat menguasai ke atas isteri-isterinya. Ada klien saya yang berpoligami dengan mengikut syarak dan undang-undang.

Apa yang saya dapat lihat, lelaki yang betul-betul gentleman dan mempunyai sifat tegas dan menguasai sahaja yang mampu untuk berlaku adil pada isteri-isterinya. Perkara utama bukan tentang kemampuan harta, tapi kemampuan diri untuk menjadi Imam yang boleh memimpin makmumnya dengan adil dan saksama.

Hukum Syarak telah menggariskan bahawa hukum poligami adalah harus, tetapi keharusannya bukanlah secara mutlak. Oleh itu, hukum syarak telah menetapkan syarat-syarat tertentu untuk berpoligami. Merujuk kepada firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa: 3 bermaksud, Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap anak-anak yatim, maka berkahwinlah dengan perempuan yang kamu berkenan, dua, tiga, atau empat. Tetapi jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (antara isteri-isteri kamu), maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja. Yang demikian itu adalah lebih dekat, (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.

Sumber kredit: Fahmi Rahmi dan Global Station SB

Published by
Norhasliza